Coretan Hidup

Pendahuluan

HIV/AIDS

Penyusuan susu ibu

Perlindungan Kanak-kanak

Keperluan kesihatan asas

Pendidikan

Tsunami

 

Keganasan di sekolah: Mara ke hadapan

© UNICEF Malaysia/2007/Nadchatram
Dr. Goh Chee Leong

Oleh Professor Datin Noran Fauziah bt Yaakub dan Dr. Goh Chee Leong

Sekolah memainkan peranan yang penting di dalam memberi perlindungan kepada kanak-kanak daripada keganasan. Namun begitu, untuk kebanyakan kanak-kanak, persekitaran di sekolah sebenarnya mendedahkan mereka kepada keganasan di mana mereka juga akan mempelajari keganasan. Mereka terdedah kepada hukuman di dalam bentuk fizikal, hukuman di dalam bentuk psikologi yang agak kejam dan memalukan, serta keganasan yang berdasarkan gender dan berbentuk seksual, dan juga membuli.

Profesor daripada Kolej Universiti HELP, iaitu Profesor Datin Noran Fauziah bt. Yaakub dan Dr. Goh Chee Leong berkongsi pendapat tentang betapa pentingnya agar keganasan di sekolah dihentikan.

KUALA LUMPUR, 3 Julai 2007 - “Kes-kes buli di sekolah yang sering berlaku kini telah menjadi suatu perkara yang membimbangkan di Malaysia. Antara salah satu kes buli yang telah memeranjatkan seluruh negara adalah serangan yang dahsyat terhadap seorang pelajar yang berusia 16 tahun oleh pelajar-pelajar senior pada tahun 2005 yang telah menyebabkan kematian pelajar tersebut. Kes ini serta kes-kes yang lain telah meningkatkan kebimbangan orang ramai terhadap keganasan yang berlaku di sekolah-sekolah Malaysia. Menteri Pendidikan telah memberi amaran berkenaan buli, iaitu melalui kenyataan yang telah dibuat oleh beliau, bahawa tindakan yang keras akan dikenakan terhadap mereka yang melakukannya dan beliau juga telah mengisytiharkan bahawa membuli adalah sesuatu yang “tidak dapat diterima”.

“Kita mesti memahami bahawa buli tidak semestinya berlaku di dalam bentuk keganasan fizikal sahaja. Jenis buli yang sering berlaku dan yang paling teruk di sekolah-sekolah Malaysia adalah lebih kepada bentuk psikologi. Sekiranya ‘keganasan’ boleh dijelaskan sebagai tindakan yang sengaja dilakukan untuk mencederakan orang lain, maka buli yang bukan di dalam bentuk fizikal mewakili keganasan di dalam bentuk emosi dan sosial. Kebanyakan masyarakat memberi perhatian yang lebih kepada membuli di dalam bentuk fizikal dan tidak mengendahkan membuli di dalam bentuk psikologi serta menganggapnya tidak penting. Ini merupakan pendirian yang tidak bertanggungjawab serta amat merbahaya kerana kedua-dua jenis buli boleh menyebabkan kesengsaraan kepada mangsa.

Kesan-kesan buli

“Secara emosi, mangsa-mangsa yang telah dibuli seringkali merasa takut dan bimbang setiap kali mereka berada di sekolah. Ini menyukarkan mereka untuk melibatkan diri di dalam proses pembelajaran. Disebabkan oleh ketakutan yang amat sangat, si mangsa akan ponteng sekolah untuk mengelakkan diri daripada dibuli.

“Menurut laporan pakar, mangsa-mangsa yang dibuli seringkali merasa sangsi terhadap diri sendiri serta mempunyai keyakinan diri yang kurang. Kebanyakan mangsa menyalahi diri mereka sendiri kerana menyebabkan pembulian itu berlaku, mereka percaya bahawa kelemahan dan ketidakcekapan mereka telah menyumbang kepada sebab-sebab mengapa mereka telah dipilih oleh pembuli-pembuli.

“Terdapat beberapa orang mangsa yang masih memendam perasaan marah dan dendam terhadap pembuli-pembuli dan persekitaran sosial yang menggalakkan dan menyokong perlakuan membuli. Kemarahan ini, sekiranya tidak ditangani, boleh menyebabkan mangsa sendiri akan menjadi pembuli terhadap kanak-kanak, yang boleh dikategorikan sebagai mangsa buli. Manakala mangsa-mangsa lain akan menunjukkan kemarahan mereka melalui perlakuan yang anti-sosial seperti vandalisma dan mencuri.

Bertindak untuk membunuh diri

“Terdapat juga kes-kes yang tragik di mana mangsa-mangsa buli telah membuat keputusan bahawa satu-satunya cara untuk menghentikan kesengsaraan mereka adalah dengan membunuh diri sendiri. Kajian yang telah dilakukan sehingga kini, telah menunjukkan bahawa terdapat kaitan di antara membuli dan idea-idea untuk membunuh diri.

“Kelakuan membuli juga boleh membawa kesan kepada pembelajaran kanak-kanak. Untuk memastikan keberkesanan sesuatu pendidikan itu, kanak-kanak mestilah diberikan persekitaran yang boleh dianggap sebagai selamat dari segi fizikal, emosi dan intelek. Hanya apabila kanak-kanak merasa selamat dan terjaga, mereka akan mempunyai sikap yang lebih terbuka kepada pengetahuan, hanya pada masa itu mereka akan mencuba dan mempelajari, dan hanya pada pada masa itulah mereka lebih terbuka untuk berinteraksi dan melibatkan diri dengan para guru dan rakan-rakan mereka. Apabila kanak-kanak merasakan mereka diancam untuk disakiti atau dimalukan, mereka tidak dapat mencapai potensi akademik mereka yang sepenuhnya.

“Secara sosial, kanak-kanak yang telah menjadi mangsa buli sering dipinggirkan oleh rakan-rakan sebaya mereka. Ini mungkin kerana mereka merasa rendah diri dan ia membawa kepada kurangnya keyakinan pada diri sendiri untuk berkawan dengan orang lain dan bersosial.

“Di dalam kebanyakan kes, kanak-kanak yang telah dibuli mungkin sebenarnya kekurangan kemahiran-kemahiran bersosial untuk berkawan dengan kanak-kanak lain dengan selesa. Seringkali, mangsa-mangsa membuli merasa janggal untuk bersosial dengan orang lain, dan ketidakselesaan ini menjadi semakin teruk apabila mereka dibuli. Ia merupakan suatu pusingan yang agak sukar dihentikan oleh mangsa di mana mereka tidak mempunyai peluang untuk berinteraksi dengan rakan-rakan sebaya yang lain kerana peringkat ini adalah merupakan peringkat yang penting untuk perkembangan mereka.

Mempertingkatkan komuniti di sekolah

“Untuk menangani perlakuan membuli di kalangan para pelajar, keupayaan komuniti di sekolah dan juga ibu bapa perlu ditingkatkan untuk menghadapi situasi-situasi membuli dan juga mangsa-mangsa dengan berkesan.

“UNICEF bersama-sama dengan Fakulti Sains Tingkahlaku di Kolej Universiti HELP dan Kementerian Pendidikan Malaysia telah memulakan sebuah projek untuk memperkenalkan intervensi-intervensi terhadap kelakuan membuli kepada sekolah-sekolah di Malaysia. Model intervensi ini adalah berdasarkan Model Intervensi Sekolah Olweus yang telah diperkenalkan dengan jayanya di beberapa buah negara di seluruh dunia.Intervensi ini perlulah memenuhi perkara-perkara berikut:

  • Intervensi-intervensi untuk mangsa-mangsa buli yang berkesan dan juga bersesuaian dengan masa;
  • Pelaksanaan dasar anti-buli di sekolah-sekolah;
  • Menyampaikan mesej yang jelas kepada para pelajar bahawa membuli itu suatu kelakuan yang tidak boleh diterima;
  • Memberi latihan kepada para pelajar, ibu bapa dan para guru untuk membolehkan mereka menangani perlakuan membuli dengan berkesan di kalangan pelajar; termasuklah latihan di dalam strategi untuk mencari penyelesaian bagi sesuatu masalah dan peningkatan kemahiran-kemahiran sosial;
  • Memberikan maklumat dan pendidikan yang tepat untuk kanak-kanak, guru-guru, ibu bapa dan juga orang ramai tentang apa itu membuli; apakah yang menyebabkannya dan kesan-kesan buli; termasuklah langkah-langkah pencegahan dan intervensi.

Perlunya kesedaran dan tindakan segera

“Kesedaran di kalangan guru-guru dan para pelajar amatlah diperlukan, untuk memberi maklumat bahawa membuli di dalam apa jua bentuk adalah tidak diterima. Satu kepercayaan yang dikongsi di kalangan para guru dan pelajar adalah kejadian membuli itu sepatutnya diselesaikan oleh mangsa-mangsa itu sendiri. Salah satu halangan kepada mangsa tersebut adalah “mereka patut belajar untuk mempertahankan diri sendiri dan melawan balik”, iaitu satu nasihat yang kurang baik, lebih-lebih lagi apabila mangsa terpaksa berhadapan dengan sekumpulan pembuli yang besar.

“Walaupun mendidik mangsa-mangsa untuk bertindakbalas dengan cara-cara yang lebih positif dan membina merupakan sebahagian daripada intervensi tersebut, namun begitu program ini juga memberi fokus kepada para guru, ibu bapa dan mereka yang berada di sekeliling untuk memainkan peranan mereka di dalam mewujudkan suasana yang selamat dari segi fizikal dan emosi di persekitaran sekolah.

“Projek perintis ini akan lengkap pada akhir tahun 2007, di mana keberkesanannya akan dinilai. Harapan kami adalah ia amat berkesan, dan ia akan diperkenalkan kepada sekolah-sekolah di seluruh negara pada peringkat kebangsaan.”

Perterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.

 

 

 

 

Hentikan Keganasan Sekarang!

Hentikan keganasan!

Pelancaran di Malaysia*

Laporan PBB (laman web)*

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Persekitaran yang terjamin

Keganasan terhadap kanak-kanak di sekolah – Terbitan

Kajian Setiausaha Agung PBB*

Risalah VAC Asia-Timur dan Pasifik*

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Malaysia: Perlindungan Kanak-Kanak

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Search:

 Email this article

unite for children