10 Fakta Segera: Kesihatan Haid di Sekolah

Laporan Global UNICEF dan WHO mendedah jurang luas antara kesihatan haid dan kebersihan diri di sekolah

27 May 2024
A teacher educates students about menstruation at the UNICEF-supported Fatah Girls School in Herat, Afghanistan.
UNICEF/UN0679818/Naftalin

NEW YORK, GENEVA, 28 Mei 2024 – Isu kesihatan haid dan kebersihan diri merupakan isu sejagat yang sering tidak diendahkan. Hal ini berlaku akibat kekangan capaian maklumat, pendidikan, produk dan perkhidmatan, serta fasiliti yang tidak mencukupi & juga isu ketidaksamaan.

Sebuah laporan baharu: Progress on drinking water, sanitation, and hygiene in schools 2000-2023: special focus on menstrual health – dilancarkan oleh UNICEF dan WHO mengenai Hari Kesihatan Haid – julung kali menganalisis data kebangsaan berkaitan kesihatan haid dan kebersihan diri di sekolah secara global.

Sepuluh Fakta Utama Daripada Laporan Berikut:

  • Hanya 2 daripada 5 (atau 39%) sekolah di seluruh dunia memberi pendidikan kesihatan haid. Peratusan ini meningkat dalam sekolah menengah. Bandingan peratusan bagi sekolah menengah yang memberi pendidikan kesihatan haid di Asia Tengah dan Selatan ialah 84%, berbanding dengan sekolah rendah yang hanya 34%.
  • Kurang daripada 1 dalam 3 sekolah (atau 31%) secara global mempunyai tong sampah khas untuk sisa buangan haid di dalam tandas perempuan. Peratusan ini menjunam kepada 1 dalam 5 sekolah di negara yang paling mundur (atau 17%), malah hanya 1 dalam 10 sekolah (atau 11%) di kawasan Afrika Sub-Sahara.
  • Produk menstruasi tidak sentiasa ada dan ramai yang tidak berkemampuan. Contohnya, di Afrika Sub-Sahara hanya 1 dalam 8 sekolah (atau 12%) menyediakan barangan untuk kitaran haid secara percuma atau untuk dijual.
  • Ramai remaja perempuan di pelbagai negara tidak ada tandas yang bersih atau ruang tertutup yang dikhususkan untuk menukar produk menstruasi di sekolah.
  • Ketidaksamaan untuk mendapatkan air dan sabun merupakan isu lanjut yang melanda berjuta pelajar remaja. Mereka yang berada di kawasan bandar, sekolah swasta dan sekolah perempuan lebih mudah untuk memiliki ruang tertutup yang mempunyai air dan sabun. Hal ini sendiri mengetengahkan isu ketidaksamaan dalam negara yang sama.
  • Berjuta remaja perempuan di seluruh dunia tidak mengetahui atau tidak dipersiapkan ilmu tentang kitaran haid sebelum kitaran pertama mereka berlaku. Contohnya, sebuah kajian di Ethiopia mendapati kurang daripada separuh remaja perempuan yang dibanci mempunyai ilmu pengetahuan tentang kitaran haid sebelum kitaran pertama mereka berlaku.
  • Kajian mendapati stigma atau tanggapan buruk sekitar menstruasi masih berleluasa. Ramai remaja berasa malu atau tidak bersedia untuk membincangkan perkara ini secara terbuka. Sikap ini mampu menjejaskan kesihatan mental dan kehadiran ke sekolah.
  • Tidak ada himpunan data kebangsaan yang mampu mengenal pasti berapa ramai guru yang dilatih untuk mendidik tentang kebersihan haid. Hal ini menunjukkan terdapat jurang yang jelas dalam sokongan pendidikan. Guru memainkan peranan yang penting dalam menyampaikan maklumat tepat. Mereka perlu membina persekitaran yang menyokong para pelajar mereka. Demikian, tanpa latihan yang mencukupi, para guru tidak mampu untuk membantu untuk melunaskan keperluan anak murid mereka.
  • Hanya 30 negara, lebih satu per tiga berada di kawasan Afrika Sub-Sahara, mempunyai penjejak data yang relevan dan paling kurang satu daripada penunjuk keutamaan yang disyorkan secara global. Kekurangan data ini menggendalakan usaha untuk memahami dan menyelesaikan isu ini secara tuntas.
  • Walaupun negara seperti Zambia dan Filipina menunjukkan kemajuan ketara dalam menyediakan produk dan perkhidmatan menstruasi di sekolah, masih banyak lagi kerja-kerja yang perlu dilakukan. Hanya melalui dasar dan pelaburan bersasar mampu mencetuskan perubahan.

Laporan ini menggariskan keperluan segera tindakan sejagat untuk memperbaiki kesihatan dan kebersihan menstruasi di sekolah. Dengan mengambil cakna akan isu berikut, setiap remaja perempuan mampu menguruskan kitaran haid mereka dengan bermaruah, selamat dan berkeyakinan.

Laporan ini juga merangkumi kemajuan pada capaian air, sanitasi dan kebersihan diri di sekolah. Mengikut data terbaru, dewasa ini 1 dalam 5 orang kanak-kanak (447 juta) masih tidak mempunyai perkhidmatan air minuman yang asas di sekolah; 1 dalam 5 (427 juta) tidak mempunyai perkhidmatan sanitasi asas; 1 dalam 3 (646 juta) tidak mempunyai capaian kepada perkhidmatan kebersihan diri asas.

Untuk mencapai Matlamat Pembangungan Lestari (SDG) yang relavan menjelang 2030 memerlukan peningkatan berganda bagi kadar kemajuan air minuman asas dan sanitasi, serta peningkatan berkali ganda bagi kadar kemajuan perkhidmatan kebersihan diri.

# # #

NOTA KEPADA EDITOR

Laporan Program Pemantauan Bersama WHO/UNICEF (JMP) - Progress on Drinking Water, Sanitation, and Hygience in Schools 2000-2023: Special Focus on Menstrual Health—mengumpul data kemajuan global menuju capaian sejagat untuk mempunyai air minuman yang selamat, sanitasi dan kebersihan diri (WASH). Julung kalinya, ia turut menyertai bahagian mengenai kesihatan haid. Data yang diperolehi mengukur kemajuan global pada beberapa penunjuk yang memaparkan berapa ramai sebenarnya remaja perempuan belum dapat memenuhi keperluan kitaran haid mereka di seluruh dunia. Usaha ini masih berlanjutan hinggalah kita mampu mencipta dunia yang mesra-menstruasi untuk semua.

Kebolehsediaan data kebangsaan bagi kesihatan haid masih terbatas dan penunjuk definisi tidak sekata. Hal ini menjadikan perbandingan antara negara sukar. Anggaran sejagat dan wilayah merupakan anggaran agregat dan perlu dibaca seperti berikutnya.

Media contacts

Iris Bano Romero
UNICEF New York
Tel: +19178048093
WHO Press Office

Tentang UNICEF
UNICEF bergiat di antara tempat-tempat yang paling susah di dunia, untuk membantu kanak-kanak yang paling tidak beruntung di dunia. Kami bekerja untuk setiap kanak-kanak di setiap tempat di 190 buah negara dan wilayah untuk mewujudkan dunia yang lebih baik untuk setiap orang.

Untuk maklumat lanjut tentang UNICEF dan kerja-kerjanya untuk kanak-kanak, sila layari www.unicef.org. Ikuti UNICEF di XFacebookInstagram dan YouTube

Tentang WHO

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) ditubuhkan demi kesejahteraan manusia sejagat, berpandukan Ilmu Sains. WHO mengetuai dan memperjuangkan usaha global untuk menyediakan semua orang di mana-mana peluang yang saksama untuk menjalani kehidupan yang selamat dan sihat. Kami merupakan agensi PBB bagi perihal kesihatan dan menghubung negara, rakan kongsi, serta masyarakat di barisan hadapan di lebih 150 buah kawasan—memimpin respons sedunia terhadap kecemasan kesihatan, pencegahan wabak, menangani masalah akar-umbi tentang kesihatan dan mengembangkan capaian perubatan dan penjagaan kesihatan. Misi kami adalah untuk mempromosikan kesihatan, memastikan kesihatan sedunia terjamin dan berkhidmat untuk golongan rentan. www.who.int.

Tentang JMP

Program Pemantauan Bersama WHO/UNICEF (JMP) bagi Bekalan Air, Sanitasi dan Kebersihan Diri bertanggungjawab untuk memantau kemajuan global menuju sasaran dan penunjuk Matlamat Pembangunan Lestari (SDG) berkaitan air minuman, sanitasi, dan kebersihan diri (WASH). JMP mengeluarkan anggaran kemajuan pada peringkat kebangsaan, kawasan dan global mengenai WASH di rumah, sekolah dan fasiliti kesihatan.