Hari AIDS Sedunia 2007 meraikan KEPIMPINANPENASIHAT MEDIA KUALA LUMPUR, 1 November 2007 – Setiap hari di Malaysia orang ramai berkumpul bersama-sama dengan keluarga mereka, pihak sekolah, masyarakat, dan di tempat kerja untuk mengatakan TIDAK pada AIDS! Di dalam lingkungan pengaruh mereka, wira-wira di sebalik tabir ini dalam senyap telah memimpin, dengan mewujudkan tindakbalas untuk membalikkan semula tren HIV dan AIDS di dalam masyarakat mereka sendiri. Hari AIDS Sedunia, yang diraikan pada 1hb Disember setiap tahun, meraikan setiap seorang daripada wira-wira ini. Kita meraikan seorang lelaki yang HIV positif di atas kegigihan beliau untuk mencapai dan mendidik remaja-remaja yang bermasalah di dalam masyarakat ini. Perkongsian jarum bukan sahaja telah membawa hukuman penjara beberapa kali terhadap dirinya tetapi dia juga telah dijangkiti virus HIV. Kita juga meraikan seorang surirumah yang telah menghabiskan masa setiap petang untuk bercakap dengan jiran-jirannya mengenai HIV dan bagaimana wanita serta anak-anak gadis boleh melindungi diri mereka sendiri. Kita meraikan seorang ibu yang selalu menasihati anak lelakinya agar selalu memberi kasih sayang kepada isterinya dan jangan sekali-kali menjangkitinya dengan HIV. Kita meraikan ibu bapa yang selalu di samping anak gadis mereka, dengan memberikannya segala sokongan dan jagaan yang diperlukannya apabila telah disahkan positif terhadap virus HIV. Kita meraikan seorang anak gadis kecil yang telah menasihati seorang dewasa kerana mendiskriminasi terhadap seseorang hanya kerana dia telah dijangkiti HIV. Kepimpinan bukan sahaja boleh didapati di peringkat kerajaan atau badan organisasi bukan kerajaan yang tertinggi. Kepimpinan tidak tertakluk hanya kepada jawatan atau sesebuah nama. Sebaliknya, kepimpinan itu dapat dikenalpasti melalui “tindakan, inovasi dan visi; melalui penglibatan sendiri dengan orang-orang lain yang boleh dijadikan teladan; dan melalui kegigihan di dalam menghadapi segala rintangan dan cabaran-cabaran”. Namun begitu, kita masih tidak mempunyai pemimpin-pemimpin yang cukup di dalam masyarakat kita ini, dan dengan ancaman yang dibawa oleh HIV kini semakin menghantui kita, kita tidak mampu untuk berfikiran seolah-olah ancaman ini tidak wujud. Di dalam negara yang mempunyai rekod sebanyak 16 kes-kes jangkitan baru HIV setiap hari dan kes-kes HIV yang berganda setiap tiga tahun, kita memerlukan lebih ramai lagi sokongan dari setiap peringkat masyarakat untuk menjadi pemimpin di dalam perjuangan untuk menentang HIV dan AIDS. Kita memerlukan ibu bapa dan para guru mendapatkan maklumat tentang penyakit ini supaya mereka dapat mengajar anak-anak dan para pelajar mereka tentang pencegahan HIV tanpa rasa malu atau segan. Kita memerlukan Ketua Pegawai Eksekutif daripada syarikat-syarikat besar untuk mengambil langkah yang berani di dalam memperkenalkan polisi berkaitan HIV dan pendidikan di tempat kerja mereka. Kita memerlukan pemimpin agama untuk memberikan mesej positif tentang pencegahan dan sokongan di dalam khutbah atau syarahan mereka. Kita memerlukan ibu bapa yang bertanggungjawab terhadap tindakan yang diambil agar mereka tidak akan dijangkiti oleh HIV. Kita memerlukan anak-anak muda membuat keputusan yang wajar dan keputusan berdasarkan maklumat yang telah diberikan agar mereka selalu dilindungi. Kita memerlukan satu sama lain untuk mengatakan tidak kepada AIDS dan bukan TIDAK kepada mereka yang hidup dengan HIV. Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) kini menglibatkan pihak kerajaan, mereka yang hidup dengan HIV dan AIDS, pihak media, penghibur, pemimpin-pemimpin keagamaan, wanita dan remaja untuk meraikan dan membuktikan Kempen Hari AIDS Sedunia tahun ini yang bertemakan “Kepimpinan”. Hari AIDS Sedunia tahun ini dimulakan dengan seminar untuk editor-editor media pada 1 November, program-program oleh UNICEF Malaysia termasuklah forum untuk remaja, beberapa aktiviti untuk para pemimpin agama dan para guru di Perlis, termasuklah pertandingan futsal bagi wanita dan anak-anak gadis di Pulau Pinang, Johor dan Kuala Lumpur. Program UNICEF ini bertujuan untuk memberi inspirasi kepada rakyat Malaysia agar menjadi pemimpin dan merealisasikan visi kami untuk bergandingan bahu di dalam perjuangan menentang HIV dan AIDS untuk kanak-kanak, remaja dan keluarga mereka. Tanggungjawab dan peluang untuk menjadi seorang pemimpin bergantung sepenuhnya di atas bahu kita semua. Kita mestilah bertindak berani dan gagah untuk menghadapi segala cabaran yang dibawa oleh HIV dan berkeyakinan untuk mencapai kejayaan. ..................................................................................... NOTA KEPADA EDITOR Kempen Hari AIDS Sedunia 2007 – “Kepimpinan”Pada 1 Disember setiap tahun, kini semua warga di seluruh dunia berkumpul untuk mengingati Hari AIDS Sedunia. Pada tahun ini, Kempen AIDS Sedunia telah memilih "Kepimpinan" sebagai temanya. Tema ini masih terus menggalakkan slogan "Hentikan AIDS. Berpegang pada Janji." Tema tahun 2007/8 iaitu “Kepimpinan” ini akan dibina berasaskan Hari AIDS Sedunia pada tahun 2006 yang memberi fokus kepada tanggungjawab. Matlamat keseluruhan Kempen AIDS Sedunia daripada tahun 2005 sehingga tahun 2010 ini adalah untuk memastikan bahawa para pemimpin dan pembuat keputusan memenuhi janji-janji mereka terhadap AIDS, ini termasuklah memberikan Akses Universal terhadap perkhidmatan Rawatan, Penjagaan, Sokongan dan Pencegahan menjelang tahun 2010. PERTANYAAN MENGENAI MEDIA: Sila hubungi UNICEF Malaysia Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
Hari AIDS Sedunia 2007 Bersatu untuk kanak-kanak, Bersatu menentang AIDS Fakta - fakta Sumber - HIV/AIDS Berita - Hari AIDS Sedunia 2007 Menentang HIV/AIDS di Malaysia |