Langit berjerebu = masa depan yang kabur?
Kualiti udara yang buruk boleh menjejaskan pendidikan dan kehidupan harian kanak-kanak. Jika keadaan ini berterusan, kesannya mungkin turut membentuk masa depan mereka.
Eva, 12 tahun, tinggal bersama bapa saudaranya di Kampung Mongkos, Serian, Sarawak.
Apabila jerebu muncul di langit Sarawak, kesannya turut dirasai dalam kehidupan seharian Eva.
Sekolah merupakan sebahagian penting kehidupannya. Matematik dan Bahasa Inggeris ialah mata pelajaran kegemarannya, dan dia bercita-cita untuk menjadi guru Bahasa Inggeris.
Di luar bilik darjah, Eva aktif bermain catur dan pernah mewakili sekolahnya dalam pertandingan. Dia juga gemar bermain badminton bersama rakan-rakan.
Namun ketika jerebu tebal menyelubungi Serian, persekolahan, aktiviti dan rutin yang selama ini menjadi sebahagian daripada kehidupan Eva turut terganggu.
Apabila jerebu melanda
Pada 10 September 2026, bacaan Indeks Pencemar Udara (IPU) di sekitar Serian mencatat paras antara 200 hingga 230.
Menurut piawaian Jabatan Alam Sekitar, bacaan ini dikategorikan sebagai Sangat Tidak Sihat. Sekolah ditutup selama seminggu, sementara penduduk menanti keadaan udara kembali pulih.
Di rumah, pakaian seragam sekolah Eva masih tergantung di tepi tingkap. Namun sepanjang sekolah ditutup, ia tidak dapat digunakan seperti biasa.
“Saya suka tengok pemandangan di luar, tapi sekarang yang saya nampak cuma langit putih sebab jerebu... Saya tak suka bila tak dapat pergi sekolah.”
Eva, 12
Pembelajaran dengan capaian internet yang tidak menentu
Apabila sekolah ditutup, pembelajaran diteruskan dari rumah. Namun bagi Eva, peralihan ini cukup mencabar.
Capaian internet di kampungnya tidak sentiasa stabil. Sambungan yang terputus-putus menyukarkan Eva untuk mengikuti kelas dan pembelajaran dari rumah.
Walaupun guru memberikan tugasan untuk disiapkan, belajar dari rumah tidak dapat menggantikan pengalaman berada di dalam kelas bersama guru dan rakan-rakannya.
“Susah sikit sebab internet kadang-kadang tak berapa bagus. Saya lebih suka belajar di sekolah sebab boleh jumpa cikgu dan kawan-kawan.”
Eva, 12
Bagi kanak-kanak yang perlu belajar dari rumah ketika berlaku kecemasan, memiliki peranti sahaja tidak mencukupi.
Pengalaman Eva menunjukkan betapa pentingnya capaian internet yang stabil untuk memastikan pembelajaran dapat diteruskan.
Apabila sambungan internet tidak menentu, kanak-kanak mungkin menghadapi kesukaran untuk mengikuti pelajaran dengan baik.
Belajar dari rumah juga bermakna Eva kehilangan peluang untuk belajar dan berinteraksi bersama rakan-rakan.
Tanpa adik-beradik di rumah untuk belajar bersama, dia perlu melalui proses pembelajaran sendirian, tanpa sokongan yang biasanya diperoleh di sekolah.
“Bila saya belajar di rumah, tiada siapa yang boleh bantu saya,” kata Eva.
Menunggu langit kembali cerah
Kesan jerebu bukan sekadar menyebabkan Eva ketinggalan dalam pelajaran. Dia juga kehilangan peluang untuk menikmati rutin harian bersama rakan-rakan, daripada bermain badminton hingga meluangkan masa bersama mereka.
Di rumah, raket badminton dan papan caturnya menjadi antara perkara yang mengingatkan Eva kepada aktiviti yang biasa dilakukan ketika keadaan mengizinkan.
“Saya rindu bermain dengan kawan-kawan semasa jerebu,” katanya.
Namun, Eva tetap berharap langit akan kembali cerah tidak lama lagi.
“Saya selalu berdoa supaya Tuhan hilangkan jerebu dengan cepat,” katanya.
“Tapi saya bersyukur sebab keluarga dan kawan-kawan saya tidak jatuh sakit akibat jerebu.”
Nasihatnya kepada kanak-kanak lain: kurangkan aktiviti di luar ketika jerebu dan minum air secukupnya.
Eva juga berharap kerajaan akan terus membantu keluarga dan komuniti yang berdepan kesukaran ketika jerebu.
Bagi Eva, langit yang kembali cerah membawa makna yang lebih besar daripada sekadar udara yang lebih bersih. Ia bermakna dapat kembali ke sekolah, bertemu semula dengan rakan-rakan dan terus mengejar impiannya untuk menjadi guru Bahasa Inggeris suatu hari nanti.
Pengalaman Eva turut menunjukkan bahawa kesan jerebu terhadap kehidupan kanak-kanak boleh melangkaui bilik darjah. Apabila sekolah terpaksa ditutup, kanak-kanak memerlukan sokongan untuk terus belajar, kekal terhubung dan mendapatkan sokongan yang diperlukan, tidak kira di mana mereka tinggal.
Nota
Pencemaran udara menjejaskan jutaan kanak-kanak di Malaysia. Menurut Laporan Risiko Iklim Kanak-kanak UNICEF 2026 (Children’s Climate Risk Report 2026), kira-kira 90 peratus kanak-kanak di Malaysia terdedah kepada PM2.5, iaitu zarah halus dalam pencemaran udara yang boleh menjejaskan kesihatan.
UNICEF Malaysia menggesa tindakan yang lebih menyeluruh untuk melindungi kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak, memperkukuh daya tahan perkhidmatan dan komuniti, serta memastikan suara golongan muda diambil kira dalam keputusan yang memberi kesan kepada kehidupan dan masa depan mereka.
Apabila jerebu teruk menjejaskan persekolahan dan kehidupan seharian, kanak-kanak perlu dilindungi, dapat meneruskan pembelajaran dan mempunyai akses kepada perkhidmatan serta sokongan yang diperlukan.