Negara bersatu untuk Hari Malaria Sedunia 2008
Oleh Anwulika Okafor NEW YORK, AS, 24 April 2008 – Malaria masih kekal sebagai pembunuh kanak-kanak yang utama di Afrika walaupun selepas sepuluh tahun UNICEF, Badan Kesihatan Sedunia (WHO) serta rakan-rakan yang lain melancarkan inisiatif “Roll Back Malaria”. Penyakit ini telah meragut lebih kurang 3,000 nyawa kanak-kanak setiap hari. Daripada 350 juta orang yang telah dijangkiti dengan malaria setiap tahun, 90 peratus daripada mereka hidup di sub-Sahara Afrika. Kerja-kerja yang dilakukan oleh rakan kongsi ini di dalam inisiatif “Roll Back Malaria” ini telah berjaya meningkatkan akses perkhidmatan kesihatan dan pencegahan kepada kanak-kanak dan keluarga mereka, namun begitu ancaman ini masih kekal. Rakan-rakan ini, bersama-sama dengan pihak kerajaan, organisasi awam dan swasta, akan bertemu pada 25 April, iaitu Hari Malaria Sedunia 2008, sebagai satu usaha untuk meningkatkan tindakan global untuk memerangi penyakit ini. ‘Boleh dirawati dan dicegah’ Di negara yang mempunyai malaria, pihak kerajaan telah menghabiskan sebanyak 40 peratus daripada perbelanjaan kesihatan awam mereka untuk malaria. Perbelanjaan ini, yang boleh membantutkan pembangunan ekonomi, masih tidak mencukupi untuk menampung kos perbelanjaan untuk rawatan dan pencegahan – termasuklah pembaik pulih kemudahan air dan sanitasi, peningkatan penyemburan racun serangga dan juga pengagihan kelambu-kelambu yang telah dirawat dengan racun serangga (ITN). “Malaria masih membunuh lebih dari 1 juta orang, kebanyakannya kanak-kanak, setiap tahun, dan ini tidak boleh diterima,” kata Pengarah Eksekutif UNICEF Ann M. Veneman. “Malaria merupakan satu penyakit yang boleh dirawati dan dicegah serta boleh dikawal dengan meningkatkan penggunaan kelambu nyamuk dan lain-lain intervensi yang telah terbukti keberkesanannya sebagai satu bahagian daripada program berdasarkan masyarakat yang berintegrasi.”
Dengan bantuan dan sokongan daripada rakan-rakan agensi yang lain seperti Jabatan Bantuan Kemanusiaan Suruhanjaya Eropah dan Kerajaan Jepun, UNICEF telah menjadi penjual dan pengedar terbesar ITN, dengan membekalkan lebih daripada 18 juta kelambu pada tahun 2007. Kelambu-kelambu ini telah berjaya menurunkan jangkitan malaria. Rakan agensi di dalam inisiatif “Roll Back Malaria” juga telah membiayai dan melibatkan diri dalam usaha di peringkat kebangsaan dan juga tempatan, dengan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap kepentingan rawatan awal dan pencegahan malaria. Usaha-usaha ini telah pun dijalankan buat jangkamasa yang panjang, tetapi peningkatan pembiayaan yang berterusan adalah amat penting untuk membolehkan rakan-rakan agensi ini membina di atas kejayaan yang telah dicapai ini. Penyakit yang tidak mengenal sempadan Endemik malaria ini boleh didapati di 107 buah negara di mana 40 peratus daripada penduduk di seluruh dunia tinggal. Sememangnya ia adalah penyakit yang tidak mengenal sempadan, iaitu tema yang digunakan untuk Hari Malaria Sedunia pada tahun ini.“Di Ethiopia, 18 juta kelambu-kelambu tahan lama yang telah dirawat dengan racun serangga ini memberi perlindungan terhadap malaria dan ianya telah diedarkan semenjak tahun 2005, dan di Kenya pula 10 juta kelambu-kelambu telah diedarkan dalam masa lima tahun yang lepas,” kata Cik. Veneman. “Kejayaan ini menunjukkan apa yang boleh dicapai dengan tindakan yang bersepadu. Tetapi dengan 800,000 orang kanak-kanak Afrika meninggal dunia setiap tahun disebabkan oleh malaria, adalah jelas sekali bahawa masih banyak yang perlu dilakukan.” Untuk berjaya mengawal malaria secara global, ia akan menelan belanja yang dianggarkan berjumlah $3.2 bilion. Inisiatif “Roll Back Malaria” telah berjaya mengumpul sebanyak $1 bilion setakat ini melalui komitmen dan perkongsian daripada pihak swasta dan awam. .................................................................................. Malaria di Malaysia Malaria merupakan satu penyakit endemik di Malaysia. Program Pelupusan Malaria telah dimulakan pada tahun 1967 di Semenanjung Malaysia. Semenjak itu dan sehingga tahun 1980, terdapat penurunan di dalam bilangan kes malaria yang telah dilaporkan daripada 160,385 pada tahun 1966 kepada 9,110 kes untuk Semenjanjung Malaysia.Pada tahun 1980an, konsep pelupusan ini telah berubah kepada konsep pengawalan. Aktiviti-aktiviti sokongan seperti menggunakan kelambu yang telah dirawat, pendekatan Penjagaan Kesihatan Primer juga telah diperkenalkan di kawasan-kawasan yang seringkali diserang malaria. Aktiviti penyemburan yang fokus yang berpandukan kawasan tempatan yang seringkali berlaku penyebaran penyakit ini dan juga di kawasan-kawasan yang tidak mempunyai malaria. Pengesanan kes-kes yang pasif telah dikekalkan di semua kawasan-kawasan operasi. Masalah yang sering dihadapi oleh pencegahan dan kawalan malaria termasuklah masalah yang berkaitan dengan pembukaan kawasan-kawasan pertanian, perpindahan kaum Orang Asli di Semenanjung Malaysia dan di kawasan-kawasan yang mempunyai masalah malaria tetapi sukar untuk dicapai. Data Badan Kesihatan Sedunia (WHO) untuk tahun 2003 (Revisi tahun 2005 Bank Data Benua Pasifik Barat):
Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
Hari Malaria Sedunia 2008 Video 23 April 2008: Pengarah Eksekutif UNICEF, Ann M. Veneman, Presiden Yayasan PBB, Tim Wirth, Pesuruhjaya NBA David Stern, Paderi Tertinggi Thomas Bickerton dan Presiden Perkhidmatan Remaja Amerika, Steven Culbertson memberi ucapan ketika sidang akhbar PBB terhadap perjuangan di dalam memerangi malaria. Penasihat Kesihatan Tertinggi UNICEF untuk Malaria, Melanie Renshaw berbicara tentang peranan yang dimainkan oleh organisasi ini pada Hari Malaria Sedunia dan perjuangan di peringkat global untuk memerangi penyakit ini.
|