Kehidupan benar

Pendahuluan

HIV/AIDS

Penyusuan susu ibu

Perlindungan Kanak-kanak

Keperluan kesihatan asas

Pendidikan

Tsunami

 

Menentang buli melalui pendidikan dan kemahiran

© UNICEF Malaysia/2007/Nadchatram
Mohammad dan Suresh merupakan mangsa buli, kini kedua-dua mereka sedang mempelajari cara-cara untuk melindungi diri daripada serangan pembuli di sekolah mereka.

Oleh Dina Zaman dan Indra Nadchatram

KUALA LUMPUR, 9 Julai 2007 – Memori yang sering diingati ketika zaman persekolahan dahulu selalunya dipenuhi dengan kegembiraan, kadangkala kesedihan. Walaubagaimanapun, bagi mereka yang terpaksa melalui pengalaman dibuli yang penuh trauma, zaman persekolahan selalunya sukar dilupai.

Sesiapa sahaja yang pernah dibuli ataupun diusik secara senyap-senyap di sekolah pasti akan bersimpati dengan Suresh dan Mohammad. Kedua-dua mereka merupakan pelajar berumur empat belas tahun dari sebuah sekolah kelas sederhana di Lembah Klang, kini turut menjadi sebahagian daripada statistik kes buli sekolah di Malaysia.
 
Sementara ramai yang menganggap bahawa membuli merupakan sebuah masalah yang melibatkan sekolah-sekolah di kawasan-kawasan pedalaman dan berpendapatan rendah di negara ini, pengalaman ngeri Suresh dan Mohammad mendedahkan yang sebaliknya. Di dalam bentuk yang tersembunyi seperti usikan dan ejekan nama sehinggalah kepada perlakuan-perlakuan yang lebih agresif dan ganas, termasuklah ugutan, buli telah melibatkan kehidupan kedua-dua golongan kaya dan miskin. Yang pastinya, buli menyebabkan keyakinan diri yang rendah pada kanak-kanak dan masalah tidak menghadiri sekolah, paling teruk adalah ia boleh menyebabkan ketidakupayaan dan kehilangan nyawa.

Menurut pegawai-pegawai pendidikan dan pakar psikologi kanak-kanak, keganasan di sekolah tampak semakin meningkat di negara ini, sekaligus menimbulkan kebimbangan kepada para ibubapa, guru-guru serta penggubal polisi. Tetapi kesan yang lebih ketara hanya dapat dirasai oleh kanak-kanak itu sendiri.

Kesan yang ditinggalkan dalam bentuk emosi dan fizikal

Pembulian itu menyakitkan bukan disebabkan oleh kesan-kesan luka atau lebam, tetapi disebabkan oleh kesan emosi. Ditumbuk, ditendang, dibelasah atau dilanggar boleh meninggalkan kesan fizikal. Usikan dan penyisihan walaubagaimanapun boleh menyebabkan kesan emosi yang mungkin tidak akan sembuh. Apabila melihat mereka yang lain turut dibuli juga boleh menimbulkan ketakutan yang sama. Kesannya ialah sesetengah kanak-kanak terpaksa melalui zaman persekolahan mereka dengan berasa sunyi, disingkirkan serta takut dan tidak dapat mempercayai bahawa keadaan mereka boleh berubah.

Suresh, merupakan seorang pelajar yang berbakat di dalam seni, lemah-lembut serta amat fasih berbahasa masih tidak memahami dengan sepenuhnya mengapa dia dibuli. Apa yang diketahuinya adalah apa sahaja yang dia lakukan seakan-akan menjengkelkan pembulinya. Dia mengesyaki bahawa ianya mungkin berkaitan dengan keadaan dirinya yang sedikit berbeza dengan kanak-kanak lelaki lain di sekolah. Namun begitu, dia masih tidak pasti. 

“Saya bukanlah seorang peminat sukan. Saya lebih gemar membaca, melukis dan bermain catur. Rakan-rakan lelaki merasakan bahawa saya seperti perempuan, kerana saya tidak gemar melakukan perkara-pekara yang mereka lakukan. Saya juga mempunyai lebih ramai kawan-kawan perempuan” ujarnya. Buli, menurutnya, telah menjadi sebahagian besar kehidupannya, bermula ketika dia masih di sekolah rendah dan kian meningkat apabila beliau memasuki sekolah menengah. 

Namun begitu, pelajar contoh yang mempunyai rekod pelajaran yang cemerlang ini telah beberapa kali mempertahankan dirinya sendiri dan semenjak kebelakangan ini dia cuba untuk tidak mengendahkan usikan-usikan tersebut. Dia meluahkan rasa sedihnya terhadap situasi yang dihadapinya itu.

Wujudnya bayangan dalam kehidupan anak muda

Kajian mencadangkan bahawa kejadian membuli pelajar-pelajar lebih muda yang berlaku hanya sekali sahaja tidak semestinya mempunyai kesan-kesan yang berpanjangan, manakala kejadian yang berlaku dengan kerap dan lebih teruk boleh mewujudkan suatu bayangan.  Kajian juga mengatakan bahawa satu episod membuli yang kecil tidak semestinya memberi kesan yang panjang, manakala episod-episod yang lebih kerap dan lebih teruk mungkin akan menjadi bayangan kepada masa depan seseorang remaja. Perasaan yang penuh dengan ketidakadilan dan ketidaksamaan serta ketakutan masih kekal terbuku di dalam ingatan kanak-kanak yang telah menjadi mangsa walaupun perkara tersebut telah lama berlalu.

Seperti Suresh, Mohammad juga telah menghadapi ejekan dan panggilan yang memalukan. Hanya pada usia 12 tahun kejadian buli terhadapnya menjadi semakin serius dan dia dipaksa untuk menyerahkan wangnya kepada pembuli. “Saya rasa takut untuk ke sekolah dan sehingga kini saya masih merasa takut. Walaupun kejadian buli tersebut sudah pun berhenti (buat masa kini) tetapi saya tidak tahu mengapa saya telah dibuli.”

Penemuan yang sering didapati daripada kajian-kajian yang telah dijalankan ialah faktor-faktor berisiko yang membawa kepada pembulian di sekolah adalah pencapaian akademik yang rendah, ponteng sekolah, serta masa terluang yang tidak digunakan sepenuhnya. Tambahan pula, kebanyakan faktor-faktor yang telah dikenalpasti melalui kajian yang dijalankan menunjukkan aspek-aspek kehidupan juga menyumbang kepada keganasan di sekolah – sebagai contoh, keganasan yang berlaku di rumah, sikap yang suka mengambil risiko, hubungan sosial yang lemah, tidak berkawan dengan rakan-rakan sebaya, hubungan ibu bapa dengan anak yang tidak baik, termasuklah penyalahgunaan dadah.

Peranan sekolah amat penting

Bersama-sama dengan Kolej Universiti HELP dan Kementerian Pendidikan, UNICEF kini sedang melaksanakan Program Mencegah Buli di Sekolah yang merupakan sebuah projek perintis bertujuan untuk meningkatkan keselamatan di sekolah. Program ini telah pun berjalan selama enam bulan di kawasan Lembah Klang, di mana program ini memperkenalkan dasar-dasar sekolah dan program-program untuk bertindakbalas dan mencegah pembulian termasuklah mengajar kanak-kanak kemahiran-kemahiran hidup agar mereka lebih yakin dengan diri mereka sendiri apabila berhadapan dengan sebarang serangan.

UNICEF percaya bahawa sekolah memainkan peranan yang amat penting di dalam membantu kanak-kanak membina keyakinan diri mereka dan juga kesejahteraan diri untuk mengurangkan kebarangkalian mereka menjadi mangsa buli. Walaupun kehadiran keluarga yang penyayang dan yang memberi sokongan amat penting untuk membina ketahanan kanak-kanak, tetapi apabila masyarakat dan keluarga telah gagal, pihak sekolah boleh menggantikannya.

Masa yang penting bagi Suresh adalah apabila dia telah membeli sebuah buku tentang membuli, ketika itu dia berusia dua belas tahun. Pengajaran yang diperolehinya kini telah diperkukuhkan lagi melalui Program Mencegah Pembulian di Sekolah di mana dia telah diajar untuk meningkatkan ketahanan diri, dan juga untuk memahami pembuli-pembulinya dengan lebih baik. Mohammad juga telah mendapati sesi yang dijalankan tersebut telah membuka matanya. Sesi-sesi tersebut telah dikendalikan oleh kaunselor sekolah iaitu Puan Jamilah bersama-sama dengan para guru yang terlibat di dalam projek ini, dan mereka telah menggunakan pendekatan yang lebih kreatif untuk membolehkan para pelajar meluahkan perasaan yang terpendam terhadap pembuli mereka.

Menentang kelakuan membuli

“Kami juga telah diminta untuk melukis siapa yang telah membuli kami, kami telah ditanya soalan-soalan tentang masalah yang kami hadapai, dan kami juga telah mengadakan sesi dialog,” kata Mohammad.

“Kami juga telah diajar bagaimana untuk mencegah diri daripada kembali dibuli,” mencelah Suresh. “Dan sekiranya kita dibuli, kita mesti beritahu orang lain.” Dua budak lelaki tersebut mengakui yang mereka mempercayai orang lain, tetapi mereka lebih mempercayai rakan-rakan karib mereka. Mereka juga telah mempelajari satu pengajaran yang penting: bahawa ia bukan tentang mereka, tetapi kewujudan perasaan tidak selamat disebabkan oleh kesakitan yang telah mereka rasai suatu ketika dahulu telah menyebabkan mereka menyakiti orang lain. Pengajaran tersebut telah memperkasa mereka berdua.

Puan Jamilah menganggukkan kepada. “Sesi-sesi ini telah membantu kami untuk mengetahui siapa yang telah dibuli atau siapa yang membuli, dan sehingga kini semuanya amat bagus. Kami berharap agar ini akan diteruskan di dalam bentuk yang lain, kerana membuli juga berlaku kepada pelajar-pelajar yang lain. Ia baru hanya sebulan, tetapi saya amat yakin bahawa dalam jangkamasa yang panjang, program ini boleh memberi manfaat kepada sekolah ini.”

Apabila pelajar lelaki ditanya samada mereka ingin program ini diteruskan, mereka menganggukkan kepala. “Kami kenal beberapa orang pelajar yang sedang dibuli, dan program ini telah banyak menolong mereka,” kata mereka.

Nama-nama di atas telah ditukar untuk melindungi identiti mereka yang dipaparkan di dalam artikel ini.

Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.

 

 

 

 

Hentikan Keganasan Sekarang!

Hentikan keganasan!

Pelancaran di Malaysia*

Laporan PBB (laman web)*

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Keganasan terhadap kanak-kanak di sekolah – Terbitan

Kajian Setiausaha Agung PBB*

Risalah VAC Asia-Timur dan Pasifik*

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Malaysia: Perlindungan Kanak-Kanak

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Search:

 Email this article

unite for children