Permainan Bebas: Apakah Manfaatnya dan Mengapa Ia Penting?
Pelajari bagaimana permainan bebas dapat membantu perkembangan anak-anak ada di rumah.
Sambil menyelam, sambil minum air: begitulah kelebihan permainan. Ia bukan hiburan semata. Pada masa yang sama, ia juga pembelajaran. Nyanyian puisi kanak-kanak sebenarnya si kecil anda sedang membina kemahiran perkembangan bahasa mereka. Anak-anak suka membaling bola ke udara dan menangkapnya? Itulah yang dinamakan sebagai perkembangan kemahiran motor kasar dan koordinasi tangan-mata.
Kala pandemik COVID-19 melanda, ramai kanak-kanak tidak dapat keluar bermain bersama rakan-rakan—sesuatu perkara yang penting bagi perkembangan mereka. Walaupun interaksi antara rakan sebaya itu sangat digalakkan, terdapat juga kelebihan dalam bermain sendiri secara bebas. Kami bertanyakan pakar pendidikan dan perkembangan kanak-kanak, Pn. Syeda Sazia Zaman dan Pn. Ferdousi Khanom daripada Institut Perkembangan Pendidikan BRAC, Universiti BRAC, tentang bagaimana ibu bapa dapat menggalakkan anak-anak mereka bermain secara bebas dan mengapa perlu anak-anak kita lakukan sedemikian.
Mengapa waktu bermain bermanfaat untuk kanak-kanak?
“Bermain,” terang Pn. Syeda, “merupakan teras perkembangan untuk seorang kanak-kanak.” Mereka menimba pengalaman dan mempelajari tentang dunia mereka melalui permainan: kanak-kanak meneroka persekitaran fizikal mereka, meluahkan emosi dan membina kosakata melalui detik-detik penuh suka-ria. “Bermain itu fitrah kanak-kanak sejagat,” tambah Pn. Ferdousi. “Ia merupakan alat penting bagi perkembangan kognitif, fizikal, sosial dan emosi kanak-kanak. Malah, ia penting untuk daya imajinasi dan kreativiti mereka.”
Apakah itu Permainan Bebas?
Permainan bebas bermaksud kanak-kanak mempunyai kebebasan sepenuhnya untuk bermain dengan apa cara sekalipun, semahu mereka. “Kanak-kanak boleh pilih semua sekali—mereka ada kebebasan untuk pilih bahan permainan mereka, apa yang mereka minat, bahkan mereka boleh pilih jalan cerita sendiri,” terang Pn. Syeda. Sewaktu permainan bebas berlangsung, kanak-kanak boleh meluahkan diri mereka dengan cara yang mereka sendiri tentukan. Pilihan mereka bergantung kepada hari, masa, dan situasi mereka berada ketika itu. “Peluang sebegini penting untuk kanak-kanak,” Pn. Ferdousi berkata.
Setiap kanak-kanak itu unik dan mempunyai berbagai-bagai cara untuk meluahkan diri mereka. “Kita ada budak yang nak melukis. Kita ada juga budak yang hanya mahu membuat teka-teki seorang diri. Setiap kanak-kanak ada cara masing-masing untuk meluahkan kreativiti mereka,” Pn. Ferdousi menerangkan lagi.
Apakah manfaat dan kelebihan permainan bebas untuk kanak-kanak?
“Kadangkala, bagus untuk kanak-kanak bermain seorang diri atau secara bebas. Ini kerana mereka dapat menjadi lebih kreatif apabila bermain tanpa teman,” jelas Pn. Ferdousi. Apabila kanak-kanak bermain seorang diri, mereka sedang melibatkan diri sendiri dengan menggunakan imajinasi mereka. Selain itu, “mereka di awal usia sudah mula belajar untuk berdikari,” kata Pn. Syeda. Hasil daripada membina kemandirian di waktu pucuk rebung dapat dilihat bagaimana tumbuhnya pohon buluh di kemudian hari.
Permainan bebas juga penting untuk mempelajari kemahiran penyelesaian masalah. “Kanak-kanak boleh mencuba untuk selesaikan sesuatu masalah atau memikirkan penyelesaian dengan diri sendiri ketika bermain. Mereka perlu meluahkan cara berfikir mereka tersendiri. Kemahiran itu berkembang apabila kanak-kanak sedang bermain secara bebas,” Pn. Ferdousi nyatakan.
Berapakah umur yang sesuai untuk ibu bapa memperkenalkan permainan bebas kepada anak-anak mereka?
Permainan bebas dapat memberi peluang kepada kanak-kanak untuk meneroka dunia mereka dengan cara masing-masing. Ia dapat membantu pembentukan daya kreatif dengan menggunakan imajinasi mereka. Oleh demikian, Pn. Ferdousi dan Pn. Syeda mengesyorkan bermula pada usia seawal mungkin. Ibu bapa juga perlu galakkan kanak-kanak yang mula bertatih atau pra-tadika untuk bermain secara bebas dengan kerap di bawah pantauan berlangsungan. Perkara ini juga wajar diperkenalkan kepada bayi berusia enam bulan.
Bagaimana ibu bapa boleh menggalakkan permainan bebas di rumah?
Permainan bebas bertujuan untuk memupuk sikap berdikari dalam diri kanak-kanak. Walau bagaimanapun, ibu bapa boleh menyokong dan menggalak anak-anak mereka untuk belajar dengan penuh keseronokan.
- Pastikan anak-anak anda mempunyai ruang selamat untuk bermain. Ketika bermain secara bebas, kanak-kanak perlu berpeluang untuk meneroka dan melakukan banyak perkara seorang diri bagi membina keyakinan dan sikap berdikari. Namun, penting untuk diambil maklum, anda juga perlu pastikan kawasan anak-anak bermain itu selamat. Buang atau simpan sebarang risiko berbahaya dan pantau dari masa ke semasa untuk memastikan si kecil anda sedang bermain dengan selamat.
- Dengari anak anda. Tanya anak anda, “Awak nak buat apa hari ini?” Berdasarkan respons mereka, anda boleh bantu anak-anak anda menghasilkan persekitaran yang mereka boleh meneroka minat mereka. Contohnya, jika mereka ingin membina sebuah rumah, anda boleh memberi sokongan dengan menyediakan bahan serta ruang selamat untuk mereka usahakannya. Cuba fikir bahan apa yang ada di rumah anda. Jangan risau untuk menjadi kreatif! Selain itu, jika anak-anak anda ingin membuat teka-teki bergambar dan anda tidak ada setnya di rumah, gunakan foto atau kalendar lama, kemudian gunting ia untuk dicantumkan semula nanti.
- Berikan petanda dan penggesa sepanjang permainan. Apabila anak-anak anda menghadapi masalah, anda boleh bimbing mereka untuk menyelesaikannya. Tanya mereka, “Apa saya boleh bantu? Macam mana kita boleh selesaikan masalah ini?” Pn Syeda terangkan perihal berikut: “Orang dewasa tidak patut melakukan semua benda untuk anak-anak mereka. Kita cuma boleh berikan mereka petanda atau sokongan kepada kanak-kanak, supaya mereka boleh berfikir dengan sendiri dan lakukan perkara dengan usaha mereka sendiri.
- Jadikan ia sebagai aktiviti untuk mengeratkan perhubungan. Benar, anak-anak anda sedang bermain seorang diri. Namun, ia bukan bermaksud anda tidak boleh terlibat bersama! Jika anak-anak anda ingin bermain dengan anda tetapi anda sedang sibuk dengan urusan anda, bincang bersama mereka; tanya anak-anak anda apakah perkara mereka boleh lakukan seorang diri dan selepas mereka sudah habis lakukan, anda dan anak-anak boleh sama-sama uruskan perkara tersebut. Pn. Ferdousi sering mengambil pendekatan ini bersama anak perempuannya: “Saya akan tanya kepada dia, ‘boleh awak tuliskan sebuah cerita?’ Saya tahu dia belum pandai menulis dengan baik, tetapi apa sahaja yang dia tulis itu sudah cukup. Kemudian, saya minta dia bacakan kuat-kuat kepada saya.” Dengan mengambil pendekatan ini, anda dapat melibatkan diri bersama anak anda dalam pelbagai jenis aktiviti, pada masa yang sama mereka masih lagi bermain secara bebas.