Maklumat Keselamatan Banjir

Apa anda perlu tahu sebelum, semasa, dan selepas bencana banjir kilat.

UNICEF
Mother holding her child in her arms as she traverses through flooded road
UNICEF/UN0730487/Bashir
16 July 2024

Pengalaman menghadapi bencana banjir kilat merupakan peristiwa getir dan pahit untuk semua orang—terutama sekali kanak-kanak dan keluarga mereka. Jika anda tinggal di kawasan banjir berisiko tinggi, ikuti langkah-langkah ini untuk melindungi diri dan keluarga anda.

Cara Bersedia Untuk Banjir

Blue sign of crosswalk on top of floodwater
UNICEF/UNI400310/Filippov

Maklumkan Kepada Keluarga Anda Tentang Banjir

Luangkan masa bersama supaya anda dapat berkongsi maklumat tentang bencana banjir dan punca kejadiannya.

Raptai Keselamatan Banjir

Ketahui laluan pemindahan selamat untuk diambil jika berlakunya bencana banjir. Kemudian, jalankan raptai bersama keluarga anda. Bincangkan di manakah titik temu yang dipersetujui jika anda terpisah. Sediakan “kit kecemasan” yang mempunyai bekalan makanan tak mudah rosak, kit pertolongan cemas, lampu suluh, bateri, botol air minuman yang dapat bertahan untuk beberapa hari andainya anda perlu meninggalkan kediaman anda, ataupun perkhidmatan umum terputus. Tanya sekolah anak-anak anda dan ketahui juga perancangan mereka jika berlakunya bencana banjir.

Ketahui Risiko dan Bahaya

Ketahui tentang jenis bencana banjir yang boleh berlaku dalam komuniti anda. Dapatkan maklumat daripada pihak berkuasa kawasan anda sekiranya berlaku kecemasan. Ambil peduli tentang ramalan cuaca yang memaklumkan sebarang kemungkinan banjir dan ambil tahu tentang sistem amaran di kawasan anda dengan menyelidik siapakah pemberi amaran, bagaimana mereka menyampaikan maklumat dan berapa ramaikah sedar banjir akan, sedang, atau telah berlaku. Selain itu, penting untuk anda tahu juga tahap risiko kawasan anda menetap.

Ajar Anak-Anak Berenang

Lemas merupakan punca utama kematian semasa banjir.

Lindungi Dokumen Penting

Simpan sebarang dokumen penting seperti dokumen pengenalan di tempat tinggi rumah anda atau dalam bekas kedap udara dan kalis air (seperti beg plastik boleh tutup semula) bagi mengurangkan risiko kerosakan.

Apa yang Anda Perlu Lakukan Semasa Banjir

A family crossing flooded roads, both parents holding a child in their arms
UNICEF/UN0831602/Andriantsoarana

Dengar Arahan Pihak Berkuasa Kawasan Anda

Ikuti berita mengenai kawasan anda atau dengarkan siaran langsung terbaharu melalui stesen radio mengenai laporan cuaca dan nasihat rasmi. Jika anda diarahkan untuk berpindah, dapatkan kit kecemasan serta dokumen pengenalan anda dan lakukan dalam kadar segera. Jika penggerak balas pertama meletakkan sebat atau sekatan, jangan cuba melintasi batas tersebut—ia diletakkan untuk mengarahkan orang jauh dari kawasan berbahaya.

Lindungi Rumah Anda

Jika anda berpeluang dan berkemampuan, cabutkan peralatan elektronik dan matikan sebarang utiliti seperti suis elektrik, saluran gas dan air sebelum meninggalkan kediaman anda. Lakukan dengan cermat dan elakkan daripada tercedera.

Naik ke Tanah Tinggi

Elakkan berada di kawasan air yang bergenang, mengalir atau sedang naik. Bergerak ke tanah lebih tinggi dan jangan cuba untuk meredah, berenang atau memandu di kawasan air banjir yang mengalir deras. Jika anda berada di dalam sebuah kenderaan dan air mula memasuki kenderaan anda, segera keluar dan naik ke bumbung kenderaan tersebut. Jika anda terperangkap dalam sebuah bangunan, bergerak ke tingkat lebih tinggi atau terus menaiki kawasan atap jika perlu. Jangan memasuki kawasan tertutup di tingkat paling tinggi rumah anda, contoh seperti loteng atau para—ruang tersebut berisiko untuk memerangkapkan anda jika air banjir sedang meninggi.

Jangan bagi anak-anak meredah kawasan air banjir yang mengalir atau bergenang

Walaupun jumlah air yang berada di tingkat bawah itu cetek, ia masih berisiko untuk kesihatan anak-anak anda. Ingatkan anak-anak belia anda untuk tidak membawa kenderaan mereka semasa berlakunya banjir.

Pastikan Keluarga dan Rakan-Rakan Tahu Keadaan Anda

Sebaik sahaja anda berada di kawasan selama dan saluran komunikasi sudah ada, pastikan anda memaklumkan keluarga dan rakan-rakan anda tentang status anda terkini secepat mungkin.

Apa yang Anda Perlu Lakukan Selepas Banjir

A child sitting in a boat with a concerned look on her face.
UNICEF/UN0377672/Billy/AFP-Services

Dapatkan Maklumat Terkini

Perhatikan maklumat dan laporan terbaharu daripada pihak berkuasa kawasan anda dan hanya pulang ke tempat tinggal anda apabila pihak berkuasa isytiharkan ia selamat untuk berbuat begitu.

Jaga Kesihatan Keluarga Anda

Air yang tercemar akibat banjir mendatangkan pelbagai risiko kesihatan kepada anda sekeluarga. Penyakit bawaan air seperti taun dan demam kepialu sering terjadi selepas banjir. Sebolehnya, jauhkan anak-anak anda daripada air banjir yang kotor dan dicemari kuman. Jika anak anda terdedah kepada air banjir, pastikan mereka dimandikan sejurus anda mampu berbuat sedemikian. Selain itu, pastikan mereka juga kerap basuh tangan. Jika anda atau mana-mana anggota keluarga anda berasa kurang sihat, sila berjumpa dengan doktor secepat mungkin.

Lindungi Bekalan Makanan dan Minuman

Tutup bekalan makanan dan minuman anda agar ia terlindung daripada pencemaran. Jerang air yang dikumpul daripada sumber tidak terawat sekurang-kurangnya tiga minit sebelum digunakan. Pastikan anda menggunakan air yang telah dijerang untuk tujuan memasak dan mencuci makanan, serta peralatan memasak seperti periuk, kuali, juga perkakas makanan yang lain. Jangan sesekali minum air tercemar atau makan makanan yang basah.

Berhati-hati Ketika Membersih

Awasi persekitaran anda jika anda mengepam air keluar dari dalam rumah anda. Lakukan dengan cermat, serta perhatikan sebarang serpihan berbahaya seperti wayar elektrik. Jika berkemampuan, keringkan kawasan terjejas secepat mungkin dalam tempoh 24 hingga 48 jam. Pastikan kawasan yang basah mendapat pengudaraan yang baik. Lupus mana-mana barang yang tidak boleh dikeringkan atau dibaiki.

Selain itu, kurangkan sebanyak mungkin penglibatan anak-anak dalam aktiviti pembersihan. Sebelum kanak-kanak dan belia boleh pulang dengan selamat, pastikan mainan, pakaian, serta ruang tamu dan bilik mereka dicuci dan dinyahkuman. Barangan yang terjejas teruk dan dicemari air banjir seharusnya dilupuskan.

Menenangkan Anak-Anak Anda Selepas Banjir 

A woman comforting a child by hugging them
UNICEF/UN0665092/Latayko

Bercakap dan Mendengar Secara Terbuka

  • Pastikan anda memberi peluang kepada anak-anak anda untuk meluahkan perasaan mereka menghadapi bencana banjir. Berikan galakan untuk mereka berkongsi sebarang kebimbangan, ketakutan, mahupun kerisauan.
  • Tunjukkan kepada mereka yang anda sedia mendengar dan anda mengambil berat tentang perasaan mereka.

Berikan Kata-Kata Semangat

  • Ingatkan mereka bahawa banjir dan kesannya bukan kekal. Terangkan kepada anak-anak anda bencana alam bukan salah siapa-siapa pun.
  • Pastikan anak-anak anda berasa dikasihi dan disayangi dengan meluangkan masa bersama-sama mereka.

Perhatikan Petanda Tekanan Emosi

  • Walaupun pada luarannya kanak-kanak kelihatan biasa dalam tempoh sebulan-dua pasca bencana, perasaan kaku akibat terkejut segera hilang dan tanda-tanda trauma mula timbul. Kondisi seperti kebimbangan dapat dijangkakan berlaku, namun jika ia berlarutan selama beberapa bulan atau anak-anak anda mengalami simptom yang lebih parah, contoh seperti serangan panik atau mempunyai keinginan untuk mencederakan diri mahupun orang lain, dapatkan bantuan serta sokongan doktor am anda atau pakar kesihatan mental dengan kadar segera.

Amalkan latihan menenangkan bersama

  • Senaman pernafasan dalam sangat membantu. Ia sesuatu amalan yang anda boleh lakukan bersama anak-anak yang lebih tua. Jika anda mempunyai anak-anak kecil, jadikan ia sebagai permainan: setiap selang beberapa detik, cuba tenangkan tubuh dan minda dengan perlahankan nafas anda.

Cuba kekalkan sesuatu rutin

  • Walaupun anda dan keluarga kini melalui detik hitam, pastikan anda mempunyai sinar harapan. Salah satu cara adalah dengan mengadakan waktu makan dan tidur yang tetap. Ini dapat membantu menenteramkan anak-anak anda dengan memberi mereka berasa kehidupan seolah-olah seperti sebelum berlakunya bencana banjir.