Pusat media

Balai berita

Topik hangat

Kedudukan UNICEF

Garis panduan media

Kit media

Ucapan

Profil

Kalendar 2008

Acara / Majlis

Hubungi kami

 

Penyusuan ibu pada jam yang pertama selepas kelahiran boleh membantu menyelamatkan lebih daripada satu juta bayi

PENASIHAT MEDIA

KUALA LUMPUR, 20 Julai 2007 – Minggu Susu Ibu Sedunia (WBW) pada tahun ini, akan diraikan daripada 1 sehingga 7 Ogos, ia mengetengahkan kepentingan saat-saat jam yang pertama kehidupan untuk ibu dan bayi, dan bagaimana permulaan untuk penyusuan ibu dan penyusuan sepenuhnya untuk enam bulan berturut-turut boleh menyelamatkan lebih daripada SATU juta nyawa bayi.

Menurut Tabung Kanak-kanak Pertubuhan Persatuan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNICEF), susu ibu adalah lebih daripada sekadar makanan untuk bayi, dan permulaan penyusuan ibu boleh membantu menyelamatkan dan melindungi bayi daripada cirit-birit, jangkitan-jangkitan ruang pernafasan dan juga malnutrisi. Wanita-wanita mempunyai hak terhadap maklumat ini dan juga untuk menerima sokongan yang mereka perlukan apabila mereka ingin memulakan penyusuan ibu dengan betul.

Laporan Kesihatan Sedunia untuk tahun 2005 telah menyatakan bahawa terdapat 136 juta bayi yang dilahirkan pada setiap tahun, iaitu kira-kira 4 juta bayi telah meninggal dunia pada bulan pertama kehidupan mereka selepas dilahirkan manakala lebih kurang 10.6 juta bayi pula meninggal dunia sebelum mencapai umur lima tahun. Namun begitu, kematian ini boleh dicegah. Sekurang-kurangnya 1.3 juta nyawa boleh diselamatkan dan berjuta-juta nyawa dapat diperkukuhkan setiap tahun, sekiranya setiap bayi disusukan ibu sepenuhnya daripada jam pertama kelahiran mereka sehinggalah mereka mencapai umur enam bulan.

Tambahan pula, penyusuan ibu mengurangkan insiden asma, alahan, kanser yang berlaku pada kanak-kanak, diabetes, kolitis, penyakit kardiovaskular dan jangkitan-jangkitan telinga, serta pada masa yang sama menggalakkan perkembangan kognitif dan pencapaian di sekolah. Kajian semula di peringkat global yang telah dijalankan oleh Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) baru-baru ini telah menunjukkan bahawa kanak-kanak yang diberi penyusuan ibu apabila dewasa kelak mempunyai tekanan darah yang rendah serta  jumlah kolesterol yang rendah, begitu juga dengan pencapaian yang tinggi di dalam ujian kepintaran.

Walaupun terdapat pelbagai bukti yang menyokong betapa pentingnya penyusuan ibu untuk memastikan kesinambungan kehidupan dan perkembangan bayi, tetapi kebanyakan ibu-ibu masih memilih untuk tidak menyusukan sepenuhnya bagi bayi mereka untuk enam bulan yang pertama mahupun untuk meneruskan penyusuan sehingga bayi mereka berumur dua tahun seperti yang disarankan.  Malahan, mereka telah menggantikan susu ibu dengan lain-lain bahan gantian yang boleh mengancam kesihatan bayi mereka. Ini adalah keadaan yang sering berlaku sekiranya ibu bapa tidak mampu untuk membeli bahan-bahan formula gantian yang mencukupi, di mana kebanyakannya adalah mahal atau tidak selalunya mempunyai air yang bersih untuk menyediakannya.

Pengarah Benua UNICEF untuk Asia Timur dan Pasifik, Cik Anupama Rao Singh telah mengetengahkan isu-isu tentang penyusuan ibu ketika berlangsungnya konsultasi teknikal di Manila pada bulan Jun 2007 iaitu satu program bersama di antara WHO dan UNICEF di mana masih banyak yang perlu dilakukan untuk menggalakkan, melindungi dan menyokong penyusuan ibu.

“Cabaran yang wujud di setiap negara di benua ini adalah untuk menangani tren pengaruh budaya menyusukan bayi menggunakan botol susu, kerana ia telah digalakkan oleh pemasaran formula bayi yang agresif dan pengawasan yang lemah daripada penguatkuasa Kod Antarabangsa terhadap Pemasaran Formula Gantian Susu Ibu,” kata Cik Rao Singh.

Pilihan untuk menyusukan bayi memanglah keputusan yang tepat. Ia bukan sahaja menyelamatkan nyawa, ia juga mempunyai manfaat-manfaat tambahan kepada keluarga dan kepada masyarakat secara amnya. Susu ibu merupakan sumber yang berterusan dan ia adalah percuma, ia menghapuskan perbelanjaan terhadap formula bayi, botol-botol susu, puting susu dan juga pensterilan alat-alatan. Penyusuan ibu juga membantu keluarga dengan menjarakkan umur di antara anak-anak dengan melambatkan penyuburan selepas bersalin.

Sebagai tambahan, penyusuan ibu juga melindungi persekitaran, iaitu dengan menghapuskan kegunaan air dan tenaga di dalam penyediaan susu tepung dan juga dengan menghadkan bilangan tin dan plastik yang diperlukan untuk membungkus bahan-bahan produk tersebut.

Cabaran yang dihadapi pada masa kini terhadap pihak Kerajaan dan badan-badan organisasi sivil adalah untuk mencari cara-cara yang terbaik untuk mempengaruhi mereka di peringkat masyarakat di dalam menggalakkan penyusuan ibu. Sekiranya ia berjaya, berjuta-juta orang bayi dan kanak-kanak dapat diselamatkan dan ini menyumbang kepada kemajuan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Milenium.

..................................................................................

NOTA KEPADA PENGARANG

TENTANG Minggu Susu Ibu Sedunia (WBW)
WBW 2007 akan diraikan sekali lagi di 120 buah negara di seluruh dunia pada 1-7 Ogos dengan bertemakan Penyusuan ibu: 1 jam yang pertama – Permulaan awal dan penyusuan ibu sepenuhnya untuk enam bulan yang pertama boleh menyelamatkan lebih daripada SATU juta bayi! Tema ini memberi penekanan terhadap SATU tindakan yang muda dengan membenarkan bayi untuk memulakan penyusuan ibu pada jam yang pertama kehidupan mereka boleh menyelamatkan SATU juta bayi.

Tahun ini WBW memanggil kesemua pembuat-pembuat dasar, pekerja-pekerja kesihatan, ahli-ahli keluarga dan masyarakat di dalam memastikan terdapatnya persekitaran yang membolehkan untuk para ibu dan bayi memulakan penyusuan ibu ketika jam yang pertama kehidupan selepas kelahiran. Untuk maklumat lebih lanjut, sila layari : http://worldbreastfeedingweek.org/*

VIDEO PPA: Bayi "Bubbly" lahir!
Pastikan ibu menyusukan bayi sejam selepas kelahiran.
Lagi

Pakej advokasi tentang penyusuan ibu
Dalam membantu dunia mempromosikan penyusuan ibu, Pusat Kajian Innocenti UNICEF telah menyediakan pakej yang mengandungi penerbitan, poster dan bahan-bahan komunikasi dan advokasi dalam beberapa bahasa. Pakej boleh didapati di  http://www.unicef-irc.org/*  

PERTANYAAN MENGENAI MEDIA: Sila hubungi UNICEF Malaysia
Indra Nadchatram: (+6) 013 366 3452; inadchatram@unicef.org
Izwina Mohd Din: (+6) 012 243 7374; imohddin@unicef.org  

Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.

 

 
Search:

 Email this article

unite for children