Menjunjung Tinggi Kepentingan Kanak-Kanak Dalam Sistem Keadilan

Kita perlu memastikan kanak-kanak mampu kemukakan bukti paling baik tanpa sebarang tekanan mahupun ketakutan.

Robert Gass, Wakil UNICEF ke Malaysia
Child in courtroom alone
Canva
10 July 2024

Berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Begitulah bagi si anak perempuan berusia tujuh tahun yang melalui keganasan rumah tangga; juga seorang budak lelaki berusia dua-belas tahun yang menjadi mangsa penderaan seksual; atau seorang gadis berusia empat-belas tahun menanggung derita penderaan fizikal. Bayangkan pula “bahu-bahu” yang sama, yang telah mengalami detik-detik hitam yang traumatik, kini diminta mengulangi peristiwa pahit itu semula di dalam mahkamah. Mereka perlu menghadapi persekitaran mahkamah yang menggerunkan, bersemuka dengan peguam yang petah menggunakan bahasa-bahasa khusus, malah dihujani soalan-soalan bersifat konfrontasi.

Jika sistem keadilan mendatangkan rasa gentar kepada orang dewasa, apatah lagi buat kanak-kanak. Namun, golongan inilah yang sering perlu berhadapan dengan prosedur dan protokol yang telah direka khas untuk orang dewasa. Tidak hairanlah kanak-kanak ibarat luah mati emak, telan mati bapa. Kanak-kanak rata-ratanya dianggap sebagai golongan rentan, manakala sistem keadilan pula sepatutnya wajib disesuaikan mengikut kehendak dan keperluan kanak-kanak.

Kita perlu memastikan kanak-kanak mampu mengemukakan bukti terbaik tanpa sebarang tekanan mahupun ketakutan. Langkah-langkah khas perlu diambil kira supaya dapat membantu mereka menjadi saksi, lantas mengurangkan trauma berkaitan kehadiran ke mahkamah. Tekanan yang dihadapi oleh kanak-kanak dan keluarga mangsa sering mengakibatkan ramai memilih untuk angkat tangan dan berpaling daripada mendapatkan keadilan.

Duduk sama rendah, berdiri sama tinggi

Kini Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak yang membantu kanak-kanak memberikan keterangan terbaik semasa proses undang-undang sudah terguna pakai. Walau bagaimanapun, langkah khas ini tidak diamalkan secara konsisten, lalu menjurus kepada persekitaran mahkamah yang masih membuat saksi golongan muda berasa takut dan tertekan. Pada sidang Parlimen kali ini, pindaan sedang dibentangkan bagi memastikan langkah-langkah khas ini diaplikasi secara konsisten demi membina persekitaran yang lebih mesra kanak-kanak.

Pemeriksaan balas, terutamanya, adalah membimbangkan kerana ia bersifat konfrontasi dan menggerunkan. Perlu diingatkan bahawa kanak-kanak seringkali berhadapan dengan peguam bela yang berpengalaman. Justeru, keterangan mereka begitu mudah dilemahkan dengan soalan-soalan yang mengelirukan, berulang-ulang, atau terlampau agresif. Bagi memastikan perbicaraan berjalan dengan telus, adalah penting untuk mengurus prosedur kanak-kanak disoal dengan menggunakan pengurusan kes pra-perbicaraan.

Melalui pindaan yang dibentangkan, mahkamah tidak lagi perlu menganggap keterangan kanak-kanak itu tidak jelas kerana umur mereka.orang dewasa, Sebagaimana kita menanggapi orang dewasa, begitu juga kanak-kanak harus diberikan tanggapan bahawa mereka mampu mengemukakan keterangan di mahkamah, melainkan ada sebab-sebab yang kukuh untuk meragui keterangan mereka. Selain itu, keterangan kanak-kanak akan dinilai berdasarkan meritnya.

Keganasan terhadap kanak-kanak— kesalahan seksual, khususnya—sering berlaku di sebalik tabir tanpa sebarang saksi. Undang-undang terkini bagi keterangan kanak-kanak di mahkamah menghasilkan halangan nyata bagi memastikan sang pelaku disabitkan kesalahannya. Tambahan pula, kanak-kanak daripada kumpulan minoriti—termasuklah kanak-kanak kelainan upaya, kanak-kanak orang asli, malah kanak-kanak migran dan pelarian—menghadapi masalah yang unik semasa mendapatkan keadilan. Maka, pentingnya untuk mengiktiraf dan menangani rintangan ini agar semua kanak-kanak mempunyai akses saksama bagi memperoleh keadilan.

Mengiktiraf Hak Kanak-Kanak untuk Mendapatkan Keadilan

Hal ini merupakan kepentingan awam untuk memastikan saksi kanak-kanak dilayan dengan elok dan mampu menceritakan pengalaman mereka tanpa terus dijadikan sebagai mangsa semata atau berada dalam keadaan kekal trauma. Apabila saksi kanak-kanak dilindungi dan keperluan mereka terjamin, keadilan telah sampai bagi kes-kes tersendiri. Ia turut memperkukuhkan nilai-nilai seperti Keyakinan dan Ihsan iaitu prinsip Madani yang menjadikan masyarakat lebih kuat dan sihat. Di samping itu, ia menyampaikan mesej yang jelas bahawa sistem keadilan begitu komited untuk melindungi golongan rentan, serta menegakkan hak sejagat.

Marilah bersama-sama kita memastikan sistem undang-undang dapat memupuk dan melindungi kanak-kanak, lantas membawa kita ke hari esok yang lebih cerah, hari esok yang melihat keadilan itu mampu dicapai untuk semua secara saksama. Perkara 3.1 daripada Konvensyen Hak Kanak-Kanak—dimana Malaysia merupakan salah satu penandatangan—menyebut dalam segala tindakan berkenaan dengan kanak-kanak sama ada yang diaku janji oleh institusi kebajikan masyarakat awam atau swasta, mahkamah, pihak berkuasa pentadbiran atau badan perundangan, kepentingan terbaik kanak-kanak itu hendaklah menjadi pertimbangan utama.

Membina Sistem Keadilan yang Lebih Perkasa

Dalam kita memberi perhatian sejenak kepada pindaan yang sedang dibentangkan bagi Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak, marilah kita mengingati tanggungjawab kita bagi memastikan undang-undang melindungi dan memperkasakan saksi kanak-kanak.

Dato’ Sri Azalina Othman Said, menteri dalam Jabatan Perdana Menteri (Bahagian Undang-Undang dan Reformasi Institusi) telah mengepalai usaha-usaha untuk menjunjung kepentingan terbaik kanak-kanak dalam persekitaran kehakiman. Membentangkan pindaan ini merupakan sebuah langkah bagi memastikan proses kehakiman lebih mesra kanak-kanak.

Tahun 2024, genap keberadaan UNICEF di Malaysia selama 70 tahun, berserta 60 tahun kerjasama dengan pihak kerajaan. Usaha kami akan berterusan agar laluan menuju keadilan bagi kanak-kanak diluruskan; undang-undang diperkasakan; dan sang pelaku jenayah terhadap kanak-kanak akan dibawa ke muka pengadilan.

Meminda Akta Keterangan Saksi Kanak-Kanak bukan semata keperluan undang-undang—ia merupakan tuntutan bersama yang mustahak. Dengan menyediakan kanak-kanak sokongan yang mereka perlukan untuk memberi keterangan, kita memastikan kanak-kanak mampu mengemukakan bukti terbaik di mahkamah. Ini menggalakkan sistem keadilan yang lebih mudah dicapai dan saksama, lalu memupuk masyarakat yang lebih adil dan bermoral. Ayuh kita berganding bahu untuk mencipta masa hadapan yang mempunyai sistem keadilan jenayah yang mengangkat kepentingan terbaik kanak-kanak.