Menggunakan cerita rakyat bagi memperkayakan dan menggalakkan pendidikan untuk anak-anak Orang Asli di Malaysia
Oleh Steve Nettleton Tradisi yang diturunkan dalam bentuk cerita ini memainkan peranan yang penting bagi masyarakat etnik Jakun Tasik Cini di Semenanjung Malaysia. Ia berperanan bukan sahaja untuk mendidik kanak-kanak seperti Nurkafiha yang berumur sembilan tahun tentang sejarah masa lalu tetapi ia juga boleh memberikannya peluang untuk masa hadapan yang lebih cerah. Nurkafiha kini sedang menuntut di darjah tiga di sekolah rendah Tasik Cini. Melalui aktiviti bercerita dan menyanyi, dia dapat mempelajari tentang warisan nenek moyangnya yang menjadikan pembelajaran lebih menarik. Cerita rakyat etnik di dalam kurikulum sekolah
“Saya amat menyukai cerita rakyat kerana ianya amat lucu,” kata Nurkafiha. “Dan saya boleh berlakon, dan membaca serta menulis.” Memperkenalkan cerita rakyat etnik ke dalam kurikulum ini merupakan sebahagian daripada usaha yang disokong oleh UNICEF untuk mengurangkan kadar keciciran di kalangan penduduk asal di Malaysia, juga lebih dikenali sebagai Orang Asli. Program pendidikan diperluas
Kadar pendaftaran telah meningkat semenjak beberapa dekad yang lepas. Namun begitu, pada tahun 1994, 51 peratus daripada anak-anak Orang Asli tercicirsebelum menamatkan sekolah rendah. Menjelang tahun 2004, soal selidik yang dijalankan oleh UNICEF Malaysia telah menunjukkan bahawa 14 peratus daripada anak-anak Orang Asli yang sepatutnya berada di sekolah rendah tidak menghadiri sekolah. Dengan bantuan dari UNICEF, Kementerian Pendidikan Malaysia telah memperluaskan lagi program pendidikan pemulihan khas kepada 93 buah sekolah Orang Asli di seluruh negara, UNICEF dan pihak Kementerian juga kini sedang bekerja untuk membangunkan bahan-bahan pembelajaran yang baru yang menggabungkan cerita-cerita rakyat dan teknik-teknik bercerita di mana kanak-kanak daripada pelbagai kumpulan etnik Orang Asli dapat memahami dengan lebih mudah. “Program ini benar-benar membantu,” kata pengetua Sekolah Rendah Tasik Cini, Akit bin Huat, “kerana di dalam masyarakat ini bercerita merupakan satu bentuk hiburan. Apabila seorang pencerita berkongsi sebuah kisah dengan anak-anak dan cucu mereka, mereka membantu kanak-kanak ini untuk mengingati cara kehidupan masyarakat mereka sendiri. Ia membuatkan kanak-kanak ini lebih berminat.” Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
Video Wartawan UNICEF Steve Nettleton melaporkan tentang cerita rakyat tempatan sebagai satu cara untuk memperluaskan pendidikan bagi kanak-kanak Orang Asli. Laporan video di dalam Bahasa Inggeris. Pendidikan di dalam Hak Asasi Manusia - Sumber Kisah benar: Malaysia Berita 19 Ogos 2008: 26 Jun 2008: 12 Jun 2008: 20 November 2007: 25 Julai 2007: 28 April 2005: |