Coretan Hidup

Pendahuluan

HIV/AIDS

Penyusuan susu ibu

Perlindungan Kanak-kanak

Keperluan kesihatan asas

Pendidikan

Tsunami

 

Pemimpin Agama menerajui peningkatan kesedaran terhadap AIDS

© UNICEF Malaysia/2007/Nadchatram
Kanak-kanak sedang mengambil bahagian di dalam pertandingan melukis manakala ibu bapa mereka sedang mendengar ceramah-ceramah yang diberikan ketika berlangsungnya Program Kesedaran AIDS Masjid Oran.

Oleh Su-May Tan dan Indra Nadchatram

ARAU, PERLIS, Disember 2007 – Pada pagi Sabtu di Daerah Mata Ayer, kanak-kanak beserta ahli keluarga mereka berkumpul bersama-sama dengan para pemimpin agama di Masjid Oran, di mana ianya kelihatan seperti mana-mana hari perjumpaan keluarga. Tetapi dengan berlatar belakangkan sepanduk yang tertera “Pencegahan dan kesedaran terhadap HIV’, memang jelas bahawa ini bukanlah perjumpaan hari minggu yang biasa. 

Sementara epidemik HIV di Malaysia kebanyakannya terdiri daripada kaum lelaki yang menyuntik dadah, tetapi pada masa yang sama terdapat kebimbangan terhadap peningkatan jangkitan melalui jangkitan heteroseksual, daripada 4.9 peratus pada tahun 1990 kepada 27 peratus pada tahun 2006. Di Perlis, kebanyakan jangkitan heteroseksual berlaku di dalam masyarakat nelayan yang terpinggir, di mana lokasinya adalah berdekatan dengan negara Thailand dan sitausi ini telah menambahkan permasalahan kepada masyarakat ini.

Imam Ya’ Ali (63), Ketua Imam di Masjid Oran telah membuat keputusan untuk tidak membuang masa lagi dan terus bertindak untuk melindungi masyarakat beliau daripada penyakit ini. Beliau merupakan salah seorang peserta seminar anjuran Kementerian Kesihatan Malaysia dan UNICEF pada bulan Jun yang lepas untuk para pemimpin agama Islam, Imam yang ringkas dan bersemangat tinggi ini adalah imam yang pertama melaksanakan perancangan-perancangan yang telah diperbincangkan di dalam seminar tersebut.

Mengajar tentang HIV melalui Islam

“Kita boleh gunakan agama untuk memberi inspirasi kepada lain-lain pemimpin masyarakat untuk memberi sokongan terhadap pendidikan HIV,” kata beliau. “Islam boleh dijadikan sebuah dasar untuk mendidik ibu bapa dan golongan muda tentang risiko-risiko terhadap kesihatan yang berkait rapat dengan kelakuan-kelakuan tertentu”. Hasilnya adalah Program Kesedaran AIDS Masjid Oran yang telah diadakan dengan kerjasama Jabatan Kesihatan negeri Perlis dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) yang disokong oleh Persatuan Bola Sepak Manchester United melalui perkongsian “United for UNICEF”.

© UNICEF Malaysia/2007/Nadchatram
Imam Ya' Ali berharap agar dapat menggunakan pendekatan agama untuk memberi inspirasi kepada pemimpin masyarakat lain di dalam menyokong pendidikan HIV bagi golongan muda.

Dengan semangat waja, Imam Ya’ Ali bertekad untuk menggalakkan lima puluh orang imam daripada seluruh negeri Perlis agar melibatkan diri di dalam Bengkel selama dua hari yang diadakan di Masjid ini. Antara lainnya, para pemimpin agama diberikan peluang untuk mempelajari tentang HIV dan AIDS serta tindakan-tindakan yang dapat melindungi masyarakat mereka daripada penyakit tersebut dan juga stigma yang sering dikaitkan dengannya.

Pada suatu ketika dahulu, para pemimpin agama menekankan agar tidak melakukan hubungan seks dengan berdakwah agar “Takut kepada Tuhan” dan para doktor pula memberi fokus kepada rawatan dan cuba untuk “membaiki” situasi, kini, Imam Ya’ Ali meluahkan harapan beliau agar “gabungan kedua-dua buah institusi ini” akan dapat membantu melindungi golongan remaja di negeri ini daripada HIV.

“Pencegahan dan rawatan, kedua-duanya adalah amat penting. Kita tidak boleh lakukan satu tetapi tidak yang satu lagi,” terang Imam Ya’ Ali sambil memberikan komitmen masjid beliau agar terus bekerja dengan Jabatan Kesihatan Negeri di dalam menangani HIV di dalam masyarakat.

Tempat yang selamat dan selesa untuk remaja

Beliau tidak pernah melupakan komitmen beliau kepada kanak-kanak dan golongan muda, Imam Ya’ Ali atau lebih dikenali sebagai Pak Imam di kalangan pengikut-pengikutnya yang muda, juga memastikan terdapatnya aktiviti-aktiviti yang menarik dan berunsur pendidikan diadakan pada hujung minggu tersebut bersempena dengan Bengkel Pemimpin Keagamaan.

Lebih daripada 150 buah keluarga telah mengambil bahagian di dalam Program Kesedaran Masjid Oran ini dan telah mendapat peluang untuk mempelajari dengan lebih mendalam tentang HIV melalui ceramah-ceramah yang diberikan dan juga ujian saringan kesihatan untuk ibu bapa. Terdapat juga gerai-gerai pameran berunsur pendidikan oleh Agensi Anti Dadah Kebangsaan dan PROSTAR untuk remaja serta pertandingan melukis untuk kanak-kanak. 

 “Kita ingin mewujudkan persekitaran dan juga keadaan yang membolehkan remaja berasa selesa. Kita inginkan mereka agar mendekatkan diri dengan masjid dan ini boleh membantu membentuk kelakuan sosial mereka.” Namun begitu, Imam Ya A’li juga menekankan bahawa golongan muda yang melibatkan diri di dalam aktiviti-aktiviti yang dijalankan bukannya dipaksa tetapi didedahkan kepada maklumat dan juga risiko-risiko yang perlu mereka sedari.

Sokongan terhadap pusat khidmat remaja

Program HIV di masjid ini sememangnya bertepatan pada masanya dan ia boleh memberi sokongan kepada perancangan pihak Kerajaan dan UNICEF untuk memperkenalkan Pusat Remaja PROSTAR di Perlis untuk menyebarkan pendidikan HIV dan AIDS kepada remaja yang bersekolah dan yang tidak bersekolah. Berlandaskan model di negeri Kedah, Pusat ini berperanan sebagai sebuah tempat yang selamat untuk kanak-kanak dan remaja untuk menghabiskan masa lapang mereka dengan lebih bermanfaat seperti melayari internet, bertemu dengan rakan-rakan sebaya dan juga untuk mendapatkan bantuan dan maklumat mengenai HIV dan AIDS – tanpa tohmahan.

Sambil memuji inisiatif Pusat Remaja ini, Imam Ya’ Ali juga percaya bahawa program-program yang membawa kesedaran oleh masjidnya merupakan satu langkah yang bagus untuk mula mendapatkan sokongan daripada para pemimpin masyarakat.

“Anda perlu memberikan publisiti kepada program sebegini dan dapatkan sokongan daripada para pemimpin agama dan masyarakat sebelum memulakannya,” kata beliau. “Hanya dengan cara ini barulah kita dapat memastikan kejayaannya!”

Pengarah Jabatan Kesihatan negeri Perlis, Dr. Mahani Yusof amat bersetuju sekali dengan kenyataan tersebut.  “Kerana para pemimpin agama sememangnya dihormati di dalam masyarakat, sokongan daripada mereka amat kritikal untuk memastikan kejayaan mana-mana pusat.”

 “Pada pendapat saya, memang bagus apabila kita menggunakan agama Islam untuk mengajar tentang HIV. Terdapat beberapa golongan yang mungkin tidak berapa setuju. Tetapi apabila mereka memahami mengapa kita lakukan ini, mereka akan memberi sokongan mereka,” tambah Imam Ya’ Ali yang kini sudah pun memberikan sokongan, jika tidak menerajui perjuangan menentang AIDS ini. 

................................................................................

Nota
Pusat Remaja PROSTAR negeri Perlis dan program para pemimpin keagamaan beserta enam buah Pusat Remaja Kedah disokong oleh Persatuan Bola Sepak Manchester United pada tahun 2007 melalui sumbangan sebanyak RM 500,000 (US$ 150,000) kepada UNICEF Malaysia di bawah perkongsian “United for UNICEF”.

Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.

 

 

 

 

Hari AIDS Sedunia 2007

1 Disember 2007
Kepimpinan
Hentikan AIDS – Tunaikan janji

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Berita WAD 2007

PROSTAR


Bersatu untuk UNICEF

Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Bersatu untuk kanak-kanak, Bersatu menentang HIV/AIDS

Belajarilah bagaimana!

Pelancaran kempen di Malaysia *

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris


Menentang HIV/AIDS di Malaysia

Search:

 Email this article

unite for children