HIV/AIDS

AIDS di Malaysia

Respons UNICEF: 2005 – 2007

Bersatu untuk kanak-kanak, Bersatu menentang AIDS

Berita

Kehidupan benar

 

Memberi harapan kepada wanita-wanita HIV positif

© Zaimah Hussin
Staf jururawat Zaimah Hussin merasa puas apabila beliau dapat membantu wanita-wanita yang HIV positif. Kata Zaimah, “kesemuanya datang daripada hati”.

Oleh Molly Lim

Wanita-wanita di Malaysia berkongsi suara dengan UNICEF sebagai tanda pelancaran laporan Keadaan Kanak-Kanak Sedunia (SOWC) 2007 di peringkat kebangsaan pada Hari Wanita Antarabangsa.

Bertemakan “Wanita dan Kanak-Kanak – Imbuhan Berganda yang dibawa oleh Kesaksamaan Gender”, laporan SOWC 2007 meneliti diskriminasi dan juga keadaan wanita yang tidak berupaya di mana kebanyakan wanita terpaksa melaluinya sepanjang hidup mereka – dan juga memberi garis panduan tentang apa yang perlu dilakukan untuk menghapuskan diskriminasi terhadap gender dan juga untuk memperkasakan wanita serta anak-anak gadis.

KOTA BAHRU, Mac 2007 – Pesakit-pesakit kepada Zaimah Hussin, iaitu seorang staf jururawat, tahu bahawa mereka boleh menghubungi beliau melalui telefon setiap masa, walaupun pada cuti-cuti umum.

Sebagai seorang jururawat kaunseling di sebuah hospital kerajaan di Kota Bahru, beliau bukan sahaja telah menolong pesakit-pesakit HIV/AIDS untuk menerima hakikat tentang jangkitan mereka, tetapi juga membantu mereka di dalam perkara-perkara lain seperti bagaimana untuk mendapatkan bantuan kewangan untuk membayar kos perubatan mereka, cara untuk mengikuti rawatan secara berterusan dan juga bagaimana untuk memberitahu ahli keluarga tentang jangkitan tersebut.

Walaupun begitu, beliau masih tidak boleh duduk diam kerana beliau merasakan bahawa segala yang telah dibuat masih tidak mencukupi buat pesakit-pesakitnya. Kebanyakan mereka hidup di dalam kemiskinan, dan terpaksa berjalan jauh daripada kawasan-kawasan pedalaman untuk mendapatkan rawatan walaupun merasa takut akan stigma dan diskriminasi.

Kelemahan dan ketidakupyaan wanita

Walaubagaimanapun, apa yang membimbangkan Zaimah adalah keadaan wanita-wanita HIV positif yang buruk itu sendiri. “Wanita-wanita secara umumnya amat terdedah kepada jangkitan HIV kerana mereka kurang pengetahuan dan juga keupayaan untuk melindungi mereka sendiri,” terang Zaimah dengan penuh kebimbangan.

Menurut Zaimah ia adalah lebih rumit bagi wanita yang telah berkahwin – tidak kira status sosial atau ekonomi mereka – untuk berunding bagi seks selamat, walaupun mereka tahu bahawa suami mereka terlibat di dalam kelakuan-kelakuan berisiko seperti penggunaan dadah secara menyuntik.“ Di dalam budaya kami, wanita selalunya akan berkata ‘ya’ kepada suami mereka. Dia adalah raja di rumah,” kata beliau untuk menerangkan peningkatan tiga kali ganda bilangan wanita-wanita yang dijangkiti HIV di Malaysia semenjak sepuluh tahun yang lalu. 

“Daripada soal-selidik yang telah kami jalankan, kami dapati bahawa wanita-wanita mempunyai rasa maruah diri yang rendah dan kurang tegas di dalam mengawal kehidupan diri mereka sendiri. Mereka tidak menjaga diri mereka dengan baik. Kebanyakan mereka datang untuk menjalani ujian saringan HIV apabila suami mereka, atau anak-anak mereka atau mereka sendiri telah dimasukkan ke hospital untuk penyakit-penyakit yang berkaitan dengan AIDS. Sesetengah mereka juga dikesan apabila mereka menjalani ujian saringan HIV di klinik-klinik antenatal,” Zaimah menekankan.

Membantu ibu-ibu tunggal

Apabila keperluan-keperluan pesakit-pesakit beliau tidak dapat dipenuhi oleh perkhidmatan-perkhidmatan yang telah diberikan oleh hospital, Zaimah mula mendapatkan bantuan daripada rakan-rakannya di luar. Setelah sepuluh tahun membina jaringan-jaringan secara tidak formal dengan rakan-rakan beliau, Zaimah mula berbicara tentang menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan untuk membantu ibu-ibu tunggal yang telah dijangkiti di negeri Kelantan.

"Ia kelihatan seolah-olah amat sukar untuk dilakukan, tetapi kemudiannya anak saya Zahrain bersetuju untuk membantu saya mengendalikan badan tersebut," kata Zaimah yang berumur 51 tahun yang kini telah berkhidmat sebagai seorang jururawat selama 29 tahun.

Zahrain Zulkifli amat arif tentang kesusahan yang dihadapi oleh ibu-ibu tunggal yang telah dijangkiti kerana ibu beliau selalu mendapatkan bantuan daripada ahli-ahli keluarganya. "Ibu saya selalu merujuk ibu-ibu tunggal tersebut kepada Prihatin, dan kami akan cuba membantu mereka dari segi kewangan. Kami juga telah menubuhkan perkhidmatan kaunseling untuk mereka kerana terdapat beberapa orang wanita merasa lebih selesa untuk datang ke Prihatin berbanding dengan hospital kerajaan,” terang Zahrain. “Kita juga telah memulakan bengkel-bengkel untuk menjana pendapatan bagi membantu ibu-ibu tunggal."

Walaupun Prihatin bermula secara kecil, badan yang sudah berumur tiga tahun tersebut telah mula mendapat perhatian dan sokongan dengan cepat daripada orang ramai dan juga agensi-agensi kerajaan. Baru-baru ini mereka telah berpindah ke sebuah rumah yang pada asalnya telah dibina untuk seorang pegawai kesihatan daerah, dan kini menawarkan rumah perlindungan kepada ibu-ibu tunggal yang HIV positif serta anak-anak mereka yang tidak mempunyai tempat untuk dituju.

Persekitaran yang selamat

"Bilangan wanita-wanita yang HIV+ di Kelantan merupakan salah satu yang tertinggi di negara ini. Lebih kurang lapan daripada sepuluh wanita telah dijangkiti daripada suami mereka. Mereka juga selalunya terpaksa menghadapi jangkitan mereka sendiri, dan juga menanggung anak-anak mereka apabila suami-suami mereka meninggal dunia. Kebanyakan mereka hidup di dalam kemiskinan, dan tidak boleh bergantung kepada keluarga mereka untuk mendapatkan bantuan," kata Zaimah.

Selain daripada bantuan secara praktikal, badan tersebut paling utamanya telah memberi harapan kepada wanita-wanita. Sebelum Prihatin, kebanyakan wanita-wanita ini telah merana di dalam kesenyapan dan hidup di dalam keadaan yang terdesak. Di rumah perlindungan, mereka bukan sahaja dapat menimba kemahiran untuk menjana pendapatan, tetapi telah menerima dan juga memberi sokongan kepada satu sama lain di dalam persekitaran yang selamat.

"Lebih kurang 70% daripada ibu-ibu tunggal yang telah berdaftar dengan kami hidup di bawah tahap kemiskinan. Oleh itu, perkhidmatan yang kami berikan amat diperlukan. Lain-lain negeri juga telah melihat apa yang sedang kami lakukan, dan telah meminta bantuan kami untuk menubuhkan Prihatin di negeri mereka," kata Zaimah yang telah mula bergiat di dalam kerja-kerja HIV/AIDS 12 tahun yang lalu semasa ketakutan dan paranoia berleluasa.

Mengatasi ketakutan, mencari kepuasan

"Pada tahun 1994, semua jururawat menggunakan apron, sarung tangan dan penutup muka apabila menjaga pesakit-pesakit yang HIV positif. Tetapi, apabila saya telah dihantar ke Bangkok untuk bekerja di wad AIDS di mana jururawat-jururawat di sana tidak takut akan pesakit-pesakit mereka. Apabila saya kembali ke tanahair, saya bertekad untuk mengikut sikap mereka yang positif, dan mula merawat pesakit-pesakit saya tanpa merasa takut," beliau mengingati kembali.

Lapan daripada sepuluh orang pesakit-pesakit baru di Hospital Kota Bahru setiap minggu adalah didapati HIV positif. Zaimah mendapati bahawa kaunseling yang diberikannya adalah penting di dalam membentuk maklumbalas pesakit-pesakit terhadap jangkitan mereka. Ketenangan dan juga belas kasihan yang beliau tunjukkan ketika beliau menerangkan kepada pesakit-pesakit tentang penyakit dan juga pilihan rawatan yang diberikan seringkali memberi mereka harapan bahawa kehidupan mereka tidak musnah sepenuhnya.

"Kebanyakan pesakit-pesakit tidak mengetahui bahawa rawatan boleh didapati; oleh itu mereka fikir yang mereka akan mati. Tetapi kami telah memberitahu mereka bahawa rawatan kini lebih mampu dibayar dengan bantuan subsidi daripada kerajaan."

Sebagai salah seorang jururawat kaunseling HIV/AIDS yang paling berpengalaman di Malaysia, Zaimah juga terlibat secara aktif di dalam melatih pekerja-pekerja kesihatan yang lain. Namun begitu jururawat kaunseling HIV/AIDS di Malaysia masih berkurangan, dan isu-isu stigma dan diskriminasi terhadap pesakit-pesakit HIV positif dari kalangan pekerja-pekerja kesihatan juga harus ditangani.

"Saya mendapat kepuasan apabila dapat membantu pesakit-pesakit saya. Kesemuanya datang daripada hati," kata Zaimah.

Penterjemahan ke Bahasa Melayu oleh Anne Jamaludin.

 

 
Search:

 Email this article

unite for children