HIV/AIDS

AIDS di Malaysia

Respons UNICEF: 2005 – 2007

Bersatu untuk kanak-kanak, Bersatu menentang AIDS

Berita

Kehidupan benar

 

Pencapaian dan cabaran dalam menangani HIV di Malaysia

Menteri Kesihatan Malaysia,Y.B Dato' Seri Dr. Chua Soi Lek melancarkan Persidangan AIDS Kebangsaan yang pertama di Malaysia, bersempena dengan Hari AIDS Sedunia. Bersama beliau adalah Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr. Abdul Latiff Ahmad.

Menteri Kesihatan menekankan bahawa kepimpinan perlu untuk memastikan strategi berkesan ketika berlangsungnya Persidangan AIDS Kebangsaan yang Pertama di Malaysia.

Oleh Indra Nadchatram

KUALA LUMPUR, 15 Disember 2007 – Persidangan AIDS Kebangsaan yang pertama di negara ini telah membawa pelbagai berita baik dan berita yang kurang menarik. Seperti yang dinyatakan oleh Menteri Kesihatan Malaysia, Yang Berhormat Dato’ Seri Dr. Chua Soi Lek berkenaan dengan laporan  terbaru jangkitan-jangkitan HIV yang telah berjaya dikurangkan semenjak lima tahun yang lepas, iaitu daripada 6,978 kes pada tahun 2002 kepada 5,830 kes pada tahun 2006.

Namun begitu, berita yang terbaik pada hari tersebut disusuli dengan beberapa pengumuman yang mengatakan bahawa wanita dan anak-anak gadis di dalam negara ini semakin diancam oleh penyakit yang masih belum ditemui penawarnya.

Kisah yang sama juga boleh didapati di seluruh dunia. Wanita dan anak-anak gadis menyumbang hampir separuh daripada jangkitan-jangkitan terbaru di seluruh dunia, dengan bilangan yang semakin meningkat hampir di semua benua. Mereka amat berisiko untuk terdedah kepada seks tanpa perlindungan (tanpa kondom) dengan pasangan lelaki yang HIV positif.

Apabila HIV mula melanda negara ini pada tahun 1986, ia hanya didapati di kalangan lelaki. Hanya beberapa tahun berikutnya, iaitu pada tahun 1988, wanita pula dilaporkan HIV positif. Kes-kes yang dilaporkan di kalangan wanita dan anak-anak gadis masih kekal di bawah seratus sehinggalah pertengahan tahun 1990-an apabila bilangan tersebut telah meningkat kepada 191 buah kes-kes terbatu pada tahun 1996.

Semenjak itu, jangkitan HIV di kalangan wanita dan anak-anak gadis telah bertambah empat kali ganda dengan wanita menyumbang sebanyak 15 peratus daripada kes-kes terbaru pada tahun 2006, berbanding dengan hanya 4 peratus pada tahun 1996. Tren ini adalah selari dengan jangkitan melalui hubungan hetersoseksual HIV daripada 6 peratus pada tahun 1990 kepada 27 peratus pada tahun 2006. Kini, bagi setiap tujuh kes baru lelaki yang dilaporkan, terdapat satu kes wanita dijangkiti.

Kurangnya pemahaman tentang HIV

Dato’ Seri Dr. Chua telah menyuarakan kebimbangan beliau apabila beliau menyatakan bahawa pemahaman tentang HIV dan cara-cara ianyanya boleh dijangkiti merupakan salah satu daripada faktor-faktor yang menyumbang kepada perkembangan yang terbaru ini di dalam negara ini di mana HIV sebelum ini adalah lebih ketara di kalangan lelaki yang menyuntik dadah.

“Mereka tidak memahami bahawa semua orang boleh dijangkiti. Mereka tidak memahami bahawa mereka boleh dijangkiti hanya dengan terdedah kepada HIV sekali sahaja,” kata beliau. “Kita mempunyai virus yang amat saksama di kalangan kita. Ia tidak mendiskriminasi di antara lelaki ataupun wanita, kaya atau miskin, berkahwin ataupun bujang”.

Kebimbangan Dato’ Dr Chua tentang situasi di negara ini sepatutnya diambil sebagai satu amaran kepada kita semua. Kerana kualiti-kualiti dan nilai yang dibawa oleh wanita dan anak-anak gadis kepada masyarakat kita sebagai seorang ibu, kakak dan adik, penjaga; serta peranan mereka sebagai “pencipta hidup yang baru, penjaga kehidupan seharian dan pembela dan penyebar norma-norma masyarakat dan nilai-nilai sosial”. Apabila mereka meninggal dunia, anak-anak mereka akan kehilangan kasih-sayang, penjagaan dan juga sokongan. Kehilangan mereka juga merupakan kehilangan kita kerana unsur-unsur yang memegang kukuh kehidupan itu sendiri akan musnah sedikit demi sedikit.

Tetapi bagaimana kita boleh membantu wanita serta anak-anak gadis kita? Di negara yang konservatif seperti di Malaysia, kita telah menggalakkan kaedah pencegahan ABC, di mana kita telah menekankan A (abstain) dan B (be faithful) . Tidak melakukan seks (abstain) dan selalu setia (be faithful). Ada sesetengah yang mengatakan bahawa ini sahaja sudah mencukupi bagi negara yang mempunyai ajaran keagamaan dan budaya, serta norma-norma Asia yang kuat. Tetapi bilangan jangkitan HIV yang semakin  meningkat di kalangan wanita dan anak-anak gadis pula menunjukkan sebaliknya.

Kita mengajar agar tidak melakukan seks sehingga selepas berkahwin untuk membantu mencegah jangkitan HIV – tetapi kita hidup di dalam dunia di mana tidak melakukan seks sememangnya diwar-warkan tetapi ianya tidak selalunya dipraktikkan. Kita memberitahu lelaki dan wanita agar selalu setia kepada pasangan mereka- tetapi kita tahu bahawa kadangkala kesetiaan itu sendiri adalah tidak mencukupi apabila tabiat pasangan yang menyuntik dadah juga boleh membawa jangkitan HIV di dalam hubungan tersebut. 

Ancaman terhadap kesinambungan kehidupan

Dato’ Seri Dr. Chua juga percaya bahawa masyarakat tidak dapat membelakangi realiti, kisah AIDS yang terbaru di Malaysia kerana wanita memegang kunci kepada kemanusiaan – tanpa mereka kesinambungan kehidupan itu sendiri akan terancam.

“Satu aspek yang penting adalah  para individu yang terbabit patut mengetahui status jangkitan HIV mereka, atau para individu ini patut menyedari bahawa mereka berisiko untuk mendapat jangkitan HIV,” terang beliau. “Wanita (dan lelaki) mestilah dilengkapi dengan pengetahuan dan maklumat yang mencukupi tentang risiko-risiko dijangkiti HIV atau tentang seks yang selamat.” 

Dato’ Dr Chua juga menekankan betapa pentingnya untuk memasukkan “C” – iaitu penggunaan kondom (condom use) – ke dalam pencegahan HIV melalui kaedah ABC.

Sememangnya ia merupakan tindakan yang cukup berani, yang mana ia menunjukkan dengan jelas sekali kepimpinan yang ditunjukkan oleh pihak kerajaan untuk menangani epidemik ini dengan lebih berkesan.

Namun begitu, pihak kerajaan juga menyedari bahawa wanita kadangkala tidak mempunyai pilihan untuk membuat keputusan terhadap bila dan dengan siapa mereka melakukan seks; berbincang tentang penggunaan kondom dengan pasangan mereka; dan untuk hidup bebas dari keganasan.

Menyedari hakikat bahawa wanita mempunyai pilihan yang amat terhad, pihak kerajaan telah meletakkannya sebagai salah satu daripada enam strategi utama di dalam Pelan Strategik Kebangsaan (NSP) terhadap HIV dan AIDS (2006-2010), iaitu ‘vulnerability’ wanita terhadap HIV perlu ditangani.

Bekerjasama untuk mencari jalan penyelesaian

Tetapi komitmen dari pihak Kerajaan sahaja tidak cukup untuk melindungi wanita dan anak-anak gadis daripada virus ini. Apa yang diiperlukan sekarang ini adalah untuk menyaingi kepimpinan yang ditunjukkan oleh pihak Kerajaan dengan kepimpinan daripada semua sektor masyarakat.  

Para advokat wanita dan AIDS juga patut melangkah ke hadapan dan bekerjasama dengan Kerajaan untuk melindungi wanita dan anak-anak gadis agar selamat dari HIV berbanding dengan membuang masa dan tenaga mencari kesalahan. Mengenalpasti kekurangan di dalam strategi-strategi yang diusulkan adalah tidak berguna sekiranya ia tidak disertai dengan jalan-jalan penyelesaian yang realistik dan boleh dilaksanakan.

Pihak kerajaan telah melabur untuk meletakkan rangka kerja dan membina asas, termasuklah pembahagian bajet sebanyak RM 4 juta kepada pertubuhan masyarakat untuk melibatkan mereka sebagai rakan kerja di dalam maklumbalas HIV di peringkat kebangsaan. Kita haruslah bersatu untuk maju ke hadapan bersama-sama dan memastikan jalan-jalan penyelesaian untuk wanita dan anak-anak gadis kita adalah dalam jangkamasa yang panjang; jika kita serius tentang menyelamat dan melindungi mereka dan masa hadapan mereka daripada HIV.

Bersama-sama kita boleh meningkatkan akses kepada maklumat, perkhidmatan dan sumber-sumber bagi wanita dan anak-anak gadis, yang boleh mengajar mereka bagaimana untuk melindungi diri mereka daripada HIV. Bersama-sama, kita juga boleh memastikan bahawa mereka dilengkapi dengan kemahiran dan diperkasa dengan keyakinan untuk mengetahui bagaimana untuk mengatakan TIDAK kepada kelakuan-kelakuan yang boleh meletakkan mereka di dalam keadaan yang berisiko untuk dijangkiti HIV.

Ia tidak akan menjadi berita yang buruk buat selama-salamanya. Dengan kerjasama yang kukuh dan bersepadu, dengan rasa hormat-menghormati, kita semua boleh membalikkan semula tren HIV dan AIDS di Malaysia.

Penterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.

 

 

 

 

Hari AIDS Sedunia 2007

1 Disember 2007
Kepimpinan
Hentikan AIDS – Tunaikan janji

* Laman web di dalam Bahasa Inggeris.


Menentang HIV/AIDS di Malaysia

Search:

 Email this article

unite for children