Memberi anak-anak muda di Malaysia cara yang kreatif untuk melepaskan diri daripada belenggu trauma tsunami
Oleh Steve Nettleton LANGKAWI, Malaysia; 26 Disember 2006 – Bagi Nor Soffi binti Abu Bakar, pemulihan selepas tsunami datang dengan membasuh pinggan mangkuk dan juga menyediakan minuman. Restoran di tepi pantai kepunyaan kedua ibu dan bapanya telah dihanyutkan oleh ombak-ombak besar yang melanda pada Disember 2004. Walaupun tiada seorang daripada ahli keluarganya yang tercedera, kehilangan tersebut telah membawa trauma kepada kedua ibu dan bapanya, dan telah meninggalkan mereka tanpa sebarang sumber pendapatan. Selepas itu mereka telah membuka sebuah kedai makanan yang kecil terletak berdekatan dengan pelabuhan bot di kawasan pantai Langkawi. Soffi, 16 tahun, menghabiskan masa yang terluang selepas sekolah dengan membuat apa sahaja yang patut untuk membantu perniagaan keluarganya. Untuk kesihatan emosinya sendiri, dia telah beralih kepada lukisan. Soffi merupakan peserta yang sering mengikuti bengkel seni untuk remaja yang telah mengalami tsunami. Bengkel-bengkel ini secara asalnya telah dibawa oleh UNICEF dan rakan organisasinya, Empower, sebagai tempat untuk remaja mempelajari meluahkan perasaan mereka dan bagaimana untuk menghadapi kesan-kesan tsunami. Kepimpinan remaja Selepas berlakunya bencana tersebut, UNICEF dan Empower telah mendapati kanak-kanak dan remaja di kawasan Kuala Muda Kedah, Langkawi dan Pulau Pinang, iaitu tempat-tempat yang telah dilanda tsunami dengan teruk, telah menunjukkan tanda-tanda kemurungan di mana ianya tidak diakui secara terbuka di dalam masyarakat secara umum. Hasil daripada pemerhatian tersebut, UNICEF dan Empower telah mengatur bengkel-bengkel untuk kanak-kanak dan kem-kem kepimpinan buat remaja untuk mempertingkatkan kemahiran kepimpinan, motivasi, kemahiran komunikasi dan juga keyakinan anak-anak muda tersebut, juga untuk memberikan remaja persekitaran yang positif untuk membina projek-projek mereka sendiri.
Pada tahun 2006, dua buah organisasi telah melangkah dengan lebih jauh, dengan menubuhkan bengkel-bengkel teater dan seni untuk memberi anak-anak muda laluan kreatif untuk membincangkan isu-isu yang penting bagi mereka. Dua tahun selepas tsunami, para remaja mengatakan yang bencana tersebut telah menjadi kurang penting bagi mereka. Sebaliknya, HIV dan AIDS, dadah, seksualiti dan keganasan adalah masalah-masalah yang lebih penting bagi mereka hari ini. Mencari inspirasi “Kami sedar bahawa jika kami asyik memikirkan tentang trauma ini, ia tidak memberi laluan kepada mereka untuk meneruskan kehidupan mereka,” kata Thency Gunasekaran, pegawai projek bagi Empower. “Di dalam kebanyakan aktiviti-aktiviti yang kami jalankan, kami bukan hanya melihat kepada aspek terapi seni sahaja; kami sebenarnya memasukkan sesi-sesi di mana anak-anak muda ini boleh menyuarakan pendapat dan perasaan mereka. Agar mereka dapat mengenalpasti isu-isu yang berkaitan dengan kehidupan mereka.” Di salah satu bengkel yang diadakan pada November 2006, Soffi sibuk melukis tanda amaran terhadap penggunaan dadah. Dia mengatakan bahawa dia mendapat inspirasi dan juga keselesaan apabila mengikuti sesi-sesi yang dijalankan. “Saya menikmati bengkel-bengkel ini kerana apabila saya datang, saya mendapat peluang untuk meluahkan apa yang tebuku di dalam hati saya dan saya rasa lebih ringan apabila berjaya berbuat demikian, dengan meluahkan masalah-masalah yang saya alami melalui seni,” kata Soffi. Dengan menggunakan pensil dan krayon mangsa-mangsa tsunami yang muda di Malaysia telah meninggalkan pengalaman tersebut dan kini menangani isu-isu yang mereka lihat sebagai ancaman utama kepada kehidupan mereka. Laporan daripada Indra Nadchatram. Penterjemahan ke Bahasa Melayu oleh Anne Jamaludin.
Video 26 Disember 2006: Laporan video adalah di dalam Bahasa Inggeris. Video yang berkualiti dalam format BETA atau DVD boleh didapati di UNICEF Malaysia. Video Laporan 2-tahun Tsunami: Malaysia Sokongan untuk kesihatan emosi Perniagaan mikro memperkasa wanita * Laporan multimedia di dalam Bahasa Inggeris. Laporan 2-Tahun Tsunami |