Melindungi kanak-kanak pada musim banjir
Iktibar daripada Pengurangan Risiko Bencana (DRR) di Rantau Panjang
Ameera, 10 tahun, kelihatan tenang ketika dia duduk bersama keluarganya sambil dinasihatkan mengenai banjir tahunan yang bakal melanda kampung mereka. Ayahnya, Abe Ha, memberitahu bagaimana air mula naik pada suatu malam ketika azan Maghrib sedang berkumandang. Mereka sekeluarga memutuskan untuk berpindah pada tengah malam apabila keadaan semakin membimbangkan ketika air mula memasuki ke dalam rumah dan mencecah paras lutut orang dewasa. Rumah mereka dibina tiga kaki tinggi dari aras tanah. Keadaan di luar lebih merunsingkan. Air sudah mencecah paras dada Abe Ha.
Ameera bersama ibu dan adiknya menaiki sampan kecil, sambil Abe Ha menarik mereka menuju ke pusat pemindahan yang terletak di Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2, lebih kurang 100 meter dari rumah mereka. Apabila ditanya sama ada dia berasa takut menaiki sampan di tengah malam kala banjir makin mengganas, Ameera hanya menjawab, “Dop naling. Papa ado.” dalam dialek Kelantan. Ia bermaksud, “Tak risaulah, Ayah kita ada.”
Bagi masyarakat umum, rumah dilanda banjir merupakan peristiwa yang jarang sekali berlaku. Bagi penduduk Rantau Panjang, ia merupakan peristiwa tahunan. Kebelakangan ini pula, banjir semakin menjadi-jadi. Bencana lebih besar, gawat dan mengambil masa lama untuk surut.
Perubahan Iklim Terang Lagi Bersuluh
Abe Ha memberitahu dahulu bencana banjir hanya berlaku lebih kurang setahun sekali sahaja. Kebelakangan ini, bencana banjir semakin kerap. Pada tahun 2022, mereka sekeluarga perlu berpindah sebanyak tiga kali. Untuk mengeruhkan keadaan lagi, air yang naik pula semakin tinggi.
“Rumah yang kami tinggal dulu jadi macam ‘pulau kecil’. Rumah kami di tengah-tengah dan keliling kami ditenggelami air. Sekarang, air pun sudah mula masuk ke dalam rumah,” terang Abe Ha.
Rumah yang kami tinggal dulu jadi macam ‘pulau kecil’. Rumah kami di tengah-tengah dan keliling kami ditenggelami air. Sekarang, air pun sudah mula masuk ke dalam rumah
“Pusat pemindahan pula semakin sesak. Dahulu hanya 600 hingga 700 orang sahaja. Sekarang, dewan sekolah terpaksa menempatkan lebih 1,000 orang. Saya sekeluarga terpaksa duduk dalam khemah di luar lot parkir kereta sebab dewan sekolah sudah tidak muat untuk menampung bilangan mangsa banjir.”
“Banjir sekarang pun ambil masa yang lebih lama untuk surut. Kalau dahulu, dalam beberapa hari sahaja. Kini, boleh makan berminggu-minggu. Itu kami panggil Banjir Termenung.”
Penduduk setempat menggelar bencana sebegitu rupa kerana ia seolah-olah menggambarkan kepasrahan mangsa yang hanya mampu merenung nasib mereka tetapi tidak berdaya untuk melakukan apa-apa kecuali menanti air surut.
Langkah-Langkah Kecemasan
“Dahulu kalau bah, orang kampung sambut macam pesta di Rantau Panjang. Air akan cecah paras pinggang sampai paras dada. Orang Kota Bharu akan datang dan sewa homestay untuk bermain air bah,” terang Cikgu Eddie. Beliau anak jati Rantau Panjang.
“Tapi sejak dua-menjak ini, bah makin bahaya dan besar. Rumah habis tenggelam. Ada yang hanyut. Ibu bapa pun makin khuatir membenarkan anak-anak main air bah,” sambung Cikgu Eddie.
Cikgu Eddie merupakan guru di SK Sri Rantau Panjang 2. Beliau telahpun mengikuti kursus latihan Pengurangan Risiko Bencana dan mampu mengajar anak muridnya. Cikgu Eddie menggunakan alat bantuan pendidikan seperti permainan “Ular dan Tangga” untuk mengajar para murid mengenai bencana alam.
“Melalui modul ini, anak-anak boleh belajar macam mana hendak menguruskan diri dan keluarga masing-masing sewaktu berlakunya bencana. Pembelajaran mudah difahami kerana ia disampaikan dalam cara yang menyeronokkan,” jelas Cikgu Eddie.
Melalui modul ini, anak-anak boleh belajar macam mana hendak menguruskan diri dan keluarga masing-masing sewaktu berlakunya bencana. Pembelajaran mudah difahami kerana ia disampaikan dalam cara yang menyeronokkan.
Pendidikan Pengurangan Risiko Bencana turut menggunakan permainan lain seperti teka-teki silang-kata, bingo dan aktiviti yang berkaitan seperti persiapan beg kecemasan dan memetakan sekolah bagi mengenalpasti sebarang risiko yang ada.
Melindungi kanak-kanak
“Memandangkan kawasan di sekeliling sekolah ini sentiasa berlakunya bah, anak-anak murid sentiasa diingatkan menjaga pakaian seragam, buku sekolah semasa musim banjir. Walau bagaimanapun, beberapa tahun kebelakangan ini, banjir yang berlaku adalah di luar jangkaan. Ini menyebabkan kesukaran dan kerugian kepada para murid kami. Oleh itu, pihak sekolah sentiasa mengambil cakna dan berusaha untuk membantu murid-murid yang mengalami keadaan sedemikian,” ulas Cikgu Hisham, Pengetua SK Sri Rantau Panjang 2.
“Sejujurnya, memang payah untuk memulih semangat kembali bersekolah. Para murid terkesan secara psikologi akibat trauma dialami sewaktu berlakunya banjir, ketika mereka perlu berpindah-randah, tidak lupa juga kehilangan harta-benda,” sambung beliau.
Sejujurnya, memang payah untuk memulih semangat kembali bersekolah. Para murid terkesan secara psikologi akibat trauma dialami sewaktu berlakunya banjir, ketika mereka perlu berpindah-randah, tidak lupa juga kehilangan harta-benda.
Sekolah Kebangsaan Sri Rantau Panjang 2 ialah pusat pemindahan sementara terbesar di daerahnya. Setiap kali banjir berlaku, dewan sekolah tersebut akan dijadikan pusat pemindahan yang menempatkan sehingga 1,500 mangsa banjir. Agensi kerajaan seperti Jabatan Kebajikan dan Agensi Pengurusan Bencana Negara turut menyediakan pusat tersebut dengan bekalan makanan dan khemah untuk mangsa, serta aktiviti untuk kanak-kanak.
Ameera, 10 tahun, berkongsi pengalamannya semasa di pusat pemindahan tersebut. “Pusat pemindahan selalunya sesak. Kalau hendak guna tandas perlu tunggu lama. Ia bukan pengalaman yang menyeronokkan. Selepas banjir surut pula, kami perlu cuci rumah dahulu sebelum boleh kembali seperti biasa.”
Pasang dan Surut
Para saintis sudah berdekad lama memberi amaran, tetapi umpama mencurah air pada daun keladi. Punca utama perubahan iklim terjadi akibat gas rumah hijau yang terhasil daripada aktiviti manusia, serta degrasi alam sekitar telah menyebabkan keamatan lebat hujan kian meningkat. Selain itu, pembangunan tanah dan projek infrastruktur turut mengakibatkan bencana makin kerap dan gawat—menjadikan keadaan bagai telur di hujung tanduk.
Kanak-kanak juga memahami ancaman bencana ini. “Banjir menakutkan. Sepupu saya terjatuh ke dalam air dan dihayutkan oleh arus. Dia terjun daripada bot sebab ingatkan air tidak terlalu dalam. Mujur pihak bomba menemuinya. Dia cuma pengsan,” Aina, 12 tahun, berkongsi pengalamannya.
“Kesan perubahan iklim paling dirasai oleh golongan kanak-kanak. Mereka mudah menjadi amat rentan sewaktu kegawatan berlaku. Apabila bencana banjir berlaku, kanak-kanak tidak dapat ke sekolah selama berminggu-minggu. Mereka terpaksa bersesak, berkongsi tandas kecil bersama ratusan orang ramai. Situasi berikut tidak selesa, malah tidak selamat bagi golongan wanita dan gadis kecil. Keluarga mereka juga barangkali tidak mempunyai kemampuan kewangan untuk mengganti semula kerugian yang ditanggung setiap kali bencana berlaku. Hal ini tidak wajar untuk perkembangan kanak-kanak,” jelas Sufyan Aslam, Penasihat Pengurusan Risiko Bencana daripada UNICEF.
“Walau bagaimanapun, kami percaya kanak-kanak boleh diperkasakan dengan memainkan peranan aktif dalam bertindak menghadapi risiko bencana. Melalui pendidikan seperti program Pengurusan Risiko Bencana, bersama sistem amaran awal, langkah pencegahan berasakan masyarakat, protokol pemindahan oleh pihak sekolah dan pelan pemulihan, kanak-kanak mampu menjadi suara penting bagi menyampaikan kesedaran mengenai bencana dan perubahan iklim. Mereka mampu mendidik rakan sebaya serta keluarga mereka bagi mengurangkan risiko yang ada di sekeliling mereka,” sambung Sufyan.
Walau bagaimanapun, kami percaya kanak-kanak boleh diperkasakan dengan memainkan peranan aktif dalam bertindak menghadapi risiko bencana.
Qayyum, 12 tahun, memberitahu apakah yang telah dia pelajari dalam pembelajaran DRR dan bagaimana untuk bersedia menghadapi banjir: “Kalau air mula naik, saya akan bantu keluarga saya menyimpan barang penting dahulu dan memasukinya ke dalam beg plastik. Kemudian, kami akan simpan ia di tempat tinggi. Setelah selesai perkara tersebut, kami akan bersiap-sedia untuk beredar ke pusat pemindahan.”
Dengan penuh bangga Qayyum berkata, “Pernah suatu kali, mak ayah saya dah pergi ke pusat pemindahan, tapi saya dan adik saya terperangkap di rumah selama dua hari. Kami duduk di tingkat atas sebab tingkat bawah sudah dinaiki air. Kami hanya makan roti dan ikan sardin dalam tin. Keesokan hari baru abang bomba datang selamatkan kami.”
Pernah suatu kali, mak ayah saya dah pergi ke pusat pemindahan, tapi saya dan adik saya terperangkap di rumah selama dua hari. Kami duduk di tingkat atas sebab tingkat bawah sudah dinaiki air. Kami hanya makan roti dan ikan sardin dalam tin. Keesokan hari baru abang bomba datang selamatkan kami.
“Kami tidak ingin kanak-kanak mempelajari bencana banjir apabila mereka mengalami dan menjadi mangsa keadaan. Mudah-mudahan modul ini akan mencapai para pelajar di seluruh negara dan mereka tidak perlu mengalami bencana seperti banjir, tanah runtuh atau gempa bumi,” kata Sufyan.
Pengurusan Risiko Bencana (DRR) adalah suatu pendekatan yang sistematik diambil bagi mengenalpasti, menilai dan mengurangkan risiko kejadian sebuah bencana. UNICEF dengan kerjasama Kementerian Pendidikan Malaysia dan sokongan oleh Pusat Kajian Bencana Asia Tenggara (SEADPRI), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NaDMA) telah mengadakan beberapa bengkel baru-baru ini bagi membentuk dan memperhalusi modul pendidikan Pengurangan Risiko Bencana dikhususkan bagi pelajar sekolah rendah seluruh Malaysia.
Demi memartabatkan hak keselamatan dan pendidikan kanak-kanak, usaha seperti ini dapat memastikan golongan muda mampu diperlengkapkan dengan ilmu pengetahuan yang cukup untuk perlindungan kendiri. Cikgu Eddie daripada SK Sri Rantau Panjang 2 merupakan salah seorang guru yang telah mengambil kursus latihan modul DRR.