Coretan Hidup

Pendahuluan

HIV/AIDS

Penyusuan susu ibu

Perlindungan Kanak-kanak

Keperluan kesihatan asas

Pendidikan

Tsunami

 

Kanak-kanak belajar melalui kehidupan mereka

Oleh Chew Yiwennona

Sempena dengan sambutan ulangtahun ke-18 Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) pada 20 November 2007, CHEW YIWENNONA dari the Star’s BRATs (Bright, Roving, Annoying Teens) berkongsi pandangan beliau berkenaan Artikel 29 daripada CRC.

 KUALA LUMPUR - ARTIKEL 29 Konvensyen Hak Kanak-kanak (CRC) menyatakan bahawa pendidikan harus membentuk personaliti dan kebolehan seseorang itu dengan sepenuhnya, dan pendidikan kanak-kanak juga harus mengajar mereka untuk menghormati ibu bapa mereka, hak asasi manusia, persekitaran, serta budaya kita serta budaya orang lain. Pendidikan kanak-kanak haruslah membentuk nilai-nilai kebangsaan negara mereka sendiri.

Jika Artikel 29 dilaksanakan sepenuhnya, hasil yang didapati adalah beribu-ribu insan seperti atlet Nicol David, pereka Jimmy Choo dan Angkasawan Dr Sheikh Muszaphar Shukor.

Sebaliknya, kita terbaca mengenai para graduan yang sukar untuk mendapatkan pekerjaan, di mana mereka perlu diberikan latihan untuk memudahkan mereka mendapatkan pekerjaan.

Semakin banyak para pelajar yang mencapai rentetan A, tetapi apakah kemahiran yang mereka ada? Menghafal dan mensasarkan soalan? Apabila seorang guru bertanya, “Kelas, adakah anda ingin mendapatkan ‘A’ atau memperolehi pengetahuan?”, para pelajar (terutama diri saya sendiri) akan lekas menjawab dengan lantang iaitu “Mendapatkan A”.”

Kita semua belajar dengan bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang baik. Walaubagaimanapun, kebanyakan kita masih ragu-ragu dengan apa yang boleh dilakukan selepas tamat sekolah menengah. Kebanyakan kita dapat melanjutkan pelajaran di kolej, tetapi tanpa mengetahui samada subjek yang dipelajari itu adalah sesuatu yang diminati atau tidak.

Segelintir pelajar-pelajar kolej akhirnya menukar kursus, dan berpindah-randah dari satu kolej ke kolej yang lain, mencari sesuatu yang mereka ingin pelajari.

Nilai-nilai yang dipelajari oleh anak-anak kita

Jika pendidikan kita membentuk personaliti dan kebolehan seorang kanak-kanak dengan sepenuhnya, tidakkah anak-anak muda kita akan lebih berkeyakinan terhadap apa yang mereka ingin lakukan dengan kehidupan mereka.

Jika Artikel 29 dilaksanakan dengan sepenuhnya, maka kita juga akan mempunyai daya kesedaran sivik yang lebih tinggi. Tidak akan ada pembalut bungkusan Mamee atau Choki-Choki dilontar keluar dari tingkap bas sekolah berwarna kuning tersebut. Tidak akan ada longgokan-longgokan sampah di sekitar papan tanda yang memberitahu “Jangan membuang sampah merata-rata”.

Namun begitu, pendidikan bukan sahaja tertakluk di sekolah. kanak-kanak juga belajar dari tempat dan sumber-sumber yang lain. Puisi “Children Learn What They Live” oleh Dorothy Law Nolte meluahkan nilai-nilai yang dipelajari kanak-kanak daripada sumber yang mereka terima. Para guru mungkin akan mengajar, para mubaligh akan berdakwah, para pemimpin akan memberikan ucapan-ucapan yang hebat dan para ibu bapa menasihati, tetapi kanak-kanak belajar melalui kehidupan mereka dan dari apa yang berlaku di sekeliling mereka.

Kita belajar untuk tidak sesekali melakukan jenayah akan tetapi peragut boleh didapati di mana-mana sahaja, wanita-wanita pula diganggu dan diperkosa, kanak-kanak diculik dan dibunuh.

Kita belajar supaya menjaga kebersihan alam sekitar, serta menulis esei mengenai kitaran semula di dalam kelas, akan tetapi kita masih membuang sampah merata-rata. 

 “Oh? Jadi mengapa mereka masih membuang sampah merata-rata?” soal saya kepada salah seorang dari rakan-rakan saya.

“Mereka tahu itu salah tetapi selepas mereka habis makan mereka terus sahaja piuuuu…(menunjukkan aksi membaling) beg plastik tersebut….orang lain pun buat juga apa….Kita belajar semua perkara yang betul cuma tidak pernah guna sahaja.”

Kanak-kanak belajar melalui kehidupan mereka

Kanak-kanak belajar melalui kehidupan mereka. Saya menyedari bahawa pendidikan hanya boleh melakukan sebanyak yang mungkin, tetapi di penghujungnya apa yang boleh dilakukan oleh seorang kanak-kanak adalah memilih, seperti seorang kanak-kanak lelaki yang memilih untuk duduk dan berbual-bual sementara rakan-rakan sekelasnya sibuk membersihkan kelas atau sesiapa yang memilih untuk menghadiri kelas tuisyen daripada latihan debat dan bola tampar.

Bagaimana sesorang itu boleh membentuk kemahirannya dalam perkara-perkara lain kecuali mendapatkan ‘A’? Sesetengah ibu bapa memaksa anak-anak mereka menghadiri kelas-kelas Sains kerana ia memberikan “masa depan yang lebih cemerlang” walaupun kanak-kanak tersebut amat berbakat dalam bidang yang lebih kreatif. Jika kanak-kanak dapat hidup dengan diberikan banyak dorongan dan sokongan, mereka akan menjadi lebih yakin pada kebolehan mereka sendiri. Tetapi di dalam situasi ini kanak-kanak tersebut tidak didorong, oleh itu ia membuat keyakinannya merosot.

Ianya benar bahawa kita pelajari banyak perkara di sekolah, tetapi adakah kita benar-benar faham apa yang dipelajari. Kita diajar untuk mencintai negara kita, serta berusaha untuk mencapai Wawasan 2020.
 
Terdapat sembilan cabaran yang perlu diatasi oleh Malaysia untuk menjadi sebuah negara yang membangun di bawah Wawasan 2020, tetapi adakah para pelajar mengetahui apakah cabaran tersebut. Ramai yang menggunakan perkataan Wawasan 2020 tetapi tidak mengetahui maksudnya walaupun sedikit. Saya telah menulis kebanyakan esei-esei sekolah menengah saya dengan satu kesimpulan: “Kita perlu terus berusaha bersama-sama untuk mencapai Wawasan 2020” tanpa sebarang pengetahuan mengenai sembilan cabaran-cabaran yang terdapat di dalam wawasan tersebut sehinggalah saya belajar mengenainya di Tingkatan Enam.

Kita semua boleh terus-menerus menyalahkan sistem pendidikan kerana tidak membentuk kita sepenuhnya sebagai seorang individu, atau mengeluh mengenai bagaimana hak-hak kita di bawah Artikel 29 CRC tidak dapat dicapai. Namun begitu, ibu bapa, guru-guru serta guru-guru agama telah mendidik kanak-kanak dengan sebaik yang mungkin.

Akan tetapi, keputusan yang terakhir terletak di atas bahu seseorang individu itu sendiri untuk memutuskan laluan mana yang akan diikuti, serta bertanggungjawab terhadap perkembangan diri mereka sendiri.

Artikel ini telah diterbitkan dalam suratkhabar The Star pada 28 Oktober 2007.

Penterjemah ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.

 

 
Search:

 Email this article

unite for children