Pertandingan Futsal Wanita 3R-UNICEF memperkasa anak-anak gadis berjuang menentang AIDS
Oleh Azah Yasmin Yusoff dan Indra Nadchatram KUALA LUMPUR, 4 Mac 2008 – Lebih dari 1,000 orang anak gadis dan wanita dari serata Malaysia telah bertemu baru-baru ini dengan semangat dan perkasa untuk bersatu menentang AIDS. Dengan sokongan yang diberikan oleh Kelab Bola Sepak Manchester United melalui program ‘Bersatu untuk UNICEF’ dan rancangan TV Malaysia yang inovatif ‘3R’, Pertandingan Futsal Wanita 3R-UNICEF telah diadakan buat kali keduanya untuk membantu anak-anak gadis dan wanita agar dapat mengawal kembali hidup mereka dan kekal selamat dari HIV. Maria Kamal, 18 tahun, telah bermain futsal (sukan satu versi bola sepak dengan hanya 5 orang pemain setiap pihak) semenjak berusia 5 tahun. Baginya, permainan ini adalah lebih dari sekadar bekerja di dalam satu pasukan dan persaingan yang tinggi. “Saya amat menggemari bermain futsal kerana ia telah membantu saya bersosial dengan orang ramai dan juga untuk menunjukkan kepada budak-budak lelaki di kawasan rumah saya, dan bagi mereka yang mengenali saya, walaupun saya seorang perempuan, saya juga boleh bermain dengan lebih baik dari mereka ataupun lebih kurang sama,” kata Maria. Sikap serta pengalaman sebeginilah yang ingin dipupuk di kalangan anak-anak gadis dan wanita di Malaysia oleh UNICEF. Wanita dan anak-anak gadis, wajah baru bagi HIV Lebih dari satu pertiga mereka yang hidup dengan HIV di seluruh dunia adalah di bawah umur 25 tahun, dan hampir dua pertiga dari mereka adalah wanita. Di Malaysia, bilangan wanita dan anak-anak gadis yang hidup dengan HIV telah meningkat secara dramatik dalam masa sedekad yang lepas.
Penasihat Rantau Asia Timur dan Pasifik untuk HIV dan AIDS UNICEF, Wing-Sie Cheng, percaya bahawa melengkapi anak-anak gadis dan wanita dengan keyakinan untuk melindungi diri dan keluarga mereka dari HIV merupakan kunci utama di dalam membalikkan semula epidemik ini di Malaysia. “Pertandingan-pertandingan seperti ini adalah amat penting,” kata beliau. “Anak-anak gadis rata-ratanya dapat berseronok, menikmati hari tersebut dan terlibat di dalam permainan yang dijalankan. Dan mereka juga mendapat peluang untuk menggunakan hak mereka untuk bersenam iaitu sesuatu yang bagus untuk mereka. Ia juga merupakan satu proses membina keyakinan yang amat bagus untuk wanita dan anak-anak gadis.” Dicipta di Uruguay pada tahun 1930an, futsal boleh dimain di kawasan tertutup ataupun di luar iaitu di atas gelanggang bola keranjang. Di Malaysia, terdapat lebih kurang 100 buah pasukan – termasuklah 31 buah pasukan sekolah – yang telah bertemu untuk menjayakan Pertandingan Futsal Wanita 3R-UNICEF. Selain daripada bertanding untuk memperolehi trofi kejuaraan dan hadiah-hadiah wang tunai, para pemain juga telah dihiburkan oleh para artis tempatan dan pasukan-pasukan sorak ketika masa berehat, manakala pengacara rancangan TV ‘3R’, yang juga merupakan Duta Kebangsaan UNICEF Malaysia, telah memberi kuiz kepada para penonton tentang HIV dan AIDS. Pertandingan-pertandingan ini telah di adakan di Johor Bahru, Pulau Pinang dan Kuala Lumpur di mana semuanya telah memberi sokongan kepada kempen Bersatu untuk Kanak-kanak, Bersatu menentang AIDS yang telah dilancarkan secara global oleh UNICEF pada bulan Oktober 2005. Membawa pendidikan HIV ke sekolah Pengacara-pengacara rancangan ‘3R’ telah mengambil satu langkah ke hadapan bagi pertandingan ini dengan mengadakan bengkel-bengkel pendidikan HIV khas di sekolah-sekolah di seluruh Malaysia, di mana mereka telah membantu lebih dari 1,000 orang pelajar mempelajari tentang HIV dan bagaimana mereka boleh membantu melindungi diri mereka dari virus tersebut. Yang Mulia Raja Zarith Sofiah, iaitu permaisuri kepada Putera Mahkota Johor, yang telah melancarkan pertandingan yang pertama di Johor Bahru, amat mengalu-alukan inisiatif gabungan 3R-UNICEF sebagai satu maklumbalas berharga di dalam membantu anak-anak gadis dan wanita memperolehi kemahiran hidup untuk menangani HIV. “HIV merupakan satu masalah yang besar di Malaysia, tetapi tidak ramai orang yang ingin mengakuinya,” kata Yang Mulia Raja Zarith Sofiah. “Dengan adanya program seperti ini, bermaksud golongan muda dan mereka yang tidak mempunyai pengetahuan … kini akan dapat memperolehi sedikit kesedaran tentang penyakit ini.” Bagi para pelajar yang telah melibatkan diri, bengkel-bengkel ini merupakan pengenalan kepada pelajaran-pelajaran yang akan menyelamatkan nyawa mereka suatu hari nanti. “Saya kini mendapat gambaran yang lebih jelas tentang HIV dan bagaimana untuk mengendali kehidupan sosial saya,” kata Kavitha Nandarajah, 17 tahun, seorang pelajar. “Sekarang, sekurang-kurangnya saya tahu bagaimana saya boleh mencegah diri saya dari dijangkiti HIV. Kita patut adakan bengkel ini di semua sekolah di seluruh Malaysia agar para pelajar tahu apa yang boleh mereka lakukan..” Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
Berita 4 Mac 2008: 17 November 2007: 10 November 2007: 5 November 2007: 6 Mei 2007: 20 Mei 2007: 8 Januari 2007: 22 Mei 2006: * Berita di dalam Bahasa Inggeris.
Bersatu untuk kanak-kanak, Bersatu menentang HIV/AIDS Menentang HIV/AIDS di Malaysia |