Pusat media

Balai berita

Topik hangat

Kedudukan UNICEF

Garis panduan media

Kit media

Ucapan

Profil

Kalendar 2008

Acara / Majlis

Hubungi kami

 

Malaysia menempa kejayaan di dalam menurunkan kadar prevalensi kanak-kanak yang mempunyai kurang berat badan

© UNICEF Malaysia/2007/Nadchatram
Penyelaras Inisiatif Pengukuhan Kandungan Tepung, Encik Glen Maberly dan Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Encik Kul Gautam percaya bahawa salah satu cara yang terbaik untuk meningkatkan kesihatan awam adalah dengan memperkayakan kandungan makanan ruji.

Oleh Indra Nadchatram

KUALA LUMPUR, 22 Ogos 2007 – Malaysia mempunyai pengalaman yang terbaik di dalam menurunkan kadar prevalensi kanak-kanak yang mempunyai berat badan yang kurang di kawasan benua Asia Timur dan Pasifik, kata Tabung Kanak-kanak Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) ketika berlangsungnya Persidangan Makanan ASEAN yang ke-10 baru-baru ini.

Negara ini telah berjaya menurunkan insiden-insiden kekurangan berat badan daripada 25 peratus pada tahun 1990 kepada 11 peratus pada tahun 2003. 
Menurut Timbalan Pengarah Eksekutif UNICEF, Encik Kul C Gautam, Malaysia telah menunjukkan perkembangan yang baik untuk kanak-kanak dalam  masa tiga puluh tahun yang lepas, iaitu dengan menurunkan kadar kemiskinan dengan mendadak, menurunkan kadar buta huruf, dan kadar malnutrisi berbanding dengan kebanyakan negara-negara yang sedang membangun yang lain.

Contoh yang terbaik

”Malaysia merupakan contoh yang terbaik. Ia merupakan hasil daripada kepimpinan yang mempunyai visi, komitmen yang kuat terhadap kesejahteraan kanak-kanak dan pelaburan-pelaburan di dalam kesihatan dan pendidikan, ia telah berjaya menurunkan kadar kematian di bawah umur lima tahun daripada 21 kematian bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun 1990 kepada 8 bagi setiap 1,000 kelahiran hidup pada tahun 2005,” kata Encik Gautam.

“Satu lagi sebab mengapa Malaysia berjaya adalah kerana komitmen daripada pihak kerajaan yang ingin memastikan bahawa kanak-kanak menerima nutrisi yang bersesuaian.”

Pencapaian Malaysia, walau bagaimanapun hanya dikongsi bersama beberapa buah negara sahaja di benua ini. UNICEF menganggarkan terdapat 22 juta orang kanak-kanak di Asia Timur dan Pasifik yang kini tidak mendapat nutrisi yang mencukupi. Kira-kira satu per tiga daripada kanak-kanak di Filipina terbantut pembesaran mereka dan berada di bawah lingkungan berat badan yang sihat; manakala lebih daripada satu per empat kanak-kanak yang berumur kurang daripada lima tahun di Indonesia dan Vietnam juga berada di bawah lingkungan berat badan yang sihat.

Diet berkualiti dengan kandungan mikronutrien

UNICEF walau bagaimanapun memberi amaran bahawa menangani masalah malnutrisi bukan sahaja untuk menurunkan insiden kanak-kanak yang mempunyai berat badan yang kurang, tetapi untuk memastikan bahawa kanak-kanak dan wanita menerima diet pemakanan yang berkualiti termasuklah mikronutrien untuk menggalakkan perkembangan mental dan fizikal.

Kajian yang dijalankan oleh Universiti Putra Malaysia baru-baru ini telah mendapati bahawa 38 peratus daripada wanita yang telah dikaji selidik mempunyai anemia manakala 84.8 peratus tidak mempunyai tahap folik yang mencukupi di dalam darah mereka untuk melindungi bayi yang dikandung daripada kecacatan di dalam kandungan dan kematian di dalam kandungan.

Badan kita memerlukan garam galian yang asas seperti iodin, zink dan juga vitamin A serta folate untuk menghasilkan enzim-enzim, hormon-hormon dan lain-lain bahan untuk mengendalikan pembesaran dan memastikan sistem-sistem pertahanan badan dan reproduktif dapat berfungsi dengan baik.

Kekurangan zat-zat mineral dan vitamin ini boleh membawa kepada kematian bayi di dalam kandungan, kecacatan bayi, buta, sistem pertahanan badna yang lemah, anemia yang boleh mengancam nyawa dan kecacatan mental dan fizikal yang teruk. Dalam skala yang lebih besar ia meneruskan kesinambungan generasi yang mempunyai kematian kanak-kanak yang tinggi, kesihatan yang lemah, kurang pendidikan dan kehilangan produktiviti, yang membawa kepada komuniti, masyarakat dan negara yang miskin.

Penyelesaian yang tidak menggunakan banyak sumber

Memperkayakan kandungan makanan telah dibangkitkan oleh Encik Gautam sebagai salah satu daripada jalan penyelesaian yang terbaik untuk mengatasi masalah ini kerana ia tidak menggunakan sumber yang banyak dan ia boleh dikekalkan untuk jangka masa yang lama. 

“Memperkayakan tepung gandum menawarkan peluang yang tinggi untuk menangani kekurangan zat-zat berkhasiat kerana lebih daripada 400 juta tan metrik gandum digunakan setiap tahun. Kos untuk memperkayakan tepung dengan zat besi dan asid folik adalah sedikit iaitu daripada US$ 0.30 kepada US$ 0.50 bagi setiap tan metrik,” terang beliau. “Dalam erti kata lain sebanyak US$ 0.02 untuk seorang dalam setahun!”

Industri makanan digesa untuk memainkan peranan mereka di dalam memastikan tepung yang telah diperkayakan menjadi suatu realiti bukan sahaja di Malaysia, tetapi di seluruh dunia. Di antara tindakan-tindakan yang diperlukan daripada industri makanan adalah untuk menggabungkan teknik perkayaan di dalam kesemua kilang-kilang besar dan sederhana yang sedia ada; untuk berkongsi kepakaran teknikal dan membantu memindahkan teknologi serta mengaplikasikannya ke dalam bahan-bahan, pengagihan dan kemahiran-kemahiran pemasaran untuk menjadikan tepung bijiran dan lain-lain bahan makanan yang telah diperkayakan senang didapati dengan meluas. 

Perlunya mewajibkan perkayaan makanan

Inisiatif Pengukuhan Kandungan Tepung (FFI) Encik Glen Maberly menerangkan walaupun usaha untuk memperkayakan kandungan makanan secara sukarela amat penting, namun begitu ia masih tidak mencukupi. “Program yang mewajibkan pengukuhan pemakanan ini adalah amat diperlukan untuk mengatasi isu-isu yang penting seperti memastikan ianya meliputi seluruh negara, ianya adil, ruangan untuk dilaksanakan, kos promosi yang rendah, ia dapat diteruskan dan selamat,” kata beliau. Encik Maberly juga merupakan seorang Profesor di Fakulti Kesihatan Umum di Universiti Emory Rollins.

Kumpulan Pemimpin FFI telah memberi komitmen untuk memperkayakan sebanyak 70 peratus daripada tepung gandum yang dihasilkan di kilang-kilang pengeluarnya di seluruh dunia dengan sekurang-murangnya zat besi dan asid folik pada tahun 2008. Sehingga kini, hanya 20 peratus daripada tepung-tepung gandum yang dihasilkan telah diperkayakan. Untuk mencapai keperluan tersebut, suatu tindakan kebangsaan diperlukan dengan kerjasama di antara agensi-agensi kerajaan, kumpulan-kumpulan perubatan dan kesihatan, advokat pengguna, media, kumpulan-kumpulan orang kurang upaya dan juga pihak swasta.

“Kami berasa amat optimistik terhadap kejayaan Malaysia dan ia merupakan contoh yang terbaik untuk memberi inspirasi kepada negara-negara lain untuk ikut serta”, tambah Encik Gautam.

Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.

 

 
Search:

 Email this article

unite for children