Galakkan minat membaca di kepulauan jauh di Malaysia
Oleh Steve Nettleton PULAU TIMBANG, Malaysia, 29 Februari 2008 – Sinaran mentari yang berwarna merah jambu dan oren kelihatan menembusi awan-awan di langit, dua orang budak lelaki pula kelihatan sedang melompat masuk ke atas sebuah bot panjang bermotor dengan ibu masing-masing. Mereka sedang menuju ke Pulau Timbang, iaitu perjalanan yang memakan masa selama setengah jam, di mana dua orang ibu tersebut bekerja sebagai guru dan anak-anak mereka pula menghadiri kelas. Bot-bot kecil seperti ini merupakan satu-satunya pengangkutan untuk kanak-kanak yang berulang-alik ke sekolah di kepulauan yang terletak agak jauh dan terasing di Malaysia ini – itupun sekiranya mereka pergi ke sekolah. Pendaftaran di peringkat sekolah rendah adalah amat rendah di kalangan masyarakat orang asli di Borneo berbanding dengan lain-lain masyarakat di negara ini. Sabah, negeri di mana terletaknya Pulau Timbang, merupakan satu-satunya negeri di Malaysia yang mempunyai bilangan kanak-kanak yang berada di darjah lima yang telah menurun secara mendadak, iaitu sebanyak 8 peratus di antara tahun 1991 dengan 2001. Kemiskinan dan lokasi yang terletak jauh di kawasan pedalaman merupakan faktor-faktor utama yang menyebabkan penurunan ini di kalangan masyarakat orang asli. ‘Tinggalkan yang lain dan mula Membaca’
Untuk membalikkan semula tren ini, satu program baru telah dilaksanakan yang bertujuan untuk menggalakkan peningkatan kehadiran ke sekolah di kalangan anak-anak orang asli dengan menjadikan pembelajaran satu pengalaman yang lebih menarik. Para pelajar di dalam program ini – yang juga dikenali sebagai ‘Tinggalkan yang lain dan Mula Membaca’ (Drop Everything and Read’ atau DEAR) – menggunakan computer untuk belajar tentang sebutan, perkataan dan juga ejaan. Guru menggunakan permainan yang berasaskan pendidikan dan bahan-bahan yang telah direka untuk menarik perhatian anak-anak orang asli serta menggalakkan sikap membaca. Degan sokongan yang diberikan oleh UNICEF dan Kementerian Pendidikan Malaysia, program ini telah diperkenalkan di 30 buah sekolah di seluruh negeri Sabah dan Sarawak. Kem-kem program DEAR yang dijalankan selama tiga hari juga telah dianjurkan, ianya telah berjaya mengumpul para pelajar yang telah berkongsi pengalaman dan bersaing di dalam pertandingan mengeja. “Apa yang paling penting adalah untuk menarik minat mereka terhadap pendidikan dan menarik minat mereka terhadap membaca,” kata Timbalan Menteri untuk Kementerian Pendidikan, Hon Choon Kim. “Berdasarkan maklumbalas yang saya didapati daripada ibu bapa dan juga para pegawai, nampaknya memang memberangsangkan.” Membina asas untuk kehidupan
Zaini bin Ali, 12 tahun, merupakan salah seorang pelajar cemerlang di dalam kealsnya. Dia bukan sahaja selalu menghadirkan diri ke sekolah tetapi dia juga melibatkan diri dengan kem-kem program DEAR. Dai berasal dari kaum orang asli Bajau, iaitu kumpulan etnik yang kedua terbesar di Sabah. Keluarga Zaini, seperti keluarga yang lain di Pulau Timbang menyara kehidupan mereka sebagai nelayan. Dia selalu menolong membersihkan udang dan lain-lain tangkapan yang dibawa pulang oleh ayahnya yang seorang nelayan. Dia juga mengatakan bahawa dia amat menyukai Bahasa Inggeris dan juga suka melawat perpustakaan baru di sekolah dengan gurunya. “Saya ingin menjadi seorang doktor suatu hari nanti,” kata Zaini. “Dengan mempelajari Bahasa Inggeris sekarang, saya boleh membina asas yang boleh membantu saya di kemudian hari.” Para advokat yang menyokong DEAR berharap agar persekitaran di dalam kelas menjadi lebih interaktif dan lebih menarik untuk memastikan bahawa sekolah memainkan peranan yang lebih penting di dalam kehidupan anak-anak orang asli seperti Zaini – dengan meningkatkan prestasi di dalam kelas dan juga di dalam peperiksaan kebangsaan, serta memahami dengan lebih mendalam lagi dunia yang terletak di luar sempadan kepulauan yang didiaminya. Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
Video Februari 2008: Laporan video di dalam Bahasa Inggeris. Pendidikan di dalam Hak Asasi Manusia - Sumber Kisah benar: Malaysia Berita 19 Ogos 2008: 26 Jun 2008: 12 Jun 2008: 20 November 2007: 25 Julai 2007: 28 April 2005: |