Hari Alam Sekitar Sedunia 2008
Cuaca tidak menentu membawa kemudaratan kepada kanak-kanak KUALA LUMPUR, 5 Jun 2008 – Negara dan juga masyarakat kini di ambang risiko. Kenaikan aras laut dan pencairan ais di kawasan kutub … keadaan cuaca yang amat buruk … taufan, kemarau dan banjir merupakan beberapa impak alam sekitar yang semakin meningkat yang kini menjadi cabaran kepada masyarakat dan kanak-kanak. Pakar kaji cuaca telah memberi amaran bahawa perubahan iklim, merupakan salah satu sebab untuk kesemua perkembangan ekologi yang membimbangkan ini, termasuklah kekerapan dan tahap kebinasaan bencana alam yang telah berlaku semenjak beberapa tahun ini. Dengan kesan kemudaratan dan dramatik yang dibawa terhadap alam sekitar, perubahan iklim mengancam elemen-elemen asas kehidupan manusia di seluruh dunia, terutama sekali bagi kanak-kanak dan wanita. Pada tahun lepas, laporan Panel Antara Kerajaan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu terhadap Perubahan Iklim (IPCC) telah mendapati bahawa malnutrisi dan lain-lain penyakit yang berkaitan dengannya, termasuklah yang berkait-rapat dengan tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak, akan meningkat bersamaan dengan perubahan iklim dunia. Merujuk kepada amaran yang diberikan oleh pakar iklim, Wakil UNICEF di Malaysia, En. Youssouf Oomar menerangkan kemudaratan yang dibawa oleh perubahan cuaca yang tidak menentu kepada kanak-kanak. “Peningkatan suhu dunia dan perubahan hujan boleh membawa kesan kepada penghasilan tanaman ruji, di mana ianya boleh mengurangkan penghasilan makanan. Pada tahun 2006, lebih kurang 36 peratus daripada kanak-kanak di seluruh dunia mempunyai kurang berat badan yang sederhana atau amat kurang,” kata En. Youssouf. “Sekiranya kita masih berterusan tidak mengambil endah akan masalah ini, kita akan menyebabkan anak-anak menanggung kesan terhadap kesilapan yang dilakukan oleh kita dengan kebuluran, dan mungkin juga nyawa mereka”. Sebagai contoh di Ethiopia, musim hujan yang tidak kunjung tiba dan peningkatan harga makanan secara mendadak antara lainnya telah membawa kesan yang amat buruk terhadap kehidupan lebih kurang 126,000 orang kanak-kanak yang menetap di kawasan yang seringkali dilanda kemarau. Seorang kanak-kanak yang mempunyai tahap malnutrisi yang kritikal boleh membawa kepada kematian. Tetapi sebelum masalah perubahan iklim diketengahkan, tindakan-tindakan yang tidak bertanggungjawab telah membawa kepada pencemaran air, kemusnahan hutan, pelupusan pelbagai spesis haiwan dan kesihatan kanak-kanak terancam setiap hari disebabkan oleh pencemaran yang disebabkan manusia. “Apabila kita membina dengan secara tidak bertanggungjawab, membuang sampah di dalam saluran air, menebang dan membakar hutan, dan mengamalkan sistem pertanian yang tidak berkekalan, tindakan-tindakan seperti ini akan mengakibatkan banjir, penghakisan tanah, tanah runtuh, dan menjadikan tanah tidak subur untuk penanaman semula,” tambah En. Youssouf. “Buang tabiat negatif! Menuju ke arah Ekonomi Karbon Rendah” merupakan slogan bagi Hari Alam Sekitar Sedunia (WED) pada tahun ini untuk menghargai bagaimana perubahan iklim kini semakin cepat menjadi isu yang mendefinisikan era kita. Ianya disambut seluruh dunia pada 5 Jun, WED bertujuan untuk meletakkan wajah kepada isu alam sekitar dan juga untuk memperkasa orang ramai agar menjadi ejen yang aktif untuk kemajuan yang berkekalan dan saksama. Sebagai salah satu programnya, Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu adalah dengan meminta negara, syarikat dan masyarakat agar memberi fokus kepada pelepasan gas rumah hijau dan bagaimana untuk mengurangkannya. Acara pada tahun ini dianjurkan oleh New Zealand dan ia akan mengetengahkan sumber dan insiatif yang memberi galakan kepada ekonomi dan gaya hidup yang berdasarkan karbon yang rendah, seperti membaiki kecekapan penggunaan tenaga, sumber tenaga alternatif, pemeliharaan hutan dan penggunaan tenaga yang mesra-alam. Antara alngkah-langkah yang diusulkan termasuklah pembinaan lebih banyak bangunan dan peralatan yang mempunyai kecekapan penggunaan tenaga, termasuklah mentol lampu, sehinggalah mengubah kepada penjanaan elektrik yang lebih bersih dan mudah diganti dan juga sistem pengangkutan. Perpindahan kepada ekonomi yang kurang karbon adalah amat penting untuk membalikkan kembali pelepasan gas rumah hijau yang telah meningkat. Negara-negara membangun dan sedang membangun yang akan mendapat manfaat dari segi alam sekitar, ekonomi dan sosial daripada teknologi dan strategi karbon rendah ini. “Amat kritikal bagi kita menilai semula keadaan alam sekitar kita. Dunia yang kita diami ini adalah milik anak-anak kita dan juga generasi yang akan datang. Tindakan kita pada hari ini kritikal, bukan hanya untuk memelihara dunia mereka esok hari, tetapi yang paling penting, tindakan bersama akan melindungi kehidupan anak-anak kita pada hari ini,” luah En. Youssouf. ................................................................................. Nota kepada Editor Hari Alam Sekitar Sedunia Hari Alam Sekitar Sedunia merupakan acara alam sekitar Pertubuhan Bansga-bangsa Bersatu yang terutama, ia diraikan setiap tahun pada 5 Jun di dalam lebih daripada 100 buah negara di seluruh dunia. Ia telah dipersetujui pada tahun 1972 oleh Persidangan Umum Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu dan Program Alam Sekitar Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNEP) telah diamanahkan untuk memperingatinya. Pada hari tersebut, kesemua pemimpin kerajaan, Perdana Menteri dan Menteri Alam Sekitar akan memberikan kenyataan dan memberi komitmen mereka untuk menjaga Dunia ini. Ikrar yang telah dibuat akan membawa kepada penubuhan struktur kerajaan tetap yang bertanggungjawab terhadap pengurusan alam sekitar. Ia juga memberikan peluang untuk menandatangani atau membuat persetujuan terhadap konvensyen-konvensyen alam sekitar di peringkat antarabangsa. Hari Alam Sekitar Sedunia diraikan dengan pelbagai cara, termasuklah perarakan jalanan, perarakan basikal, konsert alam sekitar, pertandingan esei dan poster di sekolah, penanaman pokok, usaha untuk kitar semula, kempen-kempen pembersihan dan lebih banyak lagi. Di kebanyakan negara, acara tahunan ini digunakan untuk mengukuhkan perhatian dan tindakan politik. Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
Hari Alam Sekitar 2008 - Sumber |