Matlamat Pembangunan Milenium – Malaysia
Pemimpin-pemimpin Dunia di Sidang Kemuncak Milenium Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu yang diadakan di New York pada bulan September 2000 menetapkan untuk memperkukuh usaha global dalam keamanan, demokrasi, tadbir urus yang baik, dan pembasmian kemiskinan sambil terus menggalakkan prinsip hak asasi manusia dan martabat manusia. Deklarasi Milenium* membuat suatu komitmen yang kukuh kepada hak pembangunan, kepada kesaksamaan gender dan pemerkasaan wanita, kepada pembasmian banyak dimensi kemiskinan, dan kepada pembangunan manusia yang mapan. Matlamat Pembangunan Milenium* (Millennium Development Goals - MDGs) muncul sebagai kaedah utama melaksanakan Deklarasi tersebut. Sejak tahun 1970, Malaysia telah mencapai sejumlah matlamat pembangunan negara yang secara kebetulan meliputi unsur-unsur pokok MDGs. Pencapaian-pencapaian ini, dan kedudukan Malaysia yang baik sekarang dalam pembangunan ekonomi dan sosial, banyak bergantung pada dasar dan strategi tulen yang telah dibayangkan dalam Rancangan Jangka Panjang dan dilaksanakan secara sistematik melalui rancangan lima tahun negara. Suatu keterangan yang menyeluruh tentang dasar, strategi, dan program yang telah membolehkan Malaysia mencapai sebahagian besar MDGs diberikan di Laporan Malaysia bertajuk "Mencapai Matlamat Pembangunan Milenium - Kejayaan dan Cabaran*" (Achieving the Millennium Development Goals, Successes and Challenges). * Sila ambil perhatian bahawa laman web hanya didapati dalam Bahasa Inggeris.
|