Perlindungan kanak-kanak

Perlindungan Kanak-kanak

Respons UNICEF: 2005 – 2007

Rakan kerjasama

Berita

Kehidupan benar

 

Hak untuk semua kanak-kanak - CRC@18

Anak-anak muda yang meraikan harijadi mereka yang ke - 18 pada tahun ini  merupakan generasi yang pertama dilahirkan dengan hak universal mereka sendiri. 

20 November merupakan tarikh yang istimewa bagi kita semua. Lapan belas tahun yang lalu, pada tarikh ini, seluruh dunia telah bersatu untuk mengatakan ya bagi kanak-kanak; iaitu kanak-kanak kini mempunyai hak asasi yang sama seperti orang-orang dewasa. Dalam keputusan yang telah diambil sebulat suara, Konvensyen hak kanak-kanak (CRC) telah diterima sebagai satu tahap piawai di mana semua pihak kerajaan patut berusaha untuk mencapai matlamat di dalam melindungi hak kanak-kanak yang paling asas, iaitu mereka yang berumur 18 tahun ke bawah.

Di dalam 54 artikel dan dua protokol pilihan, CRC telah menyatakan dengan terang apa yang patut dilakukan oleh pihak kerajaan di bawah undang-undang antarabangsa untuk memastikan semua kanak-kanak dapat membesar di dalam persekitaran yang bahagia, penuh dengan kasih sayang dan difahami serta bermanfaat dari segi penjagaan kesihatan, pendidikan dan perlindungan.

CRC ini juga menekankan bahawa setiap kanak-kanak – tidak kira di mana mereka dilahirkan, samada mereka lelaki atau perempuan, kaya atau miskin – mesti diberikan peluang untuk menjadi ahli masyarakat yang produktif dan mempunyai hak untuk bersuara dan pendapat mereka diperdengarkan.

Gerakan untuk perubahan sosial

Pada 20 November 2007, CRC meraikan ulangtahun yang ke-18. Di kebanyakan negara, termasuklah negara-negara yang kaya, CRC kini telah memulakan langkah untuk perubahan sosial, dengan membina asas untuk dunia di mana semua hak untuk kanak-kanak dapat dijamin dan dilindungi.

Dalam masa lapan belas tahun yang telah berlalu, usaha-usaha untuk meningkatkan dan meluaskan hak-hak kanak-kanak di dalam pergerakan hak-hak kanak-kanak telah membawa manfaat kepada berjuta-juta orang di seluruh dunia. Dua ciri utama yang membawa kuasa dan potensi kepada CRC adalah: ia merupakan status yang tertakluk kepada undang-undang dan keupayaannya untuk melibatkan dan memperkasa orang ramai, iaitu daripada pegawai-pegawai kerajaan yang tertinggi kepada warga tempatan.

CRC telah memainkan peranan yang penting di dalam membentuk dan membangunkan kehidupan kanak-kanak. Ia telah membantu mengurangkan kadar bilangan kanak-kanak yang telah meninggal dunia sebelum mencapai umur lima tahun, ia telah meningkatkan insiatif-insiatif di peringkat benua dan global serta perkongsian memajukan pendidikan untuk anak-anak gadis, ia juga telah “menggalakkan” pendidikan secara percuma. Dalam masa beberapa tahun lau, terdapat penekanan yang diberikan untuk mencapai berjuta-juta orang kanak-kanak yang terpinggir, terutama sekali kanak-kanak perempuan dan anak-anak orang asli, pada masa yang sama memastikan agar mereka mendapat perkhidmatan kesihatan dan pendidikan atau perkhidmatan sosial yang berkualiti.

CRC adalah tentang tanggungjawab

CRC bukan sahaja tentang komitmen atau perjanjian, tetapi ia adalah mengenai tanggungjawab. Melindungi dan menjamin hak kanak-kanak bukanlah suatu matlamat yang abstrak, di mana tiada kewajipan yang khusus untuk seseorang, oleh itu tidak ada seorang pun yang boleh dipertanggungjawabkan. 

Ya, pelaksanaan CRC merupakan tanggungjawab pihak kerajaan, tetapi CRC juga meletakkan tanggungjawab dan kewajipan lain-lain sektor dan individu: terdiri daripada ibu bapa, para guru, pegawai-pegawai kesihatan, para saintis, para pengkaji dan kanak-kanak itu sendiri.

Dengan mengubah-suai undang-undang untuk memenuhi kehendak hak kanak-kanak, memperkukuhkan kapasiti sistem dan pembangunan, CRC kini menjadi sebahagian daripada budaya dan undang-undang kebangsaan sesebuah negara. Dengan melibatkan dan memaklumkan keluarga dan masyarakat, ia akan memperkasa mereka agar melibatkan diri dengan lebih mendalam untuk memenuhi hak mereka sendiri dan juga meraih hak dan melindungi hak anak-anak mereka sendiri. Semenjak penerimaan CRC, bilangan organisasi - organisasi, kerjasama dan persekutuan yang berkaitan dengan hak kanak-kanak telah meningkat secara berterusan. Bersama ini, mereka telah berjaya meletakkan hak kanak-kanak di dalam agenda-agenda politik di peringkat antarabangsa dan negara yang tertinggi.

Fokus baru terhadap hak kanak-kanak

Pada tahun 2002, sesi khas untuk kanak-kanak PBB telah memberi nafas baru kepada CRC, dengan deklarasi dan pelan tindakan yang memasukkan tanggungjawab hasil daripada CRC yang ingin membina ‘Dunia bersesuaian untuk kanak-kanak’. Tambahan pula, Matlamat Pembangunan Milenium (MDG) telah meletakkan kanak-kanak dan hak mereka terhadap kehidupan, kesihatan, pendidikan dan perlindungan di tengah-tengah agendanya. 

Fokus yang diberikan kepada hak kanak-kanak ini telah memulakan langkah yang baru semenjak beberapa tahun yang lepas di mana penekanan telah diberikan kepada kesinambungan kehidupan kanak-kanak yang sihat dan sejahtera; ia memberi sokongan kepada kempen UNICEF, Bersatu untuk Kanak-kanak, Bersatu menentang AIDS dengan kesinambungan yang luas di pertingkat kebangsaan selepas pelancaran kajian berkaitan keganasan terhadap kanak-kanak PBB.

Walaupun agak sukar untuk menunjukkan bahawa kemajuan-kemajuan yang dicapai untuk kanak-kanak boleh dikaitkan dengan pelaksanaan CRC, namun begitu ia juga tidak mustahil. Terdapat “bukti-bukti tidak secara langsung” boleh didapati daripada laporan, kajian dan penilaian yang telah dibuat, yang sedikit sebanyak telah menunjukkan impak CRC terhadap kehidupan berjuta-juta orang kanak-kanak dan keluarga di seluruh dunia.

Yang paling ketara adalah proses yang telah dimulakan oleh CRC untuk seluruh dunia mengenalpasti dan mengambil serius isu-isu terhadap hak kanak-kanak. Ia merupakan proses yang boleh dikatakan sebagai satu revolusi. Satu revolusi di sebalik tabir yang telah secara berterusan mewujudkan perubahan-perubahan untuk semua generasi yang akan datang.

Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.

 

 
Search:

 Email this article

unite for children