Press

Media centre

News Releases

Reporters' toolkit

Ethical guidelines

Hot topics

Children and media

Calendar 2016

Press contacts

 

Kenyataan tentang Kanak-Kanak Pinggiran Laporan UNICEF 2018

NEWS RELEASE

 

Kenyataan tentang Kanak-Kanak Pinggiran Laporan UNICEF 2018

Dikeluarkan oleh Marianne Clark-Hattingh, Wakil UNICEF di Malaysia

UNICEF berbesar hati melihat tindak balas yang positif untuk kajiannya bertajuk Kanak-Kanak Pinggiran: kaji selidik mengenai kemiskinan dan penafian hak kanak-kanak bandar di rumah pangsa di Kuala Lumpur yang diterima daripada rakan-rakan kongsi kerajaan, ketua-ketua komuniti, serta komuniti yang lebih luas sejak pelancarannya.

Dalam usaha untuk menyokong iltizam Kerajaan terhadap kemajuan berpusatkan manusia dan pembasmian kemiskinan, kaji selidik ini telah dijalankan untuk menyumbang kepada kajian separuh penggal Rancangan Malaysia Ke-11. Kemajuan ekonomi negara telah mengakibatkan pembandaran yang pesat, dengan lebih daripada dua pertiga penduduk kini menetap di kawasan bandar. Dari segi demografi, ini menjadikan Malaysia antara negara dan ekonomi yang paling terbandar di rantau ini. Walaupun pembandaran telah diuruskan dengan agak baik, kaji selidik ini menunjukkan bahawa kemajmukan di komuniti-komuniti bandar menyembunyikan ketaksaksamaan dan deprivasi yang teruk. Dengan memberi tumpuan terhadap golongan kanak-kanak di kawasan-kawasan bandar yang miskin di sekitar Kuala Lumpur, kajian ini mendedahkan keadaan kanak-kanak yang hidup dalam serba kemiskinan di kalangan kita. Kajian Kanak-Kanak Pinggiran membekalkan bukti kepada para penggubal dasar untuk menyokong dasar-dasar dan usaha pengantaraan yang disasarkan bagi menangani hasil kajian tersebut dan memastikan tiada kanak-kanak yang ketinggalan, selari dengan iltizam kerajaan terhadap Agenda 2030 dan Transformasi Nasional 2050.

Sejak Merdeka, Malaysia telah mencapai kemajuan yang besar dalam meningkatkan kesejahteraan masyarakatnya. Beraneka program kerajaan telah dijalankan untuk mengurangkan kemiskinan serta menyasarkan golongan penduduk yang paling kurang mujur, termasuk kanak-kanak. Laporan UNICEF tentang kemiskinan kanak-kanak bandar jelas menunjukkan kemajuan dan kesan yang ketara dalam mengurangkan kemiskinan serta memperbaikkan keadaan kanak-kanak di Malaysia.

Berbanding dengan negara-negara lain yang sedang menghadapi kadar pembandaraan yang tinggi, data menunjukkan bahawa pengangguran bukanlah merupakan isu di kalangan penghuni rumah pangsa kos rendah di Kuala Lumpur. Malah, kajian tersebut menunjukkan bahawa 90% daripada ketua-ketua keluarga yang ditinjau bekerja sepenuh masa. Mereka biasanya bekerja lebih untuk pendapatan yang rendah, iaitu sebanyak 48 jam seminggu berbanding dengan purata nasional sebanyak 47 jam. Namun begitu, mereka hanya mendapat gaji sebanyak RM9 sejam berbanding dengan purata nasional sebanyak RM12 sejam.

Dalam bidang pendidikan, laporan tersebut menunjukkan bahawa 98% daripada kanak-kanak berumur 7 hingga 17 tahun telah berdaftar di sekolah, iaitu bukti bahawa Malaysia telah menyediakan akses universal kepada pendidikan sekolah rendah dan menengah. Dalam membandingkan huraian keputusan yang diterima dalam pemeriksaan PMR dengan purata nasional, kanak-kanak yang menetap di rumah pangsa PPR mencapai keputusan yang selari dengan purata nasional walaupun mereka menghadapi pelbagai cabaran seperti kekurangan barang mainan, buku, tempat belajar yang sesuai dan akses kepada makanan yang berkhasiat.

Kami senang hati melihat perbahasan yang semakin berkembang di sekitar pencarian cara-cara baharu bagi meningkatkan kesejahteraan kanak-kanak yang menetap di rumah pangsa kos rendah, dan kami sedang mengikuti dengan teliti kebangkitan seruan untuk elaun pengasuhan anak universal, selari dengan salah satu cadangan dasar yang dikemukakan di dalam laporan tersebut.

Sedang negara ini bergerak ke arah peringkat akhir dalam pembasmian kemiskinan, penting untuk kita memastikan hasil-hasil yang bermakna untuk golongan kanak-kanak yang paling lemah; sesuatu yang memerlukan dasar-dasar yang lebih kuat, landasan perlindungan sosial yang terselaras, serta perkongsian. Di samping itu, kita perlu ingat bahawa pembasmian kemiskinan dan usaha untuk memastikan tiada sesiapa yang ketinggalan bukan sahaja merupakan tanggungjawab Kerajaan, tetapi merupakan tanggungjawab bersama – tangungjawab sektor swasta, masyarakat sivil serta individu.

Pautan kepada laporan tersebut: https://www.unicef.org/malaysia/resources_27407.html

Pautan kepada gambar-gambar yang diambil oleh kanak-kanak yang terlibat: https://www.dropbox.com/sh/7rc7xj8btxhf0qx/AAAnLOBrtzkg-1X7a5gR-iGwa/Photos%20-%20by%20children?dl=0

 

 

 

 
Search:

 Email this article

Donate Now

unite for children