Perlindungan kanak-kanak

Perlindungan Kanak-kanak

Respons UNICEF: 2005 – 2007

Rakan kerjasama

Berita

Kehidupan benar

 

Kerastase melancarkan kempen "Penjagaan & Perlindungan" untuk kanak-kanak

Oleh Indra Nadchatram

KUALA LUMPUR, 8 Februari 2007 – Program Perlindungan Kanak-Kanak di Malaysia oleh Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) akan menerima sokongan melalui kempen “Penjagaan & Perlindungan” iaitu sumbangan dari jenama penjagaan rambut yang terkenal Kérastase. Khususnya di Malaysia, kempen Kerastase ini dilancarkan sebagai maklumbalas terhadap seruan tindakan oleh Setiausaha-Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) selepas pelancaran Laporan beliau tentang Keganasan Terhadap Kanak-Kanak pada bulan Oktober 2006.

Menurut Cik Gaye Phillips, Wakil UNICEF di Malaysia dan Wakil Khas di Singapura dan Brunei, beribu-ribu orang kanak-kanak di seluruh dunia setiap hari tidak mendapat peluang untuk menikmati kehidupan yang sihat dan selamat, iaitu bebas daripada eksploitasi, penderaaan dan juga keganasan.

“Yang amat menyedihkan, tidak semua kanak-kanak di dalam dunia ini mendapat manfaat daripada kehidupan yang bahagia.  Terlalu ramai kanak-kanak menderita setiap hari akibat penderaan, kadangkala disebabkan oleh orang yang tidak dikenali, kadangkala disebabkan oleh kanak-kanak lain. Tetapi kebanyakannya, kanak-kanak ini menderita daripada keganasan yang telah dilakukan oleh orang-orang dewasa yang dipercayai oleh mereka,” kata Cik. Phillips.

Keganasan terhadap kanak-kanak sekian meningkat

Keganasan terhadap kanak-kanak mengikut definisi termasuklah keganasan fizikal, keganasan psikologikal, diskriminasi, terbiar dan juga penganiyaan. Ia juga merangkumi penderaan di dalam bentuk fizikal, perkataan dan seksual di rumah kepada hukuman yang memalukan dan penindasan di sekolah; termasuklah penderaan dan juga penyisihan dalam institusi sehinggalah pergaduhan sesama kumpulan di jalanan di mana kanak-kanak bermain atau bekerja.

Di Malaysia, statistik daripada Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat telah melaporkan sebanyak 1,656 kes-kes penderaan kanak-kanak pada tahun 2004, dengan penderaan seks yang paling tinggi. Laporan-laporan media pula menyatakan bahawa terdapat peningkatan dalam bilangan kes-kes keganasan terhadap kanak-kanak di sekolah, khususnya dalam bentuk buli.

Laporan-laporan daripada Jabatan Kebajikan Sosial Malaysia pula telah mendedahkan bahawa penderaan dan penyisihan kanak-kanak adalah disebabkan oleh tekanan emosi yang teruk, tekanan disebabkan oleh kemiskinan, masalah rumahtangga, keadaan perumahan yang teruk,  situasi pekerjaan yang negatif, tiada sokongan daripada keluarga terdekat, kepercayaan yang fanatik atau tahyul dan kurangnya kemudahan dan perkhidmatan kepada masyarakat. Laporan-laporan ini juga menjelaskan bahawa sebab utama mengapa kanak-kanak menderita akibat keganasan adalah kerana mereka merupakan ahli yang paling lemah di dalam hierarki sesebuah keluarga.

Cik Phillips juga telah menekankan bahawa Artikel 19 yang terdapat di dalam Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak telah menyatakan dengan jelas bahawa kanak-kanak mempunyai hak kepada perlindungan daripada disakiti dan juga daripada menerima layanan yang buruk, samada di dalam bentuk fizikal ataupun mental.

Pencabulan hak-hak asasi kanak-kanak

“Menurut Konvensyen Hak Asasi Kanak-Kanak, keganasan terhadap kanak-kanak dalam apa jua bentuk adalah merupakan pencabulan terhadap hak-hak asasi mereka. Keganasan terhadap kanak-kanak tidak boleh dipertahankan sebagai sebab-sebab untuk mendisiplin ataupun sebagai suatu budaya tradisi. Adalah sia-sia dan tidak bermanfaat untuk memalukan kanak-kanak. Terdapat pelbagai cara lain untuk mendisiplinkan kanak-kanak dengan lebih berkesan yang tidak menggunakan keganasan apabila mengajar kanak-kanak tentang keluarga dan juga apa yang diharapkan di dalam kelakuan mereka,” Cik Phillips memberi penekanan. “Kita patut megajar kanak-kanak melalui teladan dan juga kasih sayang.”

Di dalam membantu untuk membina persekitaran yang lebih selamat untuk kanak-kanak, Kérastase telah bekerjasama dengan tiga orang pereka-pereka berbakat dari Malaysia – Zang Toi, Donna Chew dan Beatrice Looi untuk mereka beg-beg edisi terhad yang membawa mesej-mesej penjagaan dan perlindungan untuk kanak-kanak.

Kempen Penjagaan dan Perlindungan

“Kérastase amat berbangga untuk mengembangkan lagi falsafah kami di dalam memastikan penjagaan yang terbaik untuk rambut kepada perlindungan hak kanak-kanak. Kami bertekad di dalam usaha kami untuk memastikan kanak-kanak diberikan setiap peluang untuk membesar di dalam dunia yang bebas daripada keganasan. Rakan-rakan salun kami juga bertekad bersama-sama menyertai kempen ini untuk mendapatkan sumbangan bagi UNICEF dan juga menyebarkan mesej melindungi kanak-kanak daripada keganasan,” kata En Matthieu Juery, Pengurus Besar L’Oreal Malaysia Sdn Bhd, Professional Products Division.

Kérastase telah berjanji untuk mendapatkan sumbangan sekurang-kurangnya RM 30,000 daripada Kempennya untuk program perlindungan kanak-kanak UNICEF di Malaysia. Orang ramai juga boleh memainkan peranan dengan membeli beg “rekaan” edisi terhad dengan harga RM 15 dimana lima puluh peratus daripada jualan tersebut akan di sumbangkan kepada UNICEF. Beg-beg tersebut boleh didapati di 50 buah salun-salun Kérastase di seluruh negara sehingga 31 Mac (atau sehingga kehabisan stok).

“Ini merupakan suatu inisiatif yang amat bagus daripada Kérastase dan UNICEF amat mengalu-alukannya. Bukan sahaja Kérastase meraih sumbangan untuk kanak-kanak, tetapi yang paling utama, ia memberikan mesej kepada pelanggan-pelanggannya bahawa kanak-kanak memerlukan penjagaan dan perlindungan di dalam kehidupan mereka,” tambah Cik Phillips.

****

NOTA UNTUK EDITOR:

Kérastase
Kérastase merupakan jenama penjagaan rambut profesional yang terkenal. Sejak tahun 1964, Kajian Kemajuan L'Oréal dengan lebih daripada 2,000 orang ahli-ahli sains telah memilih teknologi yang paling maju untuk Koleksi Kérastase. Produk-produk Kérastase adalah unik, dengan menggunakan formula-formula dan bahan-bahan yang inovatif. Kérastase mempunyai enam produk yang telah direka untuk memenuhi keperluan penjagaan rambut dan juga jenis-jenis rambut. Produk-produk utamanya: Nutritive, Reflection, Dermo-Calm, Resistance, Specifique dan Soleil.

Untuk maklumat lebih lanjut tentang salun Kérastase yang mengambil bahagian, sila hubungi Kérastase di talian telefon 03-7727 1231.

Kajian Setiausaha-Agung Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu tentang Keganasan Terhadap Kanak-Kanak
Pada tahun 2001, Perhimpunan Umum Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) telah meminta Setiausaha-Agung untuk menjalankan 'kajian mendalam terhadap persoalan tentang keganasan terhadap kanak-kanak’. Seorang ahli pakar bebas, Professor Paulo Sérgio Pinheiro telah dilantik untuk menerajui Kajian tersebut, dengan kerjasama Pejabat Pesuruhjaya Tinggi Hak-Hak Asasi Manusia (OHCHR), Tabung Kanak-Kanak Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Kajian selama lima tahun ini menyatukan perspektif hak-hak kemanusiaan, kesihatan umum dan perlindungan kanak-kanak dan menumpu kepada lima ‘keadaan’ di mana keganasan selalunya berlaku: di rumah dan keluarga, sekolah dan persekitaran sekolah, institusi-institusi (penjagaan dan perundangan), tempat kerja, dan di dalam masyarakat. Kerajaan-kerajaan dan pertubuhan-pertubuhan awam telah terlibat dalam pelbagai rundingan di peringkat daerah untuk menentukan kadar dan sejauh manakah keganasan terhadap kanak-kanak. Kajian tersebut merupakan kajian sulung dari PBB yang terlibat secara langsung dan konsisten dengan kanak-kanak, menekankan dan mengingatkan status kanak-kanak sebagai pemegang hak, serta hak-hak mereka untuk melahirkan pandangan terhadap semua perkara yang mempengaruhi mereka dan dimana pandangan mereka diberikan pertimbangan yang berat.

Pada 11 Oktober 2006, Professor Pinheiro telah membentangkan laporan beliau kepada Jawatankuasa Ketiga Perhimpunan Umum PBB, di Ibu pejabat PBB di New York. Setiausaha-Agung kemudiannya pada hari yang sama telah membentangkan Laporan beliau tentang Keganasan terhadap Kanak-Kanak bersama-sama dengan Pengarah Eksekutif UNICEF.

Kajian Setiausaha-Agung PBB telah menunjukkan bahawa kesan-kesan keganasan fizikal, emosi dan psikologikal boleh membawa implikasi yang buruk kepada perkembangan kanak-kanak, baik dari segi kesihatan mahupun keupayaan untuk belajar. Kajian tersebut juga menunjukkan bahawa mereka yang mempunyai pengalaman terdedah kepada keganasan ketika masih kanak-kanak adalah berkaitan rapat dengan kelakuan-kelakuan berisiko pada kemudian harinya seperti merokok, alkohol dan penyalahgunaan dadah, tidak bergiat cergas dan kegemukan. Di mana, kelakuan-kelakuan tersebut menyumbang kepada penyebab utama penyakit dan kematian, termasuklah kanser, kemurungan, bunuh diri dan juga penyakit-penyakit yang berkaitan dengan jantung.

Penterjemahan ke Bahasa Melayu oleh Anne Jamaludin.

 

 

 

 

Kempen Penjagaan & Perlindungan Kerastase

 


Hentikan Keganasan Sekarang!

Hentikan keganasan!

Pelancaran di Malaysia*

Laporan PBB (laman web)*

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Malaysia: Perlindungan Kanak-Kanak

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Search:

 Email this article

unite for children