Menjadikan kanak-kanak wira melalui program persediaan kecemasan
Oleh Lydia Lubon KUALA MUDA KEDAH, Malaysia, 1 September 2006 – “Saya sedang menonton TV apabila jiran saya datang ke rumah dan memberitahu saya untuk melihat satu garisan putih yang panjang di laut. Apabila saya melihat ombak-ombak besar dari jauh saya kata pada diri sendiri, cantiknya! Saya tidak pernah melihat sesuatu sepertinya sebelum ini. Tetapi sedang saya berdiri belihat ombak tersebut, saya melihat bot-bot terbalik di kejauhan. Saya tidak tahu apa yang sedang berlaku sehinggalah seorang nelayan menjerit kepada saya menyuruh saya melarikan diri, kerana ombak tersebut sedang menuju ke arah kami,” Siti yang berumur 13 tahun mengingati kembali pengalamannya yang amat menakutkan. Seperti lain-lain penduduk kampung di Kuala Muda Kedah, Siti tidak pernah mendengar perkataan “tsunami” sebelum hari tersebut pada bulan Disember 2004. Tidak pasti apakah yang sebenarnya sedang berlaku, budak perempuan yang berani tersebut, yang hanya mempunyai seorang ibu, telah menolong ibunya yang sedang sakit dan adik lelakinya ke tempat yang lebih selamat. Kebanyakan penduduk di perkampungan sekitar Lautan India yang dilanda tsunami adalah masyarakat nelayan. Walaupun mereka mempunyai ikatan yang amat rapat dengan laut, pengetahuan mereka tentang ombak-ombak besar yang membunuh tersebut dan bagaimana untuk menghadapinya apabila ia berlaku amat sedikit. Panduan yang berguna untuk menyelamatkan diri Ia adalah disebabkan oleh kurangnya kesedaran telah membawa kepada Kementerian Pendidikan dan UNICEF untuk melancarkan Program Persediaan Kecemasan di sekolah-sekolah tempatan. Program ini memberikan panduan untuk membantu pelajar-pelajar dan juga guru-guru bagaimana untuk menyelamatkan diri ketika berlakunya bencana seperti banjir kilat, musim kemarau, jerebu, gempa bumi dan tanah runtuh, di mana kesemuanya berlaku sepanjang tahun di Malaysia.Sekolah-sekolah merupakan tempat yang sesuai untuk memberikan perlindungan, pendidikan dan kesedaran untuk kanak-kanak. Sistem amaran awal adalah amat penting. Juga, termasuklah, masyarakat yang mempunyai pengetahuan dan telah bersedia untuk melindungi diri mereka sendiri apabila bencana berlaku. “Kesemua teknologi yang maju tidak akan bermakna apa-apa sekiranya kita tidak dapat mencapai masyarakat yang sebenar dan juga orang ramai,” kata Wakil UNICEF di Malaysia, Gaye Phillips. “Satelit, pelampung, jaringan maklumat boleh menjadikan kita lebih selamat, tetapi kita juga mesti melabur di dalam latihan, pembinaan institusi dan kesedaran di lapangan. Kita mesti memahami bagaimana untuk bersedia dan bergerak balas terhadap bencana, bagaimana untuk menghadapinya dan juga selepas berlakunya bencana tersebut. Tempat yang paling sesuai untuk memulakan pendidikan seperti ini adalah di sekolah-sekolah.” Kanak-kanak sebagai wira Baru-baru ini, pegawai-pegawai daripada Kementerian Kesihatan, Kementerian Pertahanan, Polis Di Raja Malaysia, Jabatan Bomba & Keselamatan, dan juga organisasi-organisasi bantuan kemanusiaan telah bertemu di dalam bengkel yang telah dijalankan selama tiga hari membincangkan pelaksanaan program persediaan kecemasan.Di akhir bengkel tersebut, Cik Phillips dan Ketua Pengarah daripada Kementerian Pendidikan, Dato’ Dr. Hj Ahamad bin Sipon telah melancarkan program tersebut di sekolah-sekolah secara rasmi di Sekolah Menengah Kuala Muda Kedah. “Di Thailand, kanak-kanak berumur 10-tahun telah menjadi wira ketika tsunami melanda pada tahun 2004 kerana mereka mengetahui tentang tanda-tanda amaran awal tsunami, dan mereka telah memberitahu orang ramai yang berada di tepi pantai pada masa tersebut. Banyak nyawa telah berjaya diselamatkan, termasuklah nyawa mereka diri sendiri. Inilah yang ingin kita berikan kepada kanak-kanak kita di Malaysia, kuasa untuk membuat keputusan melalui pengetahuan yang diperolehi,” kata Dato’ Dr. Hj. Ahamad. Penterjemahan ke Bahasa Melayu oleh Anne Jamaludin.
Video Video |