Perlindungan kanak-kanak

Perlindungan Kanak-kanak

Respons UNICEF: 2005 – 2007

Rakan kerjasama

Berita

Kehidupan benar

 

Minggu Tindakan Global terhadap Pendidikan, terdapat berjuta-juta orang kanak-kanak yang masih tidak bersekolah

NEW YORK, 23 April 2007 – Ketika seluruh dunia sedang meraikan Minggu Tindakan Global terhadap Pendidikan, UNICEF meminta para penyumbang serta badan-badan kerajaan agar memenuhi janji mereka terhadap pendidikan dengan mengukuhkan komitmen mereka kepada Matlamat Pembangunan Milenium, iaitu untuk mencapai pendidikan sekolah rendah yang universal menjelang tahun 2015.

Minggu Tindakan Global pada tahun ini memberi fokus kepada Pendidikan sebagai Hak kemanusiaan – hak yang telah dinafikan terhadap berjuta-juta kanak-kanak di seluruh dunia. Beberapa kemajuan telah berjaya dicapai sejak 15 tahun yang lepas, dengan kadar kemasukan di peringkat sekolah rendah di negara-negara yang sedang membangun telah meningkat daripada 79 peratus pada tahun 1990 kepada 86 peratus pada tahun 2004.

Halangan-halangan untuk ke sekolah

Namun begitu bilangan kanak-kanak yang tidak bersekolah masih kekal berada di tahap yang tinggi. Pada tahun 2001-2002 berdasarkan tahun persekolahan, lebih kurang 115 juta orang kanak-kanak yang berumur di dalam lingkungan sekolah rendah tidak bersekolah – dua pertiga daripada mereka adalah kanak-kanak perempuan, dan menurut perangkaan semasa, 77 juta orang kanak-kanak yang layak untuk ke sekolah tidak berdaftar dan kebanyakan mereka yang telah berdaftar tidak menghadirkan diri ke sekolah. Sebagai contoh di sub-Sahara Afrika, hanya 63 peratus daripada kanak-kanak lelaki dan 59 peratus daripada kanak-kanak perempuan tidak dapat ke sekolah – ia merupakan kadar yang terendah di dunia.

“Walaupun kita mengalu-alukan kemajuan yang telah dicapai semenjak beberapa tahun yang lepas di dalam menghantar kanak-kanak lelaki dan perempuan ke sekolah dan membantu mereka mendapatkan kemahiran-kemahiran asas untuk mereka hidup dan membesar, tetapi kita tidak boleh menerima hakikat bahawa masih terdapat berjuta-juta orang kanak-kanak di luar sana yang masih tidak mempunyai laluan kepada pendidikan,” kata Cream Wright, Ketua Global UNICEF terhadap Pendidikan. “Ini telah menjangkaui batas pendidikan. Kanak-kanak yang tidak ke sekolah lebih terdedah kepada kemiskinan, kebuluran, keganasan, penderaan dan eksploitasi, perdagangan haram, dan HIV/AIDS.”

Terdapat banyak halangan-halangan yang wujud di dalam usaha untuk memastikan kanak-kanak dapat ke sekolah, iaitu daripada yuran persekolahan yang tidak berpatutan dan kekurangan kemudahan-kemudahan asas, kepada diskriminasi dan pendidikan yang berkualiti rendah. Faktor-faktor ini seringkali bercampur dengan amalan-amalan budaya yang negatif, seperti perkahwinan pada umur yang muda dan juga kelebihan kepada anak lelaki berbanding dengan anak perempuan, yang meletakan pendidikan jauh daripada capaian kanak-kanak perempuan. Ancaman-ancaman daripada bencana-bencana alam dan juga konflik dalam negara telah memberi gangguan yang lebih terhadap pendidikan untuk kanak-kanak. 

Memegang kepada janji terhadap pendidikan

Untuk menangani halangan-halangan yang wujud ini, UNICEF dan rakan-rakan yang lain bertujuan untuk membantu kanak-kanak memulakan persekolahan pada umur yang telah disarankan, mengurangkan jurang perbezaan berdasarkan gender, memperbaiki kualiti pendidikan dan memastikan pendidikan dikembalikan ketika berlakunya kecemasan dan keadaan-keadaan selepas berlakunya sesuatu konflik.

UNICEF juga memberi sokongan kepada dasar-dasar kebangsaan yang menggalakkan pendidikan berkualiti yang wajib dan percuma di sekolah-sekolah yang mesra kanak-kanak di mana ia memberikan persekitaran yang selamat, sihat dan sensitif terhadap gender termasuklah perkhidmatan-perkhidmatan nutrisi, dan air yang selamat serta sanitasi.

“Dengan memastikan janji-janji terhadap pendidikan dipegang, ia bukan sahaja tentang menghantar kanak-kanak ke sekolah,” kata En. Wright. “Ia memastikan bahawa, apabila mereka di sekolah, mereka selamat, sihat dan mempelajari kemahiran-kemahiran yang boleh melindungi mereka dan membolehkan mereka untuk memenuhi potensi diri mereka sendiri.”

Penterjemahan ke Bahasa Melayu oleh Anne Jamaludin.

 

 

 

 

UNICEF dalam Tindakan (Ibupejabat) – Pendidikan Asas & Kesaksamaan Gender

Gambaran keseluruhan*

UNICEF di dalam tindakan*

Bidang fokus*

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris


Matlamat Pembangunan Milenium

Search:

 Email this article

unite for children