Seorang ibu HIV positif memberitahu editor media bagaimana stigma membunuh kehidupan
Oleh Indra Nadchatram KUALA LUMPUR, 20 November 2007 – “Ia bukanlah HIV yang membunuh kita tetapi stigma. Stigma membunuh semangat dan juga roh kita, dan meninggalkan rasa ketidakupayaan”, tangis Puan Khalsom, seorang ibu kepada tiga orang anak, yang HIV positif. “Dan yang malangnya, apabila saya menderita, anak-anak saya juga akan turut menderita”. Puan Khalsom adalah seorang pekerja temuseru di bawah program Positive Living di Yayasan PT, dan baru-baru ini Puan Khalsom telah berkongsi pengalaman peribadi beliau di Seminar Hari AIDS Sedunia yang dianjurkan oleh Tabung Kanak-kanak Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu (UNICEF) untuk membantu lebih kurang dua puluh orang editor dan wartawan daripada media cetak untuk memahami bagaimana kisah negatif di dalam media tentang HIV dan AIDS boleh memudaratkan keluarga, termasuklah kanak-kanak. "Mungkin wartawan tersebut terlupa mengenai artikel yang ditulisnya sebaik sehaja ianya diterbitkan di dalam suratkhabar. Tetapi kesan daripada artikel tersebut, kami yang perlu hadapinya, terutama sekali sekiranya artikel tersebut menggunakan tona dan bahasa yang mendiskriminasi. Atau sekiranya artikel tersebut diiringi dengan gambar kanak-kanak yang dikenalpasti telah dijangkiti oleh HIV", terang Puan Khalsom sambil merujuk kepada sebuah artikel pada tahun 2006. Artikel tersebut telah menyebabkan sekumpulan ibu bapa telah bertindak dengan meminta agar kanak-kanak yang HIV positif dikeluarkan daripada sebuah sekolah di Lembah Klang. Bahasa yang menjatuhkan maruah menambahkan lagi stigma Menurut Penasihat bagi AIDS kepada Rantau Asia Timur dan Pasifik UNICEF, Cik. Wing-Sie Cheng, laporan-laporan media yang menggunakan bahasa yang kesat akan menambahkan lagi diskriminasi samada ianya secara langsung atau tidak langsung.
"Kadangkala maklumbalas serta pandangan yang diberikan berdasarkan penafian, ketakutan dan salah faham tentang HIV dan AIDS adalah melampau, dan ini telah menyebabkan orang ramai menjauhkan diri daripada realiti yang dibawa oleh epidemik ini, serta pada masa yang sama mereka akan dikelabui oleh perasaan bahawa mereka hidup di dalam persekitaran yang selamat," kata beliau. "Lebih malang lagi, tanggapan-tanggapan seperti ini juga mengukuhkan lagi stigma dan diskriminasi yang memberi halangan kepada orang ramai daripada mendapat maklumat serta pertolongan yang diperlukan sekiranya mereka dijangkiti. Cik. Cheng juga pantas untuk menambah bahawa media mempunyai peranan yang penting di dalam membentuk tanggapan masyarakat melalui wawancara yang lebih bertanggungjawab dan bermaklumat yang bebas daripada perangkap stigma yang menggunakan bahasa yang bersamaan dengan kematian dan kemusnahan. “Media di seluruh dunia, termasuklah Malaysia kini telah bangkit untuk menghadapi cabaran ini dengan menggalakkan kesedaran terhadap HIV dan AIDS serta mendidik para pembaca tentang fakta-fakta virus tersebut,” kata beliau. “Untuk mendapatkan impak yang maksimum, walaubagaimanapun, memerlukan pemahaman yang jelas tentang cabaran yang terpaksa dihadapi oleh para aktivis dan mereka yang hidup dengan HIV dan juga pihak media.” Mengenalpasti bahasa yang bersesuaian Para peserta yang mewakili majalah dan surtakhabar harian, terutama sekali media Bahasa Malaysia dan Bahasa Inggeris, telah bekerja bertungkus-lumus untuk mengenalpasti perkataan yang bersesuaian yang boleh digunakan apabila membuat laporan mengenai HIV dan AIDS. Perbincangan di dalam Seminar ini yang memakan masa selama satu hari, telah dianjurkan bagi kempen Bersatu untuk Kanak-kanak, Bersatu menentang AIDS, yang tertumpu kepada perpindahan istilah Program Bersepadu Persatuan Bangsa-bangsa Bersatu terhadap AIDS (UNAIDS) ke dalam bahasa kebangsaan dan bahasa-bahasa lain di negara ini, yang bertujuan untuk menghapuskan mitos-mitos dan memastikan bahawa laporan yang dibuat berkenaan dengan HIV dan AIDS tidak akan menyumbang kepada stigma dan diskriminasi. Perbincangan yang pro-aktif melalui debat di antara para editor telah membuktikan komitmen pihak media terhadap situasi ini, dengan kebanyakan para editor yang beriltizam untuk mempengaruhi agensi mereka agar lebih sensitif terhadap perasaan orang yang hidup dengan HIV. “Kami amat menghargai usaha-usaha yang dilakukan oleh UNICEF untuk membantu kami memahami bagaimana laporan-laporan kami boleh membawa perubahan yang positif kepada maklumbalas Malaysia kepada HIV dan AIDS”, kata Puan Hafizah binti Kamaruddin, Penolong Editor bahagian Berita daripada Bernama. “Kami bersedia untuk mencari jalan penyelesaian bersama-sama pada masa yang sama memastikan bahawa kami menyumbang kepada persekitaran yang tidak mendiskriminasi dan disokong. Lagipun, kami juga mahukan yang terbaik untuk semua rakyat di negara ini”, tambah beliau. ................................................................................... NOTA Seminar bersama Editor - "Penggunaan Bahasa yang tepat untuk laporan tentang HIV dan AIDS" ini telah diselaraskan dan disokong oleh Prestige Communications. Perterjemahan ke Bahasa Malaysia oleh Anne Jamaludin.
Hari AIDS Sedunia 2007 Berita WAD 2007 20 November 2007: 17 November 2007: 15 November 2007: 10 November 2007: 5 November 2007: 1 November 2007:
Panduan media - AIDS Bersatu untuk kanak-kanak, Bersatu menentang HIV/AIDS Menentang HIV/AIDS di Malaysia |