Coretan Hidup

Pendahuluan

HIV/AIDS

Penyusuan susu ibu

Perlindungan Kanak-kanak

Keperluan kesihatan asas

Pendidikan

Tsunami

 

Pendidik Rakan Sebaya membawa mesej AIDS ke sekolah

© UNICEF Malaysia/2007/Nadchatram
Pendidik rakan sebaya dari AIESEC, Geraldine Sandra Sebastian (di sebelah kanan sekali) berharap agar anak-anak gadis dapat diperkasa supaya mereka dapat membuat keputusan yang sihat untuk pencegahan HIV.

Oleh Su-May Tan dan Indra Nadchatram

KUALA LUMPUR, 10 November 2007 – Ketika golongan anak-anak gadis di seluruh negara sedang bersiap-sedia untuk Pertandingan Futsal Wanita 3R-UNICEF, terdapat program lain yang sedang berlaku di dewan sekolah di sekitar Johor Bahru dan Kuala Lumpur.

Dipimpin oleh para pendidik muda daripada AIESEC Malaysia dan dihoskan oleh Duta Muhibbah UNICEF, iaitu pengacara daripada rancangan TV 3R (daripada siri TV tempatan yang popular iaitu Respek, Relaks, Respon), beberapa buah bengkel, yang telah disokong oleh Persatuan Bola Sepak Manchester United melalui kerjasama dengan UNICEF, iaitu United for UNICEF, akan dianjurkan untuk membawa mesej-mesej kesedaran yang berkaitan dengan HIV dan AIDS kepada remaja perempuan. 

“Remaja perempuan lebih cenderung untuk mendapat jangkitan HIV berbanding dengan remaja lelaki,” kata Geraldine Sandra Sebastian, seorang pendidik rakan sebaya daripada AIESEC yang telah menerajui perjuangan terhadap AIDS semenjak tiga tahun yang lepas. “Ini mungkin kerana remaja perempuan diberi tekanan untuk melakukan hubungan seks dan tidak dapat mengawal dengan siapa, di mana dan bagaimana mereka akan melakukan seks.”

Geraldine yang juga merupakan Presiden AIESEC di Malaysia, merasakan bahawa bengkel-bengkel ini merupakan satu langkah ke hadapan dan menenkankan bahawa betapa pentingnya remaja perempuan diberikan segala bantuan, pendidikan dan juga kemahiran-kemahiran yang boleh melindungi diri mereka daripada jangkitan HIV.

Norma-norma sosial telah menyebabkan anak-anak gadis lebih terdedah kepada risiko dijangkiti HIV

Seperti di mana sahaja di seluruh dunia, golongan muda di Malaysia telah menyumbang kepada peningkatan bilangan jangkitan HIV setiap tahun. Statistik yang telah dikeluarkan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia pada Disember 2006 telah menunjukkan bahawa 37.12% orang yang hidup dengan HIV di Malaysia terdiri daripada golongan muda dan remaja yang berumur di antara 13 sehingga 29 tahun manakala jangkitan-jangkitan di kalangan wanita dan anak-anak gadis juga semakin meningkat dengan dramatik. Pada tahun 1990, bagi setiap 83 kes-kes yang dilaporkan, seorang daripadanya adalah wanita. Tetapi menjelang tahun 2006 bilangan tersebut telah meningkat kepada seorang wanita bagi tujuh kes jangkitan yang dilaporkan.  
   

© UNICEF Malaysia/2007/Nadchatram
Duta Muhibbah UNICEF Malaysia dan juga pengacara TV 3R, Celiina Khor menyertai permainan untuk mengajar remaja-remaja perempuan tentang HIV dan AIDS.

Menurut Duta Muhibbah UNICEF Malaysia dan pengacara rancangan TV 3R, Celina Khor, sikap sosial terhadap pendidikan seks dan seks itu sendiri kadangkala merumitkan keadaan dan menjadikannya sukar bagi anak-anak gadis untuk mendapatkan maklumat yang mereka perlukan untuk melindungi diri mereka sendiri daripada virus tersebut. 

“Program pencegahan yang mensasarkan golongan wanita dan anak-anak gadis perlu membincangkan isu-isu serta topik-topik yang realistik seperti hubungan seksual, kondom dan perlindungan.  Golongan wanita seringkali mendapat kesan akibat daripada beberapa faktor sosial  -- seks, serangan seksual dan penderaan, dan rogol – yang memusnahkan maruah diri mereka dan juga keyakinan mereka untuk meminta pasangan mereka agar menggunakan kondom” terang beliau.

Menjadikan pembelajaran tentang HIV sesuatu yang lebih menyeronokkan

Pada Bengkel yang diadakan pada awal bulan November, satu kumpulan pendidik daripada AIESEC Malaysia, 3R dan UNICEF akan mendidik beratus-ratus golongan remaja perempuan dengan menggunakan hiburan, kuiz dan juga permainan.  

Bagi para pemerhati yang mungkin menyoal samada gadis-gadis remaja ini agak terlalu muda untuk berbicara tentang AIDS atau kondom ataupun hubungan seksual, lenggok serta pergerakan anak-anak gadis ini telah menunjukkan bahawa mereka telah didedahkan kepada MTV, parti serta lain-lain aktiviti sosial di luar sekolah mereka.

Walaupun permainan yang dijalankan membawa hiburan dan gelak ketawa daripada para penonton, mesej-mesej yang dibawa oleh permainan tersebut adalah amat serius: iaitu HIV tidak mendiskriminasi; dan tindakan yang tidak bertanggungjawab dan cuai seperti melakukan hubungan seks tanpa perlindungan boleh membantu virus tersebut menembusi pertahanan golongan remaja perempuan.

“Anda tidak dijangkiti HIV daripada dadah tetapi melalui perkongsian jarum suntikan yang telah tercemar. Anda tidak dijangkiti HIV daripada seks tetapi daripada seks tanpa perlindungan dengan seseorang yang telah dijangkiti,” terang Geraldine. “Anda perlu lebih sensitif terhadap apa yang anda katakan. Objektif utama adalah untuk tidak menghakimi ataupun menyoal sesetengah kelakuan tersebut tetapi meningkatkan kesedaran tentang bahaya tindakan-tindakan tersebut terhadap kehidupan kita.”

Walaupun bengkel-bengkel ini membolehkan golongan remaja perempuan berbicara tentang subjek ini, ia juga mengajar mereka bagaimana untuk melindungi diri mereka dan apa yang mereka boleh lakukan untuk memainkan peranan yang lebih besar di dalam perjuangan menentang HIV dan AIDS di Malaysia.

Harapan untuk memperkasakan remaja perempuan

Harapan utama Geraldine adalah untuk melihat golongan remaja perempuan ini diperkasa. ”Golongan ini perlu diberi galakan untuk melindungi dan menghargai diri mereka sendiri. Program pencegahan perlu menangani isu-isu ini dan melengkapkan golongan remaja perempuan dan wanita dengan keyakinan dan pengetahuan untuk membuat keputusan yang sihat bagi diri mereka sendiri dan keputusan terhadap HIV,” tambah beliau.

Aktivis muda ini telah tertarik kepada perjuangan menentang AIDS selepas bertemu dengan beberapa orang yang hidup dengan HIV semenjak beberapa tahun yang lepas, kini berasa lebih yakin dan optimistik bahawa akan wujud generasi baru golongan anak gadis yang tidak takut untuk melangkah ke hadapan, dan bertindak lebih pro-aktif dengan pencegahan, dan bukan reaktif.

“Setakat ini kita hanya baru mengambil beberapa langkah kecil sahaja,” kata Geraldine. “Tetapi saya percaya bahawa ianya akan berubah.”

....................................................................................

Tentang AIESEC MALAYSIA
AISEC boleh didapati di 1100 buah universiti di dalam lebih daripada 100 buah negara dan tempat, AIESEC, merupakan organisasi pelajar yang terbesar di dunia, ia merupakan platform antarabangsa bagi golongan muda untuk meneroka dan mengembangkan potensi mereka agar dapat memberi impak yang lebih positif di dalam masyarakat.
Di Malaysia, AIESEC memberikan peluang dan ruangan kepada golongan muda untuk berbincang tentang isu-isu seperti HIV dan AIDS dengan tujuan untuk mendidik dan meningkatkan kesedaran di kalangan golongan muda; mempengaruhi perubahan kelakuan di kalangan para pelajar; dan juga untuk menggalakkan kehidupan yang lebih sihat dan lebih bermakna di mana ianya boleh mengurangkan bilangan golongan muda yang melibatkan diri dengan kelakuan-kelakuan yang berisiko.
Melalui perkongsian dan kerjasama dengan UNICEF dan Persatuan Bola Sepak Malaysia, remaja-remaja daripada AIESEC telah memainkan peranan tambahan pada tahun 2007 dengan mendidik para remaja daripada FAM "First Touch Football Program" dan “Pertandingan Futsal Wanita 3R-UNICEF 2007” tentang HIV dan AIDS. 
http://www.aiesec.org/malaysia

Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.

 

 

 

 

3R - UNICEF Futsal Wanita 2007

Hari AIDS Sedunia 2007

1 Disember 2007
Kepimpinan
Hentikan AIDS – Tunaikan janji

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Bersatu untuk UNICEF

Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Bersatu untuk kanak-kanak, Bersatu menentang HIV/AIDS

Belajarilah bagaimana!

Pelancaran kempen di Malaysia *

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris


Berita

4 Mac 2008:
Futsal memperkasa wanita

17 November 2007:
Anak gadis & wanita rai kehidupan

10 November 2007:
Remaja bawa mesej AIDS ke sekolah

5 November 2007:
ManU beri sokongan

6 Mei 2007:
Pemain bola sepak melawan HIV

20 Mei 2007:
Melakukan terbaik untuk atasi HIV

8 Januari 2007:
Kempen AIDS beralih ke padang bola

22 Mei 2006:
Futsal wanita cara hidup sihat*

* Berita di dalam Bahasa Inggeris.

 


Menentang HIV/AIDS di Malaysia

Search:

 Email this article

unite for children