Coretan Hidup

Pendahuluan

HIV/AIDS

Penyusuan susu ibu

Perlindungan Kanak-kanak

Keperluan kesihatan asas

Pendidikan

Tsunami

 

Nikmat dari ibu penuh kasih sayang

© Ihsan dari Wardina Safiyyah Fadlullah

Oleh Jeswan Kaur
 
KUALA LUMPUR, 28 Julai 2008 – Penyusuan susu ibu adalah tentang kasih sayang dan kenyataan ini disokong sepenuhnya oleh selebriti yang bergelar ibu di Malaysia, Wardina Safiyyah Fadlullah (29) yang percaya bahawa susu ibu adalah satu-satunya pilihan untuk ibu memberikan nutrisi kepada bayi mereka.

“Penyusuan susu ibu merupakan sesuatu yang amat dekat di hati saya. Bagi saya penyusuan susu ibu merupakan satu-satunya cara semulajadi untuk dilakukan, oleh itu apabila anak saya, Amna Nafeesa dilahirkan lima tahun yang lalu, saya telahpun membuat keputusan untuk menyusukannya sehinggalah dia berumur dua tahun,” kata pelakon, pengacara, penulis dan juga pereka dalaman ini yang telah menyusukan kedua-dua orang anak perempuannya dan kini amat teruja untuk menjalinkan hubungan ibu-anak dengan bayi yang ketiganya.

”Saya kini sedang mengandung anak yang ketiga saya dan saya sememangnya HANYA akan memberikan susu ibu kepada bayi ini!

Tidak terpedaya dengan formula gantian

Walaupun kebanyakan ibu-ibu yang sibuk dengan kerja terpedaya dengan promosi-promosi hebat oleh syarikat susu dengan mempengaruhi mereka untuk memilih susu formula, namun begitu Wardina yang mempunyai pelbagai komitmen professional tidak pernah terpedaya dengan formula gantian tersebut walaupun sekali.

“Setelah membaca tentang bagaimana IQ kanak-kanak yang telah diberikan susu ibu adalah lebih tinggi 6 sehingga 10 kali ganda, saya tahu apa yang saya mahukan. Terdapat banyak kelebihan penyusuan susu ibu. Kanak-kanak mula berjalan dan bercakap lebih awal, mereka mempunyai kemahiran bersosial yang lebih baik, mereka mempunyai pembesaran rahang dan gigi yang lebih baik, mereka lebih sihat dan ceria,” terang Wardina. “’Kandungan’ yang terdapat di dalam susu ibu tidak boleh ditiru.”

Persekutuan Sedunia Tindakan Penyusuan Susu Ibu (World Alliance for Breastfeeding Action - WABA) mengesahkan keyakinan Wardina dengan menyatakan bahawa susu ibu mengandungi segala nutrien yang diperlukan dan juga antibodi yang boleh melawan jangkitan.
 
”Bukti saintifik daripada beratus-ratus kajian yang telah dijalankan selamat 25 tahun yang lepas telah menunjukkan dengan jelas bahawa penyusuan susu ibu merupakan cara optimum untuk memberikan nutrisi dan membesarkan bayi,” kata Penyelaras Minggu Penyusuan Susu Ibu Sedunia WABA, Julianna Lim Abdullah. “Ini dibandingkan dengan kanak-kanak yang tidak diberikan susu ibu sepenuhnya dalam masa enam bulan yang pertama lebih terdedah kepada penyakit seperti diabetis jenis 1 (40 peratus), obesiti (25 peratus), leukaemia (30 peratus), cirit-birit (100 peratus), jangkitan telinga yang berulang (60 peratus) manakala 25 peratus lagi lebih cenderung untuk dimasukkan ke hospital disebabkan oleh jangkitan-jangkitan repsiratori seperti lelah dan paru-paru berair.”

Mengepam susu sepanjang masa

Keyakinan Wardina terhadap susu ibu telah mencabar beliau untuk mencari cara-cara yang kreatif di dalam memastikan agar bayinya mendapat yang terbaik.

“Kerana saya bekerja, jadi memang agak sukar. Saya terpaksa mengepam susu SEPANJANG MASA! Saya terpaksa merancang masa saya, mengurus dan ‘menyelitkan’ sesi mengepam saya di setiap kesempatan yang ada dalam jadual saya yang sememangnya sudah ketat,” ketawa Wardina.

“Tetapi saya tidak berputus asa. Saya cuba membaca sebanyak yang mungkin, berbincang dengan ibu-ibu ‘profesional’ lain yang juga mengepam dan lama-lama ia menjadi kebiasaan. Sebelum saya kembali bekerja saya akan menyimpan sebanyak 80 buah botol susu yang telah dipam di dalam peti ais dan mengamalnya setiap kali. Saya akan mengepam di mana-mana sahaja, di semua tempat, kerana tempat-tempat kerja di Malaysia ini bukanlah ‘mesra ibu’. Saya akan mengepam di dalam kereta, dalam tandas, di belakang pintu – anda namakan sahaja tempatnya. Saya tidak pernah terlepas sesi mengepam saya dan selepas beberapa kali ia telah menjadi sesuatu yang biasa dan telah menjadi sebahagian dari diri saya. Saya tidak akan ke mana-mana tanpa pam atau bayi saya!”

Kerana sayangkan bayi saya

Di kala menghadapi segala ‘cabaran’ yang ada, dari mana datangnya keyakinan beliau terhadap penyusuan susu ibu?

“Quran menggalakkan para ibu menyusukan bayi mereka sehingga berumur dua tahun. Keyakinan saya telah bertambah kerana saya inginkan hanya yang terbaik untuk anak-anak saya. Anda boleh membeli barang-barang mainan yang mahal untuk anak-anak anda dan hantar mereka ke sekolah yang terbaik tetapi bagi saya yang TERBAIK bermula dengan penyusuan susu ibu," tambah Wardina.

“Ia semamangnya tidak ternilai! Apa yang saya boleh pastikan, saya tidak pernah menyesal menyusukan anak-anak saya. Duit tidak boleh membeli jalinan hubungan rapat yang saya kongsi bersama dengan anak-anak saya kerana saya telah memberikan mereka sesuatu yang orang lain tidak dapat berikan!”

“Salah faham tentang ‘tidak mengasilkan susu yang secukupnya’ dan ‘formula juga adalah bagus’ tidak membantu langsung. Kita perlu mengubah pemahaman ini agar dapat melihat bayi-bayi yang lebih sihat dan ceria.” 
 
Sokongan keluarga

Pencarian Wardina di dalam memastikan anak-anak beliau mendapat nutrisi yang terbaik iaitu melalui susu ibu berjaya menjadi kenyataan dengan sokongan yang telah ditunjukkan oleh keluarganya.

“Keluarga saya amat kagun dengan komitmen yang telah saya tunjukkan. Tidak pernah sekalipun mereka mencadangkan agar saya berhenti atau bertukar kepada susu formula kerana saya selalu bercakap tentang manfaat-manfaat penyusuan susu ibu! Saya juga telah mengikuti kursus laktasi selama 12 jam untuk mendapat lebih banyak maklumat dan saya masih terus menyokong rakan-rakan lain untuk menyusu bayi mereka.”

Bercerita tentang sokongan dari bapa kepada anak-anaknya, Wardina menyindir:  “Dia tak tahu banyak pun. Saya yang membaca, menerangkan semuanya kepada dia dan pada masa yang sama memberitahunya betapa bertuahnya dia kerana mempunyai seorang isteri yang sangat bertekad dan berfikiran panjang.”

Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.

 

 

 

 

Minggu Penyusuan Ibu Sedunia 2008

     Sokongan Ibu:
   Kearah Pingat Mas
     1 – 7 Ogos 2008
...................................

Berita

Aktiviti UNICEF Malaysia sekitar WBW '08

 


Kisah benar: Penyusuan susu ibu di Malaysia

Search:

 Email this article

unite for children