Sesi perbincangan Persidangan Umum PBB diakhiri dengan komitmen baru untuk kanak-kanak
Oleh Chris Niles NEW YORK, AS, 13 Disember 2007 – Sesi Perbincangan Persidangan Umum Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu telah diakhiri pada minggu ini dengan komitmen yang baru untuk mencapai matlamat yang telah dibincangkankan lima tahun yang lalu di dalam laporan ‘Dunia yang Bersesuaian untuk Kanak-kanak’, iaitu satu pelan tindakan daripada persidangan Sesi Khas terhadap Kanak-kanak yang pertama. Buat kali keduanya di dalam sejarah PBB, kanak-kanak kini membuat pembentangan dan menyumbang kepada Persidangan Umum bagi perbincangan yang meliputi isu-isu seperti perubahan iklim, pendidikan dan HIV dan AIDS. Millicent Atieno Orondo, 15 tahun, merupakan seorang delegasi remaja dari Kenya, telah menutup sesi pada sesi hari ini. “Ini merupakan peluang kami yang terakhir untuk meminta anda agar mengotakan janji-janji anda dan juga amaran terakhir kepada anda bahawa tindakan mesti diambil,” kata Millicent. “Ia bukan lagi persoalan tentang apa yang patut dilakukan dan bagaimana untuk melakukannya, tetapi apa yang diberikan keutamaan.
“Didik seorang kanak-kanak pada hari ini agar tidak menghukumi seorang dewasa esok hari. Sekiranya seorang dewasa berkomited untuk bertindak bagi memperbaiki masa sekarang, kita pula berkomited kepada mereka untuk masa hadapan yang lebih baik.” kata Millicent Atieno Orondo, 15 tahun. “Kami menyeru anda semua, semua orang dewasa yang membuat keputusan, untuk memperbaharui komitmen anda kepada kami dan menjadikan kami sebagai keutamaan yang pertama,” tambahnya lagi. “Tidak patut ada perdebatan tentang kebajikan kanak-kanak dijadikan keutamaan nombor satu.” Kemiskinan cabaran utama Di dalam deklarasi yang telah diterima sebulat suara pada akhir mesyuarat minggu ini, ahli-ahli negara yang telah terlibat mengatakan bahawa walaupun terdapat peningkatan dan pencapaian semenjak Sesi Khas yang pertama, masih banyak yang perlu dilakukan untuk meneruskan dan memperkukuhkannya. Deklarasi ini telah mengenalpasti bahawa penghapusan kemiskinan merupakan cabaran utama yang dihadapi oleh kanak-kanak dan keluarga di seluruh dunia. Walaupun terdapat pencapaian-pencapaian yang menggalakkan, namun begitu, bilangan kanak-kanak yang meninggal dunia sebelum mencapai umur lima tahun masih kekal tinggi. Hasil dokumen perbincangan ini telah menggesa para kerajaan agar meningkatkan usaha, meningkatkan kerjasama di peringkat antarabangsa dan meningkatkan kerjasama yang lebih berkesan dengan pihak media dan sektor swasta untuk memenuhi keperluan kanak-kanak. Para delegasi juga telah mencapai kata sepakat untuk mengukuhkan penglibatan kanak-kanak di dalam membaut keputusan yang boleh mempengaruhi mereka, di mana kebajikan mereka merupakan pertimbangan utama. “Ia memang satu keistimewaan,” kata Edith Asamani, 17 tahun, seorang delegasi remaja dari Ghana. “Saya berasa amat gembira kerana telah diberi peluang untuk bertemu dengan ramai para pemimpin. Saya memang mempunyai banyak mesej dan pesanan untuk mereka dan saya rasa saya telah berjaya menyampaikannya kepada mereka.” ‘Acara yang tidak akan saya lupakan’ “Memang menarik apabila dapat berbicara dengan pegawai-pegawai kerajaan dan untuk mendengar soalan-soalan mereka untuk kami,” kata Shay Zavdi, 17 tahun, dari Israel, yang berasa amat bersyukur kerana telah diberi peluang untuk mendengar pelbagai pandangan tentang hak kanak-kanak.Sebelum perbincangan Persidangan Umum ini diadakan, para delegasi remaja dan kanak-kanak telah menghadiri forum yang dijalankan selama dua hari di ibu pejabat UNICEF yang telah membantu mereka bersiap-sedia untuk pembentangan dan mesyuarat peringkat tertinggi – dan memberikan mereka peluang untuk mengenali antara satu sama lain. “Ia seolah-olah seperti kami telah berkawan lebih lama, sangat lama,” kata delegasi dari UK, Alex White, 16 tahun. “Memang menakjubkan apabila kita melihat pelbagai orang yang mempunyai matlamat yang sama. Ia merupakan satu acara yang tidak akan saya lupakan.” Seperti yang dikatakan oleh Millicent, merumuskan matlamat utama minggu ini yang akan dipenuhi dengan debat-debat dan perbincangan untuk maju ke hadapan: “Didik seorang kanak-kanak hari ini agar kita tidak menghukumi seorang dewasa esok hari. Sekiranya seorang dewasa berkomited untuk bertindak bagi memperbaiki masa sekarang, kita pula berkomited kepada mereka untuk masa hadapan yang lebih baik.” Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
Dunia Bersesuaian untuk Kanak-kanak +5 Deklarasi Progress for Children 2007 |