Adakah kita telah gagal untuk melindungi anak-anak kita?Oleh Indra Nadchatram KUALA LUMPUR, 3 Oktober 2007 – Dua puluh tahun yang lalu, seorang kanak-kanak perempuan yang berumur lapan tahun dari Kuala Lumpur telah dijumpai mati dengan sekeping kayu yang berpaku dimasukkan ke dalam kemaluannya, dan seutas dawai di lehernya. Nama kanak-kanak perempuan tersebut ialah Ang May Hong. Satu dekad kemudiannya, Audrey Melissa Bathinathan, seorang pelajar sekolah menengah telah dijumpai mati setelah dirogol di lorong pejalan kaki di bawah sebuah jalanraya berdekatan dengan sekolahnya. Dan hanya sebulan yang lalu, mayat seorang lagi kanak-kanak yang berumur lapan tahun telah dijumpai di dalam sebuah beg di tengah ibu kota Kuala Lumpur. Nurin Jazlin Jazimin telah diculik dan dirogol. Jeritan mereka yang tidak kedengaran, bersama-sama dengan yang lain pada tahun-tahun sebelumnya, sememangnya amat memedihkan dan ianya telah menjadi tajuk-tajuk utama akhbar di seluruh negara. Rakyat Malaysia terkedu serta tidak dapat mempercayai betapa kejamnya penyiksaan yang telah dilakukan terhadap kanak-kanak dan remaja tersebut yang sememangnya tidak dapat memertahankan diri mereka sendiri. Tragiknya bagi kita semua, kisah tentang anak-anak gadis ini semuanya adalah benar. Ia juga adalah benar bahawa kisah mereka telah diulangi beberapa kali, di Malaysia dan di seluruh dunia. Tiada kesedaran dalam komuniti? Walaupun kita terkejut dan terkedu dengan kekejaman jenayah-jenayah yang dilakukan ini, apa yang tidak dapat dimaafkan adalah jenayah ini telah dilakukan di dalam masyarakat di mana May Hong, Audrey Melissa dan Nurin Jazlin telah menetap dan dibesarkan. Tempat di mana keluarga-keluarga mereka dan mereka yang lain merasakan amat selamat.May Hong sedang dalam perjalanan untuk membeli sarapan pagi untuk abangnya; Audrey Melissa pula sedang di dalam perjalanan ke sekolah dengan mengambil jalan yang selalu digunakannya. Dan Nurin Jazlin pula berada di pasar malam yang berdekatan dengan rumahnya. Tindakan-tindakan mereka bukanlah sesuatu yang di luar kebiasaan. Tetapi jenayah kejam yang telah dilakukan terhadap mereka adalah di luar kebiasaan. Apa yang paling kejam adalah sikap kita yang tidak ingin tahu dan membisu terhadap kesemua ini yang telah membenarkan jenayah-jenayah seperti ini boleh berlaku berulang kali. Di dalam sebuah dunia ideal yang ingin kita kecapi, masyarakat merupakan tempat untuk berlindung dan selamat bagi kanak-kanak dan remaja. Secara tradisinya, masyarakat bertindak sebagai sebuah keluarga di mana orang-orang dewasa bersatu untuk mendidik kanak-kanak; memberi mereka nasihat; memberi sokongan kepada mereka dan melindungi mereka daripada sebarang bahaya.Kelemahan membentuk perpaduan komuniti Namun begitu masyarakat itu sendiri bukanlah sesuatu yang sempurna. Tekanan-tekanan yang didapati daripada kemiskinan, penghijrahan yang meningkat dari luar ke dalam bandar, pengangguran dan perbezaan sosial boleh menyumbang kepada penyalahgunaan dadah dan jenayah, dan ini melemahkan ikatan masyarakat di dalam dunia masa kini. Mereka yang lemah seperti kanak-kanak dan remaja adalah mereka yang menjadi mangsa kerana kini mereka didedahkan kepada lebih banyak keganasan berbanding suatu ketika dahulu.Menurut Laporan Setiausaha Agung PBB berkaitan keganasan terhadap kanak-kanak, yang telah dilancarkan pada tahun 2006, “struktur pembentukan masyarakat secara fizikalnya, kepadatan kawasan, dan juga wujudnya perkhidmatan dan kemudahan awam memberi sokongan yang positif terhadap kesejahteraan keluarga, ia juga mempengaruhi perhubungan sosial di dalam masyararakt itu sendiri dan mempengaruhi samada kanak-kanak akan menjadi mangsa kepada keganasan atau tidak.” Tetapi dengan meningkatnya urbanisasi, serta saiz masyarakat yang mengecil, ahli-ahlinya juga kini mengambil sikap tidak ingin tahu berkenaan dengan hal orang lain. Semakin kita tidak mengambil kisah tentang orang lain, kita juga telah membuka pintu kepada jenayah-jenayah keganasan terhadap anak-anak kita. Bagi anak-anak kecil, terutama sekali perempuan, mereka menjadi sasaran yang paling mudah untuk memuaskan nafsu seks, marah, kekecewaan, dan penolakan. May Hong, Audrey Melissa dan Nurin Jazlin mungkin telah menolak, mereka juga mungkin telah melawan balik, dan mereka juga mungkin telah menjerit untuk meminta tolong. Tetapi jeritan mereka tidak didengari mahupun diendahkan, sehinggalah ianya sudah terlambat. Masyarakat mempunyai peranan yang perlu dimainkan untuk mencegah keganasan. Ia adalah sia-sia apabila kita meluahkan perasaan marah kita hanya selepas berlakunya kematian atau kecederaan. Pendekatan kepelbagaian displin Cabaran yang perlu dihadapi untuk menghentikan segala bentuk keganasan terhadap kanak-kanak adalah untuk menggunakan pendekatan daripada pelbagai sektor iaitu dengan menggabungkan strategi-strategi tindakan dan pencegahan yang memberi fokus kepada empat “P”: Perlindungan kanak-kanak, Pencegahan keganasan, Penghukuman penjenayah dan Penglibatan kanak-kanak. Dan ia memerlukan iltizam dan komitmen daripada kita semua. Meluluskan dan menguatkuasakan undang-undang amat penting di dalam membentuk rangka kerja yang dapat melindungi kanak-kanak. Rekaan ruangan fizikal seperti memperbaiki lampu-lampu jalanan juga boleh mencegah jenayah. Mewujudkan masyarakat yang mesra kanak-kanak dengan menyokong persekitaran mereka melalui penyediaan infrastruktur dan perkhidmatan yang asas, dan membantu masyarakat membina atau membina kembali nilai-nilai positif dan keamanan kejiranan, merupakan suatu jalan penyelesaian yang bagus. Terutama sekali para pemimpin agama, mereka mempunyai peranan yang penting di dalam mempengaruhi perubahan dan reformasi, lebih-lebih lagi terhadap nilai-nilai yang memberi penghormatan kepada kanak-kanak dan kepentingan bagi mereka untuk menggunakan hak mereka sepenuhnya. Pada masa yang sama, berikan kanak-kanak dan remaja pendidikan kemahiran hidup di sekolah dan di rumah juga dapat membantu mereka membuat keputusan yang wajar di dalam melindungi diri mereka sendiri apabila berhadapan dengan situasi yang berisiko bila berlakunya keganasan. Namun begitu semuanya ini tidak akan bermakna, sekiranya kita, tidak memainkan peranan kita untuk melindungi kanak-kanak daripada bahaya. Adakah kita mampu untuk meneruskan sikap tidak ambil tahu kita apabila terdapatnya risiko-risiko keganasan terhadap anak-anak kita wujud di dalam masyarakat kita sendiri? Tiada tolak-ansur dalam menghentikan keganasan UNICEF mempercayai bahawa tiada tolak-ansur di dalam mencabar keganasan terhadap kanak-kanak – samada di rumah, di sekolah mahupun di dalam masyarakat. Keunikan kanak-kanak – iaitu potensi mereka sebagai sumber generasi masa hadapan, kelemahan mereka, keadaan mereka yang amat bergantung pada orang dewasa untuk perkembangan dan pembesaran mereka – memberi kita alasan yang cukup untuk melabur di dalam pencegahan dan perlindungan mereka daripada keganasan.Bulan ini merupakan ulang tahun yang pertama semenjak pelancaran Laporan Setiausaha Agung Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu berkaitan keganasan terhadap kanak-kanak. Dengan mengadakan aturcara khas bagi meraikan ulang tahun ini adalah sia-sia sekiranya aktiviti tersebut tidak disusuli dengan satu perjanjian daripada kita semua agar kita dapat melakukan segala yang terbaik untuk menghentikan keganasan terhadap kanak-kanak. Untuk May Hong, Audrey Melissa dan Nurin Jazlin serta kanak-kanak dan remaja lain yang telah mengalami keganasan; yang telah meninggal dunia, yang telah mengalami kecacatan, yang terpaksa hidup di dalam ketakutan disebabkan oleh keganasan di dalam masyarakat mereka, untuk kanak-kanak ini serta berjuta-juta kanak-kanak yang lain, jangan biarkan kematian mereka suatu yang sia-sia atau jangan biarkan mereka hidup di dalam kesengsaraan dalam diam. Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
Hentikan Keganasan Sekarang! * Laman web di dalam Bahasa Inggeris. Persekitaran yang terlindung Belajar bagaimana mencipta persekitaran selamat untuk kanak-kanak Laman web di dalam Bahasa Inggeris. Keganasan dalam komuniti - Sumber Penerbitan: Keganasan dalam komuniti
Fakta: Hentikan keganasan dalam komuniti
Video: Perundingan Asia Timur dan Pasifik
Malaysia: Perlindungan Kanak-Kanak |